IBADAH BAGI ORANG SAKIT

Nota: Wawancara berikut adalah di antara Sinar Harian dan saya yang telah disiarkan pada 2 Mac 2012

1. Persoalan melakukan ibadat bagi orang sakit?

Perkara asas yang mesti kita fahami, Allah SWT tidak pernah mahu membebankan kita dalam kehidupan. Allah menyebutkan: “Kami (Allah) tidak menurunkan al-Quran kepadamu (wahai Muhammad) supaya engkau menanggung kesusahan.” (Taha: 2)

Bahkan Islam amat meraikan keadaan tertentu demi memudahkan umatnya. Allah sebut lagi: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesusahan bagi kamu,” (al-Baqarah: 185)

Dalam Islam, ibadah adalah mudah. Untuk solat misalnya, kita boleh memakai apa sahaja jenis pakaian asalkan menutup aurat dan bersih, kemudian mengadap kiblat dan solatlah. Kita tidak perlu membeli peralatan yang mahal-mahal untuk solat. Ini baharu satu contoh.

Bahkan mungkin ramai yang tidak sedar, keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor tahun 2001 telah menyatakan, adalah harus hukumnya menjamakkan solat kerana menjalani rawatan penyakit kronik yang memakan masa yang lama dan ia disahkan oleh doktor yang pakar bahawa rawatannya memang mengambil masa solatnya kerana panjangnya tempoh rawatan itu, misalnya kerana pembedahan dan sebagainya (dikeluarkan pada 16 Januari 2001, rujuk [MUFTI Sel. 500-2; PU. Sel. AGM/0007 Jld. 2]).

Oleh itu, dalam soal ibadat bagi orang sakit, sudah pastilah ada lebih banyak kelonggaran tertentu di sana-sini. Maka, umat Islam tidak sepatutnya mengambil jalan mudah dengan meninggalkan ibadah ketika mereka sakit. Walhal, sepatutnya kesakitan itu memberikan keinsafan agar lebih dekat dengan Allah.

2. Apakah jenis sakit dan jenis ibadah yang boleh dilakuan?

Sakit itu, sama ada pada bahagian tubuh badan tertentu mahu pun sakit yang melibatkan keseluruhan tubuh badan. Misalnya, jika luka di lengan atau kaki, sehingga tidak boleh dilalukan air wudhuk ke atasnya kerana boleh memudaratkan, maka Islam membolehkan tayamum.

Manakala, jika sakit seluruh tubuh sehingga tidak mampu berdiri,misalnya dalam bab solat, maka ibadah tersebut boleh dilakukan dalam keadaan duduk, baring, menelentang, bahkan sehingga menggunakan isyarat mata dan gerak hati sekalipun, masih wajib bersolat.

Namun begitu, suka saya nyatakan, solat dalam keadaan duduk ini hendaklah terlebih dahulu dilihat kepada kemampuan individu berkenaan. Andai kata dia masih mampu berdiri lebih dahulu, maka hendaklah dia mengangkat takbiratul ihramnya dalam keadaan berdiri. Selepas itu, andai dia sudah tidak larat atau dibimbangi jatuh, maka baharulah dia duduk. Adalah salah seandainya dia masih mampu lagi berdiri; tetapi memilih untuk melakukan solat duduk dari awal. Kecualilah solat sunat, ia boleh dilakukan dalam keadaan duduk walaupun tiada keuzuran sakit.

Begitu juga dalam ibadah puasa, orang yang uzur kerana faktor usia dan sakit, diharuskan tidak berpuasa dan jika mereka memang tidak mampu lagi mengqadakan puasa itu sehingga meninggal dunia, cukup bagi warisnya hanya membayar fidyah. Namun begitu, di sisi mazhab Syafie, disunatkan bagi waris untuk mengqadakan puasanya. Inilah fleksibeliti dalam ibadah dan ia memudahkan kita, dengan syarat kita memahami caranya.

3. Bagaimana cara untuk lakukan ibadat tersebut?

Tayamum misalnya, hendaklah diambil wudhuk setakat yang termampu. Katakanlah si A luka di lengan kanannya, maka ratakan air di lengan kanan setakat termampu, yakni tidak dipaksa air sampai ke tempat yang luka itu, kemudian secara tertib basuhlah tangan kiri, kepala dan kaki. Setelah itu, bertayamumlah dengan niat menggantikan air yang tidak sampai ke atas lengan yang tidak dapat diratakan dengan air wudhuk tadi.

Namun ada juga pandangan yang menyatakan, boleh sahaja ‘dilalukan’ tangan sebagai ‘isyarat’ meratakan air ke atas bahagian yang luka dan selepas itu, tidak perlu lagi diikuti dengan tayamum. Bahkan ada juga pandangan fikah, orang yang luka anggota wudhuknya boleh terus melakukan tayamum tanpa perlu berwudhuk lagi. Walau apa sekalipun pandangan fikah, kita hendaklah belajar agar kelak kita melakukannya dengan ilmu.

Ada juga orang yang ditimpa masalah kencing tidak lawas, sakit yang sentiasa perlu membawa beg najis di badannya atau wanita yang mengidap istihadah (darah penyakit yang terus keluar dari kemaluannya), maka hendaklah mereka mengambil wudhuk apabila masuk waktu solat dan terus dikerjakan solatnya, yakni tidak diselangi dengan sebarang perbuatan lain. Andainya semasa dia sedang solat dan najisnya terkeluar, dimaafkan kerana sudah darurat. Apa yang penting, jangan tidak solat.

Jika puasa, maka setiap hari yang ditinggalkan itu, hendaklah dibayar fidyahnya satu cupak (kira-kira 675 gram) makanan asasi atau beras. Demikianlah juga dalam bab haji, jika kebetulan sakit, maka kita boleh mewakilkan orang untuk membuat lontaran di jamrah atau diusung melakukan tawaf dan sai’e. Bahkan jika perlu, waris boleh membuat badal haji ke atas orang yang sakit dan tiada tanda-tanda akan sembuh sehingga dia meninggal dunia. Inilah indahnya ibadah dalam Islam.

4. Adakah ibadah itu lebih ringan dilakukan berbanding ketika sihat?

Sudah pasti ada keringanannya. Misalnya, dalam bab solat, solat orang sakit yang dalam keadaan baring pasti lebih ringan daripada berdiri. Bahkan ulama membahaskan banyak aspek, misalnya jika dalam keadaan tertentu yang tiada air dan tiada debu untuk bertayamum atau memang tidak boleh menggunakan kedua-duanya, atau dalam keadaan sedang terbang di udara dan sebagainya, maka orang itu masih wajib bersolat biarpun tanpa wudhuk dan ia dinamakan solat menghormati waktu. Dalam situasi tertentu juga, orang lain boleh membantu orang yang sakit untuk berwudhuk.

5. Bagaimana nak buang tanggapan bahawa ketika sakit tidak boleh lakukan ibadat?

Pertamanya, kena ada ilmu. Saya pernah berhadapan dengan soalan, seorang pesakit yang sentiasa membawa beg najis kerana masalah usus besar, dan pesakit itu tidak solat sudah lama. Ia berpunca kerana dia menganggap dirinya bernajis, sedangkan dia dalam keadaan darurat. Islam tidak mebebankan manusia, seperti mana Allah menyatakan: “Allah tidak meletakkan beban atau sesuatu tanggungjawab ke atas diri manusia, melainkan sekadar dengan kemampuannya,” (al-Baqarah: 286)

Keduanya, buang persepsi ibadah itu payah. Sebaliknya, tanam dalam minda bahawa ibadah itu mudah. Untuk mengetahui betapa mudahnya ibadah,kenalah belajar fikah. Misalnya, jika kita dalam keadaan cuaca sejuk dan berada dalam cuaca dingin yang amat dahsyat, misalnya kala belajar di Negara Barat, maka Islam mengharuskan kita untuk menyapu di atas khuf (sejenis kasut daripada kulit) sebagai ganti membasuh kaki. Jarir bin Abdullah r.a pernah melihat nabi berwudhuk dan menyapukan air ke atas kedua-dua khufnya (hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Jadi, apabila kita faham, maka tidak payahlah kita rasa tertekan dalam ibadah, walaupun kita sedang sakit.

Ketiga, buang sikap malas beribadah. Ingatlah, ibadah adalah medan kita berkomunikasi dengan Allah, khususnya dalam solat. Zaman dahulu, para sahabat akan merintih dan merayu dalam solatnya, sehinggakan solat itu menjadi terapi jiwa buat mereka. Apabila jiwa sudah sihat, ia memudahkan kesembuhan fizikal manusia.

6. Adakah sakit itu sebagai balasan atas dosa dilakukan atau ujian daripada ALLAH?

Memang dalam hal sakit ini, ia adalah ujian yang didatangkan oleh Allah SWT. Dalam bahasa Arab disebut bala atau ibtila’. Bala ini maknanya ujian; yang mana ujian ini antaranya untuk menguji dan mengangkat martabat manusia agar lebih dekat kepada Allah. Bukan sakit sahaja ujian, bahkan kesenangan juga ujian. Allah nyatakan: “Dan Kami (Allah) menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai ujian,” (al-Anbiya’: 35). Tetapi kebiasaannya dalam bahasa Melayu, bala dianggap sesuatu yang tidak baik sehingga ada doa untuk tolak bala. Sedangkan zaman silam, ada sahabat nabi menangis bila diri mereka sudah lama tidak diuji Tuhan, kerana bimbang sudah dilupakan.

Maka, dalam bab sakit, ia memang bala atau ujian ke atas manusia. Allah beri, antaranya untuk menghapuskan dosa. Andai bersabar, pasti akan diangkat darjatnya. Ada kes yang pernah saya saksikan sendiri, seorang lelaki itu semasa sihat, malas solat dan suka buat maksiat. Bila dia sakit, dia pun bertaubat dan dengan Allah semakin dekat. Solat tidak ditinggalkan lagi dan selalu membaca al-Quran. Manakan tidak, kaki sudah tergantung, apa lagi yang dia mampu buat selain mengadu kepada Tuhan siang dan malam. Saya terfikir, itulah hikmah sakit buat dirinya.

Maka, orang yang ditimpa ujian sakit, jika mereka berfikiran positif, maka tidak mustahil mereka lebih dekat dan mesra dengan Allah. Dalam seerah nabawiah pun kita lihat, Nabi Muhammad SAW tetap menjaga ibadahnya sehinggalah hampir sangat dengan kematian, nabi masih mendirikan solat. Bahkan, tiada seorang pun sahabat nabi yang culas dan malas. Balasannya, mereka dijanjikan syurga Allah. Allah reda kepada mereka dan mereka pun reda kepada Allah. Alangkah bahagianya hidup mereka.

7. Boleh kah orang lain melakukan ibadat bagi pesakit tersebut?

Dalam hal ini, umumnya ibadah adalah tertakluk kepada individu. Selagi mana mereka terdaya, maka orang lain tidak boleh melakukannya bagi pihak mereka. Misalnya solat, orang yang sakit wajib solat sehinggalah dia sudah tidak mampu. Jika sampai sudah tahap koma atau menjadi gila (hilang akal), maka tidaklah wajib atasnya solat. Namun jika pengsan atau hilang akal yang sementara dan selepas itu dia sedar kembali, maka wajiblah dia mengqadakannya. Andai kata dia meninggal dunia dalam keadaan koma, maka dia tidak berdosa.

Fuqaha membahaskan, ada beberapa ibadah yang boleh dilakukan atau digantikan oleh orang lain. Misalnya, ibadah haji jika tidak ada kemampuan, maka boleh dilakukan oleh orang lain sebagai badal haji. Manakala ibadah puasa, orang yang uzur berkekalan sehingga tidak mampu mengqada puasanya, maka dia boleh digantikan dengan fidyah (sila rujuk al-Baqarah, ayat 184). Dalam bab zakat lagi mudah, tidak perlu tunggu sakit, dalam keadaan sibuk pun ia boleh diwakilkan untuk ditunaikan zakatnya.

8. Kisah pengajaran berkaitan topik ini yang boleh dijadikan panduan?

Zaman dahulu, ketika mana sahabat-sahabat nabi mendapat kesakitan, maka mereka menjadikan solat sebagai tempat melupakan kesakitan itu. Pernah berlaku, seorang sahabat nabi iaitu Saiyidina Ali kwj yang dicabut panah dari kakinya ketika beliau sedang solat. Apabila usai solat dan beliau melihat ramai orang di sisinya, beliau bertanya adakah mereka mahu mengeluarkan anak panah dari kakinya. Mereka menjawab, bahkan anak panah itu sudah pun dikeluarkan.

Demikianlah hebatnya sahabat nabi dalam bab solat dan ibadah. Mereka tidak pernah pun menjadikan alasan enggan beribadah kerana sakit. Bahkan, kesakitan menjadi sirna atau hilang bila takbiratul ihram mereka lakukan.

9. Apakah kelebihan melakukan ibadah ketika sakit yang tidak boleh dilakukan orang sihat?

Sebenarnya, rukshah atau keringanan dalam ibadah, adalah suatu anugerah daripada Allah SWT. Orang yang sakit sehingga tidak mampu berdiri untuk solat, namun semasa sihatnya dia sering ke masjid untuk berjamaah, maka di sisi Allah dia tetap diberikan pahala yang sama. Dengan syarat, orang itu tidak mempermudah-mudahkan urusan ibadahnya. Sebab itu kena jelas, ibadah itu mudah; tetapi jangan dipermudah-mudah. Ia menjadi mudah dengan syarat kenalah ikut kaedah syarak, bukan ikut nafsu dan kehendak.

Dalam konteks kelebihan dan pahala, memang Allah SWT menjanjikan pahala yang besar bagi orang yang sabar dalam ibadahnya. Allah SWT menyatakan: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira,” (az-Zumar: 10)

Memang tidak dinafikan, Syaitan akan tetap berperanan mempengaruhi orang yang sakit agar merasa malas melakukan ibadah. Nabi mengingatkan kita: “Syurga itu dikelilingi dengan perkara yang tidak disukai (oleh hawa nafsu); sedangkan neraka dikelilingi oleh syahwat,” (hadis riwayat Muslim)

Ibadah memang menjadi kesukaran, kecuali bagi orang yang sabar dan kusyuk, pesan Allah lagi: “Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Maka, sebab itulah orang yang sakit kena dikelilingi oleh perkara-perkara yang mendorong minda dan jiwanya untuk ingat kepada Allah SWT. Perbanyakkan zikir, mendengar alunan bacaan al-Quran, menerima kunjungan daripada orang-orang soleh dan melazimi membaca bahan-bahan pembangun jiwa.

Dalam seerah nabi juga, baginda SAW pernah menziarahi seorang Yahudi yang anaknya sakit. Lalu dengan penuh santun dan hormat, nabi meminta keizinan daripada bapa si anak untuk mendoakan anaknya. Dengan izin Allah, anak itu pun sembuh dan perbuatan nabi ini akhirnya menjadi kunci bagi membuka jendela hati si Yahudi kepada cahaya Islam. Inilah barakahnya doa orang yang soleh kepada si pesakit.

Kesimpulan

Ibadah adalah satu kewajipan bagi setiap orang yang mukallaf (yakni berakal dan baligh) dan mampu melaksanakannya, sesuai dengan keadaan diri. Jangankan waktu sakit kita masih wajib beribadah, seperti solat, hatta dalam suasana peperangan sekali pun kita wajib bersolat dan ia dinamakan solat khauf. Maka, marilah luaskan horizon pemikiran kita bahawa ibadah itu mudah. Ini kerana, realitinya ia memang wajib dan mudah, demi memudahkan kita mencapai reda Allah. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.