Zakat Pertanian

1. Saya menjalankan penternakan lembu dan kerbau. Baru-baru ini, saya telah dimaklumkan bahawa saya wajib menzakatkan haiwan ternakan saya. Bagaimanakah caranya?

Bagi mereka yang menjalankan usaha penternakan, maka mereka wajib mengambil tahu apakah kadar zakat ternakannya. Rasulullah SAW bersabda:

“Daripada Muaz Ibnu Jabal, beliau berkata: Baginda Rasulullah SAW telah mengutus aku ke Yaman dan beliau memerintahkan aku (mengambil zakat) daripada setiap 40 ekor lembu, satu ekor lembu *musinnah (seekor lembu betina yang umurnya mencapi 3 tahun sebagai zakat) dan daripada setiap 30 ekor lembu, **tabi`, atau tabiah (satu ekor lembu jantan atau betina yang mencapai umur 2 tahun sebagai zakat).”

(Riwayat Ibnu Majah)

Namun, zakat ternakan dikenakan hanya kepada binatang ternak sahaja, yang disebutkan istilahnya ‘al-an’am’ di dalam al-Quran. Oleh itu, haiwan liar yang diternak seperti Seladang dan Rusa tidak wajib zakat ternakan. Ayam, Burung Unta dan itik juga tidak wajib dikenakan zakat ternakan.

Selain daripada itu, niat menternak juga adalah semata-mata untuk ternakan bagi kegunaan sendiri. Bukannya untuk dijual bagi mendapatkan keuntungan. Jika diniatkan untuk menjadi barang perniagaan, maka ia sudah menjadi zakat perniagaan.

Jenis haiwan, kadar nisab dan kadar zakat bagi haiwan di atas boleh dirujuk ke halaman http://www.e-zakat.com.my/

2. Apakah saya boleh menggantikan zakat padi atau zakat haiwan ternakan saya kepada nilai wang?

Mengikut hukum asal, zakat wajar dikeluarkan berdasarkan harta zakat itu sendiri. Misalnya, jika buah tamar maka zakatnya adalah buah tamar, jika padi maka zakatnya adalah padi dan jika biri-biri maka zakatnya adalah biri-biri. Namun begitu, ada pendapat ulamak fikah yang membolehkan agar harta tersebut ditukar nilainya ke dalam matawang dan zakat dikeluarkan berdasarkan nilai matawang.

Di dalam kitab Fikh az-Zakat susunan Yusuf al-Qardhawi, beliau ada mengulas isu pemberian zakat fitrah yang asasnya adalah makanan dan ditukar kepada nilai wang. Antara hujah yang digunakan ialah, masyarakat wajar melihat keperluan penerima. Jika keperluan fakir dan miskin lebih kepada wang berbanding makanan, maka harus dikeluarkan zakat itu dalam nilaian wang.

Keduanya, tujuan zakat dikeluarkan juga adalah untuk memperkayakan (memberi kecukupan) kepada si penerima. Jadi, jika ia lebih mudah dicapai melalui pemberian wang tunai berbanding makanan, maka ia lebih patut diutamakan.

Di samping itu, mengeluarkan zakat menerusi wang tunai adalah jauh lebih mudah dan praktikal pada zaman sekarang. Ia juga memberikan lebih banyak manfaat untuk golongan miskin dan penerima zakat, berbanding zakat berdasarkan harta, seperti padi dan kambing biri-biri. Lagi pun, adalah agak mustahil bagi pembayar zakat membawa lembu dan kambing ke kaunter zakat; berbanding menukar nilainya kepada nilai matawang.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.