Desa Iman Zakat

Nota: Tersiar di Utusan Malaysia pada 18 Disember 2011

AYAT di atas menjadi tangkal ajaib agar penulis tegar menelusuri jalan berliku meredah kampung dan estet, bagi menuju ke sebuah daerah yang asing dan kesing.

Di situlah, di sebalik kehijauan alam yang berlatar belakangkan kebiruan pergunungan, juga mengalir tenang Sungai kerling, terselit sebuah perkampungan yang aman dan tenteram.

Itulah sebuah kampung kecil yang diberi nama Desa Iman, yang berdiri kukuh hasil wang zakat. Di situlah, penulis bersama kira-kira 80 peserta Ziarah Korporat dan Media Bersama Asnaf (Zikra) menemui erti pengorbanan dan perjuangan dalam pertemuan singkat bersama Mohd. Zulkifli Dawam, 51, atau Ustaz Zul, penggerak Orang Asli di Desa Iman, pada 30 November 2011.

“Sebagai penggerak masyarakat Orang Asli, saya memang berusaha melunakkan hati mereka kepada Islam. Alhamdulillah, Orang Asli di sini yang berketurunan Suku Temuan sudah ramai yang memeluk Islam, termasuklah Tok Batin mereka.

“Ada kira-kira 12 keluarga saudara Muslim di sini. Lalu, apa yang menjadi cabaran kepada saya adalah untuk menarik mereka agar memahami dan menghayati ajaran Islam dalam kehidupan,” kata beliau.

Ustaz Zul berkata, masyarakat orang Asli ini memang sukakan hiburan. Bagi mereka, dengan joget itulah peluang untuk mencari pasangan. Maka katanya, berdakwah kepada golongan ini memerlukan kebijaksanaan.

“Jika terlalu keras, lain pula jadinya. Misalnya, apabila sudah memeluk Islam, maka mereka perlu sedar batas-batas dalam pergaulan,” tambah beliau.

Lalu penulis teringat sewaktu mengikuti sebuah program bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah penempatan orang Asli beberapa ketika dahulu.

Untuk memikat hati mereka hadir ke program, JAIS terpaksa memainkan lagu-lagu dangdut. Penulis awalnya merasa pelik, namun salah seorang kenalan menyatakan, hiburan itu adalah strategi.

Mungkin strategi inilah juga kunci kejayaan dakwah Islamiah para Wali Songo di Pulau Jawa ratusan tahun dahulu, fikir penulis lagi.

Hakikatnya, berat mata memandang maka berat lagi bahu yang menyandang. Amanah yang ditanggung oleh Ustaz Zul bukanlah mudah.

Ini kerana kedudukan Desa Iman Kuala Kerling yang jauh dari jalan besar menyebabkan tidak ramai pihak pendakwah yang sudi menjengah.

“Misalnya pada sambutan Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, puas juga saya mencari-cari pihak yang sudi bersedekah seekor lembu untuk dikorbankan. Sayangnya, hingga habis hari raya, seekor pun saya tak dapat.

“Surau pun agak jauh dari sini. Sebab itulah, saya terfikir untuk membina sebuah pentas terbuka siap berbumbung di bahagian hadapan Desa Iman ini.

“Jika ada sebarang program, sama ada nasyid, ceramah dan sebagainya, kita boleh adakan di situ,” tambah beliau penuh harapan.

Jika tidak salah kiraan penulis, rombongan Zikra terpaksa mengharungi perjalanan lebih enam kilometer ke dalam kawasan hutan sebelum tiba ke desa berkenaan.

“Sedih juga saya. Di penempatan lain, ramai pihak pendakwah, sama ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahu pun pertubuhan Saudara Muslim yang berkunjung.

“Tetapi di Desa Iman Kuala Kerling ini, amat jarang sekali. Mujurlah Lembaga Zakat Selangor (LZS) sudi mengadakan program seumpama ini, maka setidak-tidaknya dapatlah ia menceriakan para penghuni di sini,” kata Ustaz Zul.

Desa Iman adalah penempatan berkelompok yang dibangunkan khusus untuk Saudara Muslim (dulu disebut asnaf mualaf) di Selangor.

Di samping Desa Iman di Hulu Selangor ini, ada dua lagi penempatan Saudara Muslim iaitu Desa Mansuriah di Sepang dan Baitul Hidayah di Hulu Langat.

Kesemua penempatan ini dibina dengan wang zakat, demi menyediakan suasana yang lebih kondusif untuk para asnaf Saudara Muslim memulakan kehidupan beragama Islam.

Di samping LZS, Bahagian Pembangunan Insan, di bawah Majlis Agama Islam Selangor juga turut bertanggung jawab memantau keadaan. Surau juga telah dibaik pulih dan dilengkapi prasarana yang lebih baik, cuma sayangnya ia agak jauh daripada rumah penghuni.

Sementara itu, Ustaz Zul sendiri merupakan penggerak masyarakat yang dikhaskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mengadakan pengisian dan memandu para Saudara Muslim ini menjalani kehidupan sebagai muslim yang sejati.

“Mungkin tuan-tuan dan puan-puan mempunyai idea lebih bernas untuk kemajuan desa ini, maka berikanlah kepada saya agar dapat saya realisasikan di sini.

“Puas sudah saya memerah minda, namun realitinya membangunkan manusia bukanlah mudah. Mudah-mudahan, Allah SWT memberkati usaha kita ini,” katanya menutup bicara.

Nota: Mana-mana individu atau pertubuhan sukarela yang berminat mengadakan misi dakwah dan menyalurkan bantuan ke penempatan ini, sila berhubung dengan Mohd. Zulkifli Dawam di talian 019-2735641.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.