Sejarah zakat – NEW!

imagesZakat adalah fundemental dalam sejarah ketamadunan Islam.

 

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Pegawai Dakwah Pena, Lembaga Zakat Selangor (MAIS

Mukaddimah

Sejarah zakat amat jarang disentuh oleh ramai penulis sejarah secara khusus. Biasanya, sejarah zakat akan dimasukkan secara tidak langsung dalam penulisan seerah rasulullah SAW ataupun dalam mengupas kehidupan peribadi besar para sahabat nabi. Hakikatnya, zakat memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan Islam, sama ada pada awal perkembangan Islam sehinggalah ke pembukaan Kota Mekah. Bahkan, zakat terus menerima perkembangan setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW, iaitu dengan penerimaan pelbagai elemen baharu hasil ijtihad para sahabat.

Setelah berlalu ratusan tahun, zakat yang pernah melalui zaman kegemilangannya pada era Umar bin Abdul Aziz, iaitu pada Dinasti Bani Umayyah dan disusuli dengan kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah pada 1924, menyebabkan zakat seakan-akan terpinggir daripada arus perdana umat Islam. Ini dapat dikesan, apabila zakat gagal direalisasikan di kebanyakan negara Islam sebagai institusi kukuh demi memperkasakan umat Islam. Ditambah dengan aruhan penjajahan kolonial Barat yang memisahkan dunia dan agama (baca: politik dan agama), sehingga urusan harta seakan-akan tidak menjadi keutamaan kepada umat Islam. Islam seakan-akan agama yang membnci dunia. Akhirnya, tanpa sedar zakat menjadi juzuk kecil di dalam urusan kehidupan. Meninggalkan zakat harta seakan-akan tidak menjadi suatu kesalahan; sebaliknya tidak menunaikan solat, puasa dan haji pula dianggap satu kesalahan berat di sisi Islam.

Maka, penulisan sejarah zakat ini diharap mampu menyuntik kembali sedikit sebanyak kesedaran betapa pentingnya zakat dan institusi zakat dalam kehidupan umat Islam. Jika tidak, masakan awal-awal lagi Allah SWT sudah menyinggung mengenai zakat (infak), apabila dikatakan: “…Dan mereka mendirikan solat dan menginfakkan sebahagian daripada harta yang Kami berikan kepada mereka,” (al-Baqarah: 3)

Zakat Sebelum Islam

Kisah Qarun di dalam al-Quran adalah bukti kukuh bahawa amalan zakat bukanlah perkara baharu. Bahkan ia sebenarnya sudah pun diamalkan oleh umat-umat yang terdahulu. Misalnya kisah Qarun disebut secara jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran, iaitu di dalam surah al-Qasas.

Di dalam kitab Ibn Katsir iaitu al-Bidayah wa an-Nihayah, Ibn Katsir ada mengisahkan siapa Qarun. Asalnya Qarun bukanlah orang yang senang; namun dia sangat rapat dengan Nabi Musa a.s. Qarun belajar dengan Nabi Musa a.s. Salah satu ilmu yang dipelajarinya ialah, ilmu mengenalpasti tempat mana emas tersembunyi di dalam bumi. Diringkaskan kisahnya, Qarun akhirnya menjadi kaya-raya. Allah SWT ada mengisahkan Qarun dan kekayaannya di dalam surah al-Qasas di dalam al-Quran, iaitu pada ayat-ayat 70-80.

Setelah kaya-raya, Qarun telah diminta agar memberikan sedikit harta kekayaannya kepada kaumnya. Namun, sayangnya Qarun membantah dan lebih daripada itu, Qarun mendabik dada bahawa segala harta yang diperolehinya itu adalah atas ilmu dan daya usaha dirinya sendiri. Akhirnya, kekayaan yang banyak itu tidak ke mana-mana apabila Allah SWT membenamkan Qarun dan istananya ke dalam bumi. Sesungguhnya, ini adalah suatu kisah penting dalam sejarah zakat, bahawa mereka yang kikir bahkan takbbur dengan hartanya pasti dimurkai Allah SWT.

Zakat zaman pra Islam

Sebelum kebangkitan Nabi Muhammad SAW, penduduk Mekah memang sudah mempunyai tamadun; namun mereka terkenal sebagai masyarakat jahiliyah, lantaran nilai-nilai kemanusiaan sudah begitu kontang di dalam diri mereka. Manusia yang kaya menzalimi yang miskin. Golongan hamba misalnya, mendapat layanan yang teruk. Kaum wanita dieksploitasi semahunya. Para peniaga menipu dan memeras orang berhutang semahunya. Sistem yang ada memeras sesama manusia.

Muhammad bin Abdullah tidak menyukai suasana ini. Beliau selalu menyendiri daripada terlibat dalam tingkah jahiliyah ini. Namun, Muhammad yang beristerikan seorang isteri yang hartawan, selalu menggunakan hartanya untuk membantu orang-orang susah. Muhammad amat menyantuni golongan yang daif dan melarat. Santunnya Muhammad ini dapat dikesan saat Khadijah mententeramkan emosi Muhammad selepas baginda menerima wahyu yang pertama. Kata Khadijah: “Kamu adalah manusia yang baik, menghormati sesama manusia, menyantuni orang-orang miskin…”

Khadijah r.ha telah menggunakan seluruh harta kekayaannya demi memperjuangkan Islam. Disebut di dalam seerah, Khadijah adalah wanita dan manusia pertama yang memeluk Islam. Kemudian, dengan keyakinannya terhadap Islam, Khadijah telah membelanjakan wang dan harta miliknya untuk Islam. Sungguh pun kala itu, zakat masih lagi belum diwajibkan, namun keikhlasan Khadijah terpancar daripada perbuatannya. Maka, tidak peliklah selepas Allah SWT mewajibkan zakat, maka amalan membantu perjuangan Islam dengan harta-benda dijadikan suatu yang valid si sisi agama, iaitu memberi zakat dan salah satu asnaf yang layak menerimanya ialah asnaf fisabilillah.

Zakat zaman awal Islam

Apabila Muhammad bin Abdullah menerima wahyu perlantikan sebagai nabi dan rasul, maka tekanan golongan Arab jahiliyah semakin memuncak. Ramai orang miskin menerima penyeksaan fizikal dan mental, misalnya keluarga Ammar bin Yasser. Golongan hamba pula, mendapat penyiksaan yang tidak terperi sakitnya lantaran keimanan mereka kepada Allah SWT. Bahkan, kemuncak kepada penentangan Arab Jahiliyah ialah, mereka mengisytiharkan pemulauan besar-besaran kepada Muhammad bin Abdullah dan seluruh pengikutnya.

Dalam mendepani situasi genting inilah, harta sebahagian umat Islam yang kaya-raya seperti Siti Khadijah al-Khuwalaid, Abu Bakr as-Siddiq dan ramai lagi dimanfaatkan demi umat Islam. Khadijah misalnya, menyediakan dana bagi melancarkan gerak kerja dakwah rasulullah. Manakala, Abu Bakr misalnya, menggunakan dinarnya bagi menebus Bilal yang diseksa.

Sungguh pun saat itu, Allah SWT masih tidak mewajibkan zakat; namun amalan mereka ini adalah selari dengan zakat. Ia dinamakan sifat ihsan sesama manusia, menyantuni manusia yang memerlukan apatah lagi yang ditimpa kezaliman. Sifat ihsan inilah intipati kepada amalan zakat yang setelah diwajibkan, diterima dengan penuh senang hati oleh umat Islam.

Zakat zaman Madinah

Hijrah rasulullah saw dan para pengikutnya ke Madinah, mempunyai implikasi besar kepada aspek hukum atau syariat dalam Islam. Ini kerana, pada zaman Madinah Allah SWT menurunkan pelbagai ketetapan kehidupan yang dinamakan syariat Islam. Ia termasuklah syariat berzakat. Sedangkan semasa zaman Makkah, kebanyakan atau hampir keseluruhan wahyu Allah SWT bersifat pengukuhan akidah umat Islam.

Zakat pada zaman Madinah, disyariatkan pada tahun kedua selepas hijrah. Ia sabit kepada sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “

Pada era pasca hijrah di Madinah, telah berlaku kisah yang besar dalam sejarah zakat. Ia adalah mengenai seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang asalnya miskin; namun menjadi lupa setelah kaya. Kisah ini adalah kisah as-Tsa’labah dan ada disebutkan di dalam kitab Tafsir Fi Zilalil Quran karangan al-marhum as-Syahid Syed Qutb. Syed Qutb menjelaskan, apa yang terjadi dalam kisah Tsa’labah adalah manifestasi kemunafikan segolongan manusia pada zaman Rasulullah SAW. Ini kerana, mereka menyatakan jika diberikan kekayaan maka mereka akan menginfakkannya pada jalan Allah SWT, walhal apabila diberikan kekayaan mereka lupa bahkan mengingkarinya. Inilah sifat golongan munafik.

Zakat dalam perkembangan negara Islam

Apabila negara Islam makin meluas, maka Nabi Muhammad SAW telah mengutus kalangan sahabatnya menjadi gabenor dan sekaligus menjadi tempat rujukan rakyat dalam urusan hukum-hakam. Misalnya, semasa pembukaan Yaman, Nabi Muhammad SAW telah mengutuskan Muadz bin Jabal r.a sebagai gabenor, iaitu sekitar tahun lapan ke 10 hijrah. Sebelum Muadz berangkat ke sana, Nabi SAW telah menyampaikan suatu amanat yang sangat penting. Amanat ini menjadi titik tolak kepada keanjalan hukum fikah dalam menerima elemen ijtihad. Berikut merupakan dialog di antara Rasulullah SAW dengan Muadz.

Rasulullah bertanya: ”Wahai Muadz, dengan apa kamu akan menetapkan hukum di Yaman nanti?”

Muadz menjawab: ”Saya akan menetapkannya dengan Kitabullah (al-Quran).”

Rasulullah bertanya lagi: ”Kalau kamu tidak menemukannya dalam al-Quran?”

Muadz berkata: ”Saya akan menetapkannya dengan Sunnah Rasulullah.”

Rasulullah bertanya lagi: ”Kalau kamu juga tidak menemukannya (dalam sunnah).”

Muadz menjawab: ”Saya akan menetapkannya dengan berijtihad (menetapkan hukum sesuai dengan pendapat dan pandangan) sendiri.”

(Hadis daripada Ibn ‘Abbas)

Zakat semasa zaman Abu Bakr as-Siddiq

Abu Bakr r.a hakikatnya bukan sekadar memerangi golongan yang kembali kufur setelah kewafatan Rasulullah SAW. Bahkan sebenarnya ada dua golongan lagi, iaitu golongan yang enggan berzakat dengan alasan zakat hanya wajib dikeluarkan kepada Nabi Muhammad saw, dan kewajipan itu terangkat dengan peristiwa wafat dan ketiga golongan yang enggan mengeluarkan zakat kepada amir atau ketua negara Islam, sebaliknya mahu mengeluarkan sendiri di tempat mereka.

Abu Bakar dan beberapa sahabat bercanggah pandangan dalam mendepani golongan yang enggan berzakat. Akhirnya Abu Bakar berijtihad bahawa mereka perlu ditundukkan agar mentaati khalifah dan kembali menunaikan zakat demi mengelakkan mudarat yang jauh lebih besar jika dibiarkan. Terbukti ijtihad Abu Bakar adalah benar kerana mereka cuba menyerang Negara Madinah yang ketika itu agak lemah. Dengan kekalahan golongan Riddah ini, ia dapat mengembalikan kestabilan negara Islam dan sekaligus menjadi pertunjuk bahawa penguasa umat Islam mempunyai autoriti melaksanakan undang-undang zakat apabila keadaan memerlukan.

Di samping itu, zaman Abu Bakar r.a  jugalah dilaksanakan zakat ke atas madu yang mana tidak sempat dilaksanakan pada zaman Rasulullah saw (Nabi Muhammad saw sudah pun menuliskan perkara ini namun tidak sempat dilaksanakan).

Zakat semasa zaman Umar al-Khattab

Saiyidina Umar al-Khattab mewarisi negara yang lebih aman dan kuat daripada Abu Bakar r.a. Oleh itu, baginda mempunyai masa yang lebih banyak bagi menyusun atur perjalanan pentadbiran negara. Banyak inovasi zakat diterokai oleh Umar al-Khattab, antaranya baginda berijtihad mengenai zakat madu bukanlah sesuatu yang wajib diambil daripada penternak lebah; namun ia menjadi wajib jika penternak itu sendiri mahu memberikan zakatnya. Umar juga menunjukkan bahawa sesuatu harta zakat dapat ditukarkan kepada bentuk harganya, yakni dalam nilaian wang. Ini kerana, semasa baginda menerima zakat madu, Umar telah menjualnya dan wang yang diperolehi telah dimasukkan ke dalam baitul mal bersama-sama harta zakat yang lain. Maknanya, seseorang boleh membayar zakat berdasarkan nilainya dan bukannya zat hartanya.

Antara ijtihad Umar yang paling kronteversi ialah, Umar menilai kembali status muallaf yang selama ini diamalkan oleh Rasulullah SAW dan Abu Bakar r.a. Ini kerana, Rasulullah SAW telah menggunakan harta zakat dengan diberikan kepada tokoh-tokoh tertentu yang belum Islam demi mendapatkan sokongan mereka kepada Islam. Ia terbukti berkesan kerana ramai yang memeluk Islam misalnya Suhail bin Amr, Aqra’ bin Habis dan Muawiyyah bin Abi Sufyan. Namun selepas tiga tahun kewafatan Rasulullah SAW, orang-orang yang selama ini mendapat bahagian zakat atas asnaf muallaf ini telah diberhentikan hak zakat ke atas mereka. Umar enggan memberikan harta zakat kepada mereka dengan alasan mereka bukan lagi muallaf dan Islam sudah kuat dan sudah tidak memerlukan sokongan mereka lagi.

Bahkan Umar juga melaksanakan dasar menghabiskan semua simpanan di Baitul Mal dengan tidak meninggalkan bakinya pada setiap tahun. Umar akan membahagikan harta-harta di Baitul Mal termasuklah harta zakat kepada umat Islam sehingga habis dengan matlamat ia dapat memenuhi keperluan umat Islam. Ini kerana, perolehan perbendaharaan harta pada zaman Umar sangat besar, maka Umar berijtihad menyimpannya boleh menimbulkan masalah lain pula, misalnya timbul masalah eksploitasi harta dan sebagainya.

Seperkara yang penting juga, Umar telah melantik petugas zakat bergaji yang bertugas di Baitul Mal semasa era pemerintahannya. Mereka ditempatkan di daerah-daerah kekuasaan Islam dan tugas pegawai zakat ini ialah memerhatikan golongan yang berharta, mentaksir dan seterusnya mengambil zakat daripada harta mereka. Para petugas zakat ini juga bertanggung jawab memantau pengagihan harta zakat. Bahkan jawatan petugas zakat itu adalah setaraf dengan pengutip cukai (asyir) dan pengutip ufti yang diwujudkan Umar di daerah-daerah Islam kala itu.

Umar mewajibkan zakat ke atas anak kambing yang baharu lahir dan zakat kuda.

Zakat semasa zaman Uthman bin Affan

Antara ijtihad yang dilakukan oleh Saiyidina Uthman bin Affan r.a ialah:

1. Membolehkan pembayaran zakat harta melalui nilaian wang (harga) dan tidak semestinya dengan harta zakat.

2. Membahagikan harta kepada dua jenis, iaitu harta zahir (yang boleh ditaksir dengan mudah) dan harta batin (yang hanya diketahui oleh pemiliknya) dan memberikan kebenaran umat Islam menunaikan harta zahir secara terus kepada mustahiq. Hal ini kerana, ada laporan yang sampai kepada Uthman, bahawa ada petugas zakat yang tidak amanah dalam mengelolakan harta zakat. Maka, Uthman memberikan keizinan itu, agar harta zahir benar-benar sampai kepada mustahiq.

3. Dipercayai antara yang pertama melaksanakan zakat pendapatan, dengan mengenakan zakat ke atas harta para tentera Islam yang berlebih di penghujung tahun.

Zakat semasa pemerintahan Dinasti Umaiyyah

Semasa pemerintahan Dinasti Umaiyyah, salah seorang khalifah yang amat tersohor dalam pemerkasaan zakat ialah Saiyidina Umar bin Abdul Aziz r.a.

Mengeluarkan fatwa bahawa harus menunaikan zakat fitrah dengan wang.

Pada zamannya, birokrasi dihapuskan dan umat Islam boleh membuat aduan langsung kepada khalifah mengenai salah laku dan penyelewengan, termasuklah dalam urusan zakat.

Masjid dihidupkan dengan majlis ilmu, sehingga rakyat Umar menjadi golongan yang kaya jiwa. Mereka enggan meminta-minta.

Ketakwaan Umar telah menumbuhkan keyakinan kepada rakyat dan mereka tampil menunaikan zakat tanpa dipaksa. Hasilnya jumlah harta meruah di Baitul Mal dan Umar boleh memanfaatkannya, seperti:

1. Membina rumah bagi mereka yang tidak berumah

2. Membiayai pernikahan pasangan yang sudah sedia bernikah tetapi kurang mampu.

3. Membelikan kenderaan yang sesuai untuk mereka yang memerlukan.

Zakat semasa Dinasti Abbasiyah

Pada era ini ada dua khalifah yang cukup terkenal, iaitu Harun al-Rasyid dan Al-Makmun. Perolehan harta di Baitul Mal menjadi terlalu banyak, termasuklah dari sumber zakat.

Kerajaan membangunkan banyak institusi ummah, misalnya Baitul Hikmah, suatu institusi tempat berkumpulnya para cerdik pandai dan cendekiawan Islam dan mengeluarkan idea dan pandangan baharu untuk ummah. Membina hospigtal, sekolah dan sebagaibya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>