Fiqh Puasa

BUKU ‘EKSKLUSIF ZAKAT’ DAN ‘ZAKAT TERAPI KEKAYAAN’ INI BOLEH DIBACA MENGENAI PREVIEWNYA DI SINI DAN DI SINI (KLIK). DAPATKAN BUKU-BUKU INI DI GALERI ILMUKARANGKRAF MALLMPH BOOKSTORE DAN DI KINOKUNIYA.   

FIQH PUASA SEPINTAS LALU

Mukaddimah

Puasa pada bahasa ertinya menahan diri. Pada kehendak syarak, puasa ertinya menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari.

Puasa Ramadan difardukan dalam bulan Sya’ban pada tahun kedua hijrah. Allah SWT berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana yang diwajibkan ke atas umat yang terdahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu beroleh takwa,” (al-Baqarah: 183)

Puasa juga termasuk dalam rukun Islam, seperti mana disabdakan nabi Muhammad SAW: “Islam dibina atas lima perkara, mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, menunaikan haji dan berpuasa pada bulan Ramadan,” (hadis riwayat Muttafaqun ‘Alaih)

Rukun puasa hanya ada dua:

1. Niat puasa – perlu dilakukan pada waktu malam atau sebelum terbitnya fajar, tidak sah niat puasa Ramadan selepas terbit fajar
2. Menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa

Siapakah yang diwajibkan berpuasa atau apakah syarat-syarat wajib puasa ke atas seseorang?

1. Orang Islam – hanya orang Islam sahaja diwajibkan berpuasa. Orang bukan Islam, jika mereka berpuasa, maka tidak diberikan apa-apa pahala .
2. Taklif yakni berakal dan baligh (biasa disebut akil baligh) – yakni orang yang berakal sahaja wajib berpuasa, orang gila atau hilang akal, tidak wajib puasa. Baligh yakni cukup umur, maka hanya orang-orang yang sudah sampai usia baligh sahaja wajib berpuasa.
3. Orang yang tinggal menetap atau bermukim – yakni dia bukan dalam keadaan bermusafir.
4. Orang yang tiada keuzuran – yakni keuzuran yang diizinkan syarak untuk tidak berpuasa, sama ada uzur kerana faktor usia, sakit dan juga kerana kedatangan haid dan nifas

Apakah pula syarat-syarat sah puasa seseorang?

1. Islam
2. Berakal atau mumaiyyiz – yakni boleh membezakan baik dan buruk sesuatu perkara. Sungguh pun seorang kanak-kanak itu belum sampai usia baligh, katakan baharu berusia enam atau tujuh tahun; namun sah puasanya jika dia sudah mumaiyyiz.
3. Tiada keuzuran yang menghalangi puasa – seperti kedatangan haid, nifas, pengsan atau gila sepanjang hari

Apakah perakara-perkara yang membolehkan seseorang untuk tidak berpuasa?

1. Kedatangan haid dan nifas – maka wajib diganti selepas itu
2. Kerana mengandung dan menyusukan anak – jika kerana dikhuatirkan kesihatan diri, hanya kena ganti puasa; tapi jika tidak berpuasa kerana bimbang kesihatan anak, maka wajib ganti dan bayar fidyah
3. Kerana musafir – orang yang musafir diizinkan syarak untuk berbuka namun wajib menggantikannya
4. Kerana sakit – jika sakit itu memudaratkannya, misalnya jika diteruskan berpuasa boleh membawa maut, maka boleh bahkan wajib berbuka puasa
5. Kerana uzur sama ada faktor usia tua atau sakit tiada harapan sembuh – orang-orang yang sudah terlalu tua atau sakit yang tiada harapan sembuh, sehingga tidak memungkinkannya untuk berpuasa, bahkan berpuasa boleh memudaratkan kesihatannya, maka boleh tidak berpuasa tetapi wajib membayar fidyah

Apakah hukum meninggalkan puasa Ramadan?

Fuqaha menyatakan, sesiapa dengan sengaja meninggalkan puasa Ramadan tanpa keuzuran apa pun, maka berdosa ke atasnya dan pemerintah boleh mengenakan hukuman takzir yang sesuai demi menyedarkannya.

Namun, jika seseorang itu meninggalkan puasa Ramadan dengan maksud tidak wajib dia berpuasa atau dia bermaksud mengingkari akan kewajipannya, maka jadilah orang itu murtad dan wajib bagi pemerintah Islam mengenakan tindakan atau hukuman berasaskan kaedah Islam, yakni dinasihati, diarahkan bertaubat dan jika enggan maka dihukum dengan hukuman hudud (dibunuh).

Apakah perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa?

1. Makan dan minum – yakni makan dan minum dengan sengaja, seandainya terlupa makan tidak batal puasanya walaupun sudah kekenyangan
2. Memasukkan sesuatu benda (disebut sebagai ‘ain) ke dalam liang atau rongga yang terbuka sehingga melampaui halkum (al-jauf) – rongga atau liang yang terbuka ini, antaranya liang telinga, mulut (kerongkongan), hidung, lubang qubul dan lubang dubur. Maka, fuqaha menyatakan, jiak dimasukkan air ke dalam telinga maka ia membatalkan puasa, tetapi memasukkan air ke dalam mata tidak membatalkan puasa kerana ia bukan liang atau rongga. Jika memasukkan air ke dalam hidung, selagi tidak melampaui (yakni selagi tidak sampai ke al-jauf), maka tidak batal puasanya.
3. Muntah dengan sengaja – jika tidak sengaja muntah, maka tidak batal puasanya
4. Berjimak (melakukan hubungan intim) dengan sengaja walaupun tiada keluar mani – tetapi jika lupa tiada batal puasa
5. Al-istimna’ ataupun sengaja mengeluarkan mani kerana bersedap-sedap, sama ada dengan cara bermesra-mesraan, bercumbuan atau apa sahaja cara yang sengaja dilakukannya. Walau bagaimanapun, fuqaha berpandangan jika keluarnya mani itu tanpa dapat dikawal atau bukan dengan sengaja dia mengusahakannya, maka puasanya tidak batal.
6. Kedatangan haid dan nifas – yakni suatu proses biologi kepada setiap wanita dan mereka wajib meninggalkan puasanya, yakni tidak berpuasa kerananya tetapi wajib juga menggantikannya (qada)
7. Gila dan murtad – orang yang gila dan murtad tidak sah bahkan batal puasanya kerana dia sudah kehilangan kelayakan untuk berpuasa, kecuali gila yang sebentar sahaja dan kemudiannya dia kembali sedar, maka wajib dia meneruskan puasanya atau menahan dirinya daripada makan dan minum. Manakala orang yang murtad wajib bertaubat dan selepas itu, dia wajib mengqada puasanya. Jika enggan, dikenakan hukuman hudud ke atasnya.

Beberapa persoalan puasa:

1. Saya makan dan minum sahur dengan sangkaan fajar belum terbit, sedangkan hakikatnya fajar sudah pun terbit dan saya mengetahui mengenainya, apakah sah puasa saya?
Jawapan: Wajib bagi saudara menahan diri daripada makan dan minum yakni berpuasa; namun hakikatnya puasa saudara sudah tidak terpakai lagi dan wajib diqada selepas itu.
2. Saya berbuka puasa beberapa minit lebih awal dari waktu berbuka kerana menyangka masanya sudah tiba, apakah yang perlu saya lakukan?
Jawapan: Batal puasa saudara tersebut dan wajiblah diqada selepas itu.
3. Bolehkah saya bersahur pada pukul 10 malam?
Jawapan: Sahur menurut sunnah nabi ialah selepas dari tengah malam, jika makan pada pukul 10.00 malam di Malaysia, ia masih belum melepasi tengah malam, jadi sahur biasanya berlaku pada jam 1.00 pagi dan ke atas.
4. Bolehkah saya melewatkan sahur sehingga masuk waktu imsak?
Jawapan: Boleh, bahkan nabi memang menganjurkan kita mentakhirkan (melewatkan masa sahur) sehingga kira-kira lima belas minit sebelum masuk waktu fajar atau Subuh. Namun, imsak itu dianjurkan agar waktu itu kita sudah membersihkan diri dan mulut dari segala saki baki makanan.
5. Apakah sah jika saya mandi junub (mandi wajib) selepas Subuh?
Jawapan: Sah tetapi lebih afdal jika mandi sebelum terbit fajar.
6. Jika saya bermusafir dengan menaiki pesawat atau berkenderaan yang tidak memenatkan, apakah saya dikira masih boleh berbuka?
Jawapan: Hukumnya harus berbuka walaupun tidak memenatkan, kerana keharusan itu adalah kerana musafir bukan kerana penat.

Wallahua’lam.

BUKU ‘EKSKLUSIF ZAKAT’ DAN ‘ZAKAT TERAPI KEKAYAAN’ INI BOLEH DIBACA MENGENAI PREVIEWNYA DI SINI DAN DI SINI (KLIK). DAPATKAN BUKU-BUKU INI DI GALERI ILMUKARANGKRAF MALLMPH BOOKSTORE DAN DI KINOKUNIYA.   

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.