EKSKLUSIF ZAKAT – Hamizul Abdul Hamid

Penulis: Hamizul Abdul Hamid
Penerbit: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Tahun: 2012
Jumlah halaman: 257

Apa yang menarik dan berbeza mengenai buku ini. Berikut adalah antara ciri-ciri unik dan menarik buku ini:

1. Ia dihasilkan melalui amali penulis sendiri. Selalunya penulis buku zakat adalah golongan akademik, yang tidak terlibat secara langsung dengan dunia zakat. Maka, penulisan itu selalunya bersifat teori sahaja; tetapi bagi penulis yang mengalami sendiri dan ia juga adalah kerja penulis sehari-hari, maka apa yang disajikan lebih praktikal.

2. Buku ini mengupas hal ehwal zakat dari A-Z, maknanya ia cuba menjelaskan segala macam perkara mengenai fiqh zakat dari sekecil-kecil sehingga ke sebesar-besar perkara. Namun ia tidak berat seperti sebuah ensaiklopedia; kerana ia bukanlah ensaiklopedia.

3. Bahasanya santai dan mudah faham. Teman saya sendiri di LZS kala melihat buku ini sepintas lalu dan membacanya, menyatakan dia mudah memahami apa yang mahu disampaikan. Jika saya mengaplikasikan penulisan ala akademik, mungkin ia tidak sesuai menjadi santapan santai para pembaca awam.

4. Buku ini menyajikan perbahasan yang agak panjang dan ditil mengenai agihan zakat. Sebenarnya, tidak semua orang atau semua penulis berani menyinggung aspek agihan zakat secara mendalam. Ini kerana, menulis mengenai agihan zakat tidak mudah, melainkan ia disertai pengalaman dalam melakukan sendiri agihan berkenaan.

5. Buku ini juga mengupas beberapa isu zakat di negara ini yang terus menjadi ‘isu terpendam’ dalam masyarakat Islam. Misalnya, isu ketidak seragaman pentadbiran zakat, isu pengagihan zakat sendiri, isu menubuhkan intitusi zakat, isu penyaluran zakat dan sebagainya lagi.

6. Turut dikupas ialah mengenai aspek pensejarahan zakat, bermula dari era pra-Islam sehinggalah era-Uthmaniyyah di Turki. Sorotan mengenai sejarah zakat amat jarang dilakukan oleh penulis lain mengenai zakat, kerana ia bukanlah suatu perkara mudah di samping keterbatasan rujukan. Penulis sendiri mendambakan, jikalah mampu memahami bahasa Arab dan Turki, maka rujukan penulis pasti lebih mendalam lagi…insya-Allah.

Maka, dapatkanlah sendiri buku ini demi mencicipi sendiri apa yang telah saya cuba sajikan di dalamnya. Sama ada benar ia berbeza atau sama sahaja dengan semua buku zakat di pasaran, hanya orang yang telah membacanya mampu menyajikan jawapan.

Semoga ada manfaatnya…dan semoga ia menjadikan amalan zakat lebih subur dan bermakna. Amin!

DAPATKAN BUKU-BUKU INI DI GALERI ILMUKARANGKRAF MALLMPH BOOKSTORE DAN DI KINOKUNIYA.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.