FAQ Zakat (up-date)

FAQ Zakat ini adalah yang terkini (dikemas kini pada 27 Mei 09)

Soalan 1: Ayah saya kini sudah tidak bekerja. Dahulu pun beliau hanya bekerja sendiri dengan membuat perniagaan kecil-kecilan. Sehingga kini dia masih mempunyai sedikit simpanan hasil perniagaan beliau. Dengan wang simpanan itulah ayah saya manfaatkan sama ada untuk urusan harian isteri, belanja rumah dan anak-anak. Soalan saya adakah ayah saya perlu membayar zakat sedangkan dia tidak lagi mempunyai pendapatan daripada pekerjaanya?

Jawapan: Islam mewajibkan harta untuk dizakatkan hanya apabila ia mencukupi segala syarat. Antaranya ialah, cukup nisab (sampai kadar minima zakat) dan cukup haul (genap  setahun harta mencukupi nisab itu dimiliki). Mereka yang mencukupi syarat di atas maka dianggap kaya, kerana harta itu telah melebihi daripada keperluannya. Harus diingat bahawa zakat dikenakan ke atas harta yang belebihan daripada keperluan. Jadi, bila harta ayah saudara sudah menggenapi haul dan nisab, ia wajib zakat walau atas alasan apa sekali pun.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW menggesa agar seseorang yang mempunyai harta agar tidak membiarkan hartanya habis dimakan zakat. Ia bermaksud, harta hendaklah kembangkan, sama ada menerusi pelaburan dalam mana-mana institusi atau di dalam apa-apa perniagaan. Ia tidak wajar disimpan ‘beku’ sehingga akhirnya habis dizakat begitu sahaja.

Sebuah Hadith Mursal, oleh al-Imam al-Syafi’i rahimahullah di dalam “Musnad”nya, ada menyatakan, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Carilah jalan yang menguntungkan semasa kamu menjaga dan mengurus harta anak yatim,  supaya hartanya itu tidak ditelan habis oleh zakat” (Musnad al-Imam al-Syafi’I, 1:224).

Soalan 2: Saya ingin kepastian adakah benar wang ganjaran (graduiti) sempena penamatan kontrak kerja adalah diwajibkan zakat ?  Untuk makluman, saya pernah mendapat graduiti selepas tamat tempoh perkhidmatan dengan tentera pada 1999. Seorang kenalan saya menyatakan bahawa wang graduiti tidak dikenakan zakat kerana ia bukan pendapatan tetapi pampasan daripada majikan. Bolehkah dijelaskan hal ini?

Jawapan: Wang pampas an atau gratuity adalah termasuk ke dalam harta mustafad (al-mal al-mustafad). Ini kerana, wang tersebut diterima atas illat (alasan) daripada pekerjaan yang telah dilakukan. Jika tidak kerana pekerjaan sekali pun, katakanlah atas alas an dihadiahkan oleh seseorang, maka ia masih tunduk kepada zakat. Ia wajib dikira zakat setelah cukup haulnya, yakni dikenakan zakat ke atas baki wang berkenaan.

Sebuah hadis boleh dijadikan sandaran iaitu, Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu memiliki 200 dirham dan genap haulnya maka di dalamnya (ada zakat sebanyak) 5 dirham, dan tidak taqwa ke atas kamu (dalam) sesuatu iaitu di dalam emas, sehingga kamu memiliki 20 dinar. Apabila kamu memiliki 20 dinar dan genap haulnya, maka di dalamnya (zakat) setengah dinar.” (Riwayat Abu Daud)

Inilah dalil bahawa wang yang diperolehi atas jalan apa sekali pun, maka wajib dizakatkan. Cuma yang menjadi khilaf ialah sama ada perlu ditunggu genap setahun ataupun terus dizakatkan semasa mendapat wang berkenaan. Maka, di sini pendapat yang aula ialah menunggu sehingga cukup haulnya, dan selepas itu ia dizakatkan kepada apa yang berlebih. Namun, tidak salah jika mahu terus mengeluarkan zakatnya pada masa ia diperolehi, demi merebut ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada mereka yang menyegerakan kebaikan.

Soalan 3: Sebagai rakyat Malaysia yang beragama Islam, apakah yang lebih utama, sama ada menunaikan zakat tetapi tidak menunaikan tanggungjawab membayar cukai pendapatan?

Jawapan: Terlebih dahulu suka saya tegaskan bahawa, di dalam Islam sendiri wujud cukai-cukai tertentu yang bertujuan memenuhi kepentingan bersama (maslahah ammah). Antara cukai di dalam Islam ialah jizyah, iaitu cukai kepala kepada non-muslim, kharaj iaitu cukai tanah bagi non-muslim dan ‘usyur iaitu kadar bayaran tetap yang dikenakan ke atas kapal perdagangan bukan Islam yang singgah dipelabuhan-pelabuhan negara Islam untuk tujuan perniagaan.

Memang pada zaman Rasulullah SAW masih belum wujud cukai-cukai berkenaan, namun pemerintah selepas baginda misalnya Saiyidina Umar al-Khattab r.a telah menetapkan cukai kharaj dan ‘usyur sesuai dengan perkembangan negara Islam yang kian melebar selepas kewafatan rasulullah.

Jika ditanya, manakah lebih afdal dalam menunaikan zakat dan cukai pendapatan, maka sebagai seorang muslim, sudah pastilah kewajipan utamanya ialah menunaikan zakat terlebih dahulu. Ini kerana, zakat adalah hukum yang qatie (sudah putus dan mutlak); sedangkan cukai lebih kepada hukum mendatang atas ijtihad sahabat nabi dan diwujudkan cukai juga adalah ke atas non-muslim, yakni bukan kepada muslim yang sedari awalnya wajib menunaikan zakat.

Dalam suasana umat Islam di Malaysia, kita dianggap bertuah, kerana umat Islam diberikan keistimewaan dalam menunaikan zakat, iaitu mereka berhak mendapat rebat ke atas cukai pendapatan mereka. Seandainya zakat mereka menyamai atau melebihi jumlah cukai pendapatan, maka mereka tidak lagi perlu menunaikan cukai tersebut. Cukup dengan hanya mengemukakan resit pembayaran zakat sahaja kepada pihak LHDN.

Soalan 4: Saban tahun kutipan zakat di negeri-negeri menunjukkan wujudnya penambahan bahkan lebihan (surplus). Soalan saya, kenapakah masih wujud ramai fakir miskin di Malaysia sedangkan wang zakat juga masih banyak?

Jawapan: Terlebih dahulu, terima kasih kerana saudara prihatin dengan perkembangan zakat di Malaysia. Tidak dinafikan bahawa zakat makin mendapat tempat di hati umat Islam. Mereka menunaikannya mungkin kerana kesedaran ataupun mungkin atas alas an lain, namun yang penting kewajipan ini dilaksanakan.

Memang wujud lebihan wang zakat saban tahun. Namun, lebihan ini berlaku disebabkan dua faktor, iaitu yang pertama kerana kemuncak musim membayar zakat ialah pada bulan Disember setiap tahun. Maka, mustahillah institusi zakat seperti Lembaga Zakat Selangor mampu menghabiskannya dalam tempoh sebulan. Faktor kedua, institusi zakat seperti LZS (MAIS) sendiri memohon terlebih dahulu geran bagi semua agihan zakat daripada pihak berkuasa negeri, berdasarkan unjuran kutipan zakat yang bakal diperolehi. Maka, sudah pastilah kita tidak berani meletakkan unjuran yang terlalu tinggi dan ini pastinya mewujudkan lebihan.

Walau bagaimanapun, institusi zakat seperti LZS (MAIS) sentiasa berusaha membelanjakan wang zakat yang terkumpul dengan segera. Adalah menjadi tanggung jawab kepada umat Islam juga, untuk memberikan penekanan kepada institusi zakat di negeri masing-masing, mengenai corak agihan yang berkesan. Ini kerana, wang itu adalah wang umat Islam sedangkan institusi zakat hanyalah pemegang amanahnya sahaja. Wallahua’lam.

Soalan 5: Saya ada kemuskilan berkenaan zakat pendapatan. Ada yang mengatakan, pendapatan perlu dizakatkan dengan cara potongan bulanan. Bagaimana pula jika saya sudah mengeluarkan zakat pendapatan, adakah simpanan saya masih perlu dizakatkan?

Jawapan: Pertamanya, zakat pendapatan sebenarnya boleh ditunaikan sama ada saudara menunggu hingga cukup haul ataupun melalui potongan gaji. Kaedah potongan gaji hanyalah satu cara, bertujuan memudahkan umat Islam berzakat di samping mengelakkan insiden ‘terbeban’ pada hujung tahun, sehingga mengakibatkan mereka langsung tidak berzakat dan terhutang kepada Allah SWT.

Sebenarnya, apabila saudara menunaikan zakat melalui kaedah potong gaji maka saudara dikira sudah mendahului haul zakat. Hukumnya adalah harus di sisi Islam, kerana sabit kepada perlakuan sahabat Nabi SAW sendiri dan tidak ditegah oleh Rasulullah SAW (Mafhum hadis riwayat Abu Daud).

Keduanya, jika saudara sudah menjelaskan zakat pendapatan melalui potongan gaji dan kemudian lebihannya disimpan ke dalam bank, maka tidak perlulah saudara mengeluarkan zakat simpanan pada tahun berkenaan. Ini kerana, wang itu adalah wang dari sumber yang sama yang telah pun di’bersih’kan. Islam tidak mengenakan zakat kepada harta yang sama pada tahun yang sama sehingga dua kali. Namun, simpanan itu hendaklah dikirakan zakatnya pada tahun hadapan.

Mungkin ada orang terkeliru dengan istilah zakat pendapatan dan zakat simpanan. Sebenarnya, ia adalah jenis harta zakat yang sama, iaitu zakat wang juga. Wallahua’lam.

Soalan 6: Saya pernah terdengar pembicaraan zakat, iaitu zakat dibahagikan kepada zakat harta lahir dan zakat harta batin. Bolehkah diterangkan lebih jelas?

Jawapan: Sebelum diterangkan lebih lanjut, suka saya menekankan bahawa isu ini menjadi khilaf di kalangan ulamak fikah. Bagi kita orang awam, maka eloklah kita mengikuti saranan pihak berwajib zakat di negeri masing-masing, agar tidak menimbulkan kecelaruan.

Menurut fukahak, harta-harta batin ialah harta-harta yang tidak boleh dilihat dan dikira oleh mata kasar oleh amil dan pemerintah. Misalnya zakat yang berasaskan kepada mata wang, sama ada zakat wang simpanan dan zakat perniagaan. Manakala, harta lahir pula ialah harta yang mampu dikira oleh amil seperti zakat haiwan ternakan dan zakat pertanian. Ini kerana, lembu, unta dan padi memang boleh dilihat dan mustahil untuk disembunyikan.

Hasilnya, ulamak fikah berbeza pendapat mengenai tugas mengagihkan zakat harta-harta berkenaan. Bagi harta lahir yang mampu dikira, maka ulamak fikah sepakat menyatakan pemerintahlah (amil) lebih berhak menguruskan harta zakat itu, yakni diserahkan kepada mereka. Manakala, jika harta batin, ada yang menyatakan pemiliknya lebih berhak mengeluarkan sendiri dan ada yang menyatakan ia masih wajib diberikan kepada amil.

Walau bagaimanapun, amalan di negara ini hari ini menyatakan, harta batin juga wajib diserahkan kepada pemerintah. Illat (alasannya) ialah, umat Islam wajib memberikan ketaatan kepada ulil amri dalam hal ketaatan kepada Allah SWT (rujuk surah an-Nisa’ 4: 59). Ini kerana, dalam pengurusan zakat moden hari ini, pengurusan zakat termasuklah agihannya lebih terjamin, berkesan dan sistematik melalui institusi amil. Bahkan ia juga dapat mengelakkan penipuan dan keciciran dalam agihan zakat. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.