Fidyah Puasa (New!)

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Nota: Ini adalah wawancara bersama Sinar Harian (Rehal) pada 22 Jun  2012

Soalan 1: Boleh ustaz terangkan dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan
pembayaran fidyah?

Fidyah adalah bayaran yang wajib dikeluarkan bagi mereka yang telah meninggalkan puasa Ramadan atas sebab-sebab yang tertentu. Sebab-sebab ini boleh jadi kerana keuzuran yang diharuskan syarak, ataupun kerana kelalaian diri sendiri.
Mungkin ada orang menganggap fidyah seperti denda. Hakikatnya, fidyah diwajibkan demi mendidik manusia agar tidak mengambil lewa ibadah puasa. Andai seseorang meninggalkannya, maka mereka wajib bersegera mengqadakannya.

Kegagalan mengaqada puasa sehingga masuk Ramadan berikutnya, bukan sahaja sudah dikenakan fidyah; bahkan hakikatnya mereka sudah pun berdosa kepada Allah SWT.

Dalil mengenai kewajipan fidyah ada dinyatakan oleh Allah SWT seperti mana firman-Nya di dalam surah al-Baqarah, ayat 184 yang bermaksud: “Dan wajib bagi orang-orang yang berat menjalankannya (kerana uzur atau tidak mampu berpuasa) membayar fidyah, (iaitu): memberi makan seorang miskin.”

2. Apakah situasi-situasi yang menyebabkan fidyah dikenakan?

Islam adalah penuh pengertian. Allah SWT tidak memberatkan hamba-Nya, andai mereka uzur atau tidak mampu berpuasa, maka diharuskan berbuka. Hal ini ada dinyatakan oleh Allah SWT seperti mana firman-Nya: “ (Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa).” (al-Baqarah: 184)

Biasanya, fidyah akan dikenakan kepada mereka yang menghadapi situasi berikut:

1. Wanita yang kedatangan haid atau melahirkan anak dan kedatangan nifas, maka mereka memang tidak dibolehkan berpuasa. Maka mereka wajib mengqada puasa itu sebanyak hari yang ditinggalkan sebelum tibanya Ramadan yang akan datang. Apabila mereka gagal mengqadakannya sehingga datangnya Ramadan berikutnya, maka wajiblah mereka membayar fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan.

2. Wanita yang sedang mengandung atau menyusukan anak kecil. Dalam kes ini, seandainya wanita berkenaan tidak berpuasa Ramadan semata-mata kerana bimbangkan keselamatan kandungan atau anak kecilnya, maka wanita berkenaan wajib mengqada puasa dan juga mengeluarkan fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan sebelum tibanya Ramadan yang akan datang. Seandainya wanita itu tidak berpuasa hanya semata-mata bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia hanya wajib mengqadakan puasanya dan tidak wajib mengeluarkan fidyah; kecuali berlaku kecuaian seperti dalam kes (1) di atas.

3. Orang-orang yang sedang bermusafir atau ditimpa musibah kesakitan yang menyebabkan mereka tidak mampu atau tidak boleh berpuasa atau atas sebab-sebab lain yang diizinkan syarak untuk berbuka puasa, maka wajib bagi mereka mengqadakan puasa dan seandainya mereka melalaikannya seperti kes (1), maka wajib mereka mengeluarkan fidyahnya.

4. Orang-orang yang sudah terlalu tua dan amat uzur sehingga tidak mampu berpuasa pada bulan Ramadan dan jika berpuasa membahayakan diri pula, maka mereka diizinkan oleh syarak untuk tidak berpuasa dan wajiblah bagi mereka mengeluarkan fidyah sepanjang hari atau sebulan puasa yang ditinggalkan.

5. Orang-orang yang sakit yang serius yang telah menghalangi kemampuannya untuk berpuasa sepanjang hayatnya (misalnya koma), maka wajiblah dikeluarkan fidyah ke atasnya oleh para warisnya.

3: Apakah ukuran Fidyah?

Fuqaha menetapkan bahawa, fidyah hendaklah dikeluarkan sesuai dengan makanan asasi di sesebuah tempat berkenaan. Ibn Qudamah misalnya menyatakan: “Memberi makan seorang miskin adalah sebesar satu mudd gandum atau setengah sha’ kurma.” (Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 249).

Pada sisi Syafi’iyah dinyatakan: “Apabila orang yang terlalu tua terpaksa berbuka, dia wajib bersedekah satu cupak makanan asasi bagi setiap hari yang ditinggalkan.” (Fiqh al-Manhaji, hal. 506).

Pada sisi Hanafi pula: “Boleh membayar fidyah dengan wang, iaitu dengan memberikan wang yang sama nilaninya dengan setengah sha’ gandum atau satu sha’ kurma kepada seorang miskin.” (Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 249).
Maka, berdasarkan pernyataan di atas, ada dua pandangan, sama ada mengeluarkan fidyah dengan makanan asasi atau dengan wang. Dalam konteks amalan hari ini, sudah pasti memberikan wang adalah lebih praktikal; namun pada sisi Syafie, memberikan makanan asasi dianggap lebih utama.

4. Bagaimanakah caranya untuk melakukan pembayaran fidyah?

Mengeluarkan fidyah boleh dilakukan, sama ada dengan mencari sendiri golongan fakir dan miskin ataupun membayar harga fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan kepada pihak pusat zakat.
Jika di Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) boleh menerima harga fidyah, dan ditetapkan secupak beras bersamaan RM1.75. Maka, darabkan sahaja jumlah hari yang ditinggalkan puasa itu dengan RM1.75 dan boleh dikeluarkan kepada pihak LZS. Selanjutnya, pihak LZS akan menyalurkan kembali fidyah berkenaan kepada fakir dan miskin yang memerlukan.

5. Bagiamana pula dengan orang yang mahu membayar fidyah setelah lama tidak membayarnya? Adakah wajib digandakan?

Wajiblah bagi orang yang berkenaan dengan segera mengira fidyahnya dan mengeluarkannya. Jika sukar untuk mengiranya, boleh layari laman sesawang LZS iaitu http://www.e-zakat.com.my/kalkulator-zakat/fidyah/. Bahkan, mereka boleh juga meminta pegawai zakat untuk menolong mengirakannya.

Ada juga yang bertanya, adakah fidyah ini berganda? Pendapat tentang gandaan ini sebenarnya adalah khilaf dalam kalangan fuqaha. Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada tahun 2001, maka diputuskan bahawa tidak wajib menggandakan fidyah.

Walau bagaimanapun, ia masih tergantung kepada kemampuan pembayar fidyah itu sendiri. Seandainya mereka mampu dan mahu membayar gandaan fidyah berkenaan, maka hukumnya adalah dibolehkan. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.