Zakat Buka Jalan

Nota: disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 22 Disember 2011

SAAT melewati sebatang jalan di pinggiran tasik yang meluas terbentang di Ulu Yam, terasa kagum pada kecantikan alam ciptaan Tuhan. Di sebuah kawasan rumah, rumput yang menutup bumi dipotong pendek. Beberapa batang pohon rambutan berbuah lebat mulai masak meranum. Tasik yang melatari pemandangan menambahkan keindahan. Terdetik di hati, alangkah tenangnya jika dapat bermukim di sini.

Tanpa sedar, konvoi Jejak Asnaf yang diketuai Ustaz Shahril, Pegawai Zakat Agihan Daerah Hulu Selangor rupa-rupanya berhenti di hadapan salah sebuah rumah yang terletak di pinggir tasik berkenaan. Tanpa diduga, daripada tiga buah rumah yang terletak di pinggir tasik itu, salah sebuah daripadanya adalah milik seorang asnaf yang kini sedang berada di garisan penamat kemiskinannya.

Hakikatnya, beliau menjadikan kelebihan rumah di tepi tasik untuk mengembangkan rezeki. Maka kali ini, marilah kita telusuri bersama cerita Norzaini bin Jusoh, 49 yang bakal mewarnai kisah Jejak Asnaf pada kali ini.

“Saya berasal dari Datuk Keramat, Kuala Lumpur. Isteri saya, Rozaidah Ahmad juga berasal dari Kuala Lumpur. Kami ini hakikatnya memberanikan diri mencuba nasib di Hulu Selangor.

“Sewaktu di ibu kota dahulu, saya bertukang. Itulah mata pencarian saya. Apabila saya mengambil keputusan berhijrah ke Ulu Yam, saya sebenarnya mengambil risiko yang sangat besar. Ini kerana, saat awal, kami tiada kenalan langsung di sini.

“Pendeknya, tiada sesiapa pun yang boleh dijadikan panduan untuk membuka apa-apa jalan pekerjaan. Bahkan untuk mendapatkan kerja membina rumah pun susah. Itulah sejarah awal kedatangan saya dan keluarga ke Ulu Yam,” demikianlah Norzaini memulakan cerita.

Sesekali bunyi ayam dam itik peliharaannya turut mencelah.

“Hampir sahaja saya membuat keputusan pulang semula ke Kuala Lumpur. Tetapi, isteri saya menguatkan semangat. Maka, demi meneruskan kehidupan, saya menggagahkan diri mencari ikan di tasik, mencari rebung, pucuk paku dan sebagainya. Pendek kata, alam semula jadi adalah jalan rezeki saya kala itu.

“Setelah dapat mengumpul duit sedikit demi sedikit, saya mencuba membela itik di tasik di belakang rumah. Maklumlah, tasik ini luas dan rugi jika tidak dimanfaatkan. Mula-mula 100 ekor sahaja. Kemudian 200 ekor dan kemudiannya mencecah 500 ekor . Sempat saya jual dan mendapat pulangannya. Sayangnya, itik-itik saya keracunan dan 500 ekor yang terakhir itu mati begitu sahaja,” jelas Norzaini sambil mengenangkan kerugian yang pernah dialaminya.

Menurut Norzaini, kerugian yang melanda menyebabkan dia terpaksa bersusah-payah mencari titik mula rezekinya.

“Teringat juga saya, waktu mula-mula ke sini dahulu, kebetulan ada orang meminta saya untuk memunggah sebuah surau lama. Maka, dengan kayu-kayu bekas surau itulah saya membina rumah untuk keluarga di sini. Mujur saya ini pandai bertukang. Pendek kata semuanya saya bangunkan sendiri.

“Memang perit jika dikenangkan. Semasa susah itu, anak-anak saya menyambut hari raya pun dalam keadaan baju mereka dibeli oleh adik-beradik saya. Tapi tidaklah sampai kami kelaparan. Alhamdulillah, ahli keluarga yang kemudiannya turut berpindah ke sini sudi menghulurkan bantuan,” jelasnya

Jelas Norzaini, kaum keluarganya telah berpakat membeli seekar tanah di Ulu Yam dan mereka berkongsi empat orang memilikinya.

“Ketika saya sedih menanggung kerugian akibat kematian itik-itik itulah, saya telah disarankan oleh seseorang agar memohon bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Akhirnya saya ke Pejabat LZS Cawangan Hulu Selangor. Hasil pertemuan dengan pegawai di sana, saya dibanci dan dikategorikan sebagai asnaf.

“Maka, mulai tahun 2009 saya pun mulai dibantu dengan wang zakat secara teratur,” ujarnya lagi.

Berdasarkan rekod LZS, Norzaini yang mempunyai enam orang anak pernah menerima bantuan Ramadan dan hari raya, bantuan pendidikan, bantuan makanan dan bantuan wang bulanan.

Bahkan LZS turut meluluskan bantuan modal penternakan bagi beliau menjalankan semula penternakan itik dan kini ditambah dengan penternakan ayam.

Modal penternakan yang diperolehinya adalah sebanyak RM4,000.

“Hakikatnya, LZS telah membuka jalan buat saya memulakan semula kehidupan. Saya amat menghargainya dan mengucapkan ribuan terima kasih atas semua bantuan ini.

“Ia mengobarkan lagi semangat juang saya untuk menjadi seorang pengusaha dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Jika dahulu, kehidupan saya anak beranak memang susah. Misalnya, bila berhadapan dengan sesi baharu persekolahan, saya mulai risau memikirkan belanja anak-anak. Namun, bantuan zakat telah meringankan semua ini,” tambah Norzaini.

Dalam pada itu, berdasarkan unjuran oleh LZS, Norzaini bakal keluar daripada status asnaf zakat pada penghujung tahun 2011.

Demi melengkapkan lagi usaha penternakannya, LZS kini dalam proses memberikan modal tambahan sebanyak RM11,000 lagi kepada beliau.

Bantuan itu khusus bagi membina reban ayam dan itik yang lebih baik. Modal itu juga untuk membesarkan lagi jumlah ternakannya.

“Syukur kepada Allah, kini saya mulai mampu memperolehi pendapatan melebihi RM1,000 setiap bulan. Jika dahulu, hendak mendapat RM800 pun susah. Mujurlah ada zakat, dan zakat telah membuka jalan baru buat saya.

“Izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada pembayar zakat, kerana telah memberikan peluang kepada orang-orang seperti saya untuk berjaya.” Akhirinya dengan penuh pengharapan.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.