HUKUM BAGI NON MUSLIM MELAWAT MASJID

(Nota: TAJUK ASAL IALAH, HADITH-HADITH BERKAITAN  MELAWAT MASJID BAGI NON MUSLIM: HUKUM DAN KESANNYA  TERHADAP DAKWAH, DAN DR. FAISAL MERUPAKAN MUALIM SAYA DI UM)

Oleh:
Dr. Faisal Ahmad Shah,
Jabatan al-Quran dan al-Hadith,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya

1- PENGENALAN

Kecantikan seni bina dan ukiran masjid tidak dinafikan memberi sumbangan dalam menggambarkan Islam sebagai sebuah agama yang cantik dan indah dari sudut zahir dan maknawinya. Keunikan seni bina masjid dan keindahan tulisan khatnya yang menghiasi dinding masjid telah menjadi tarikan kepada bukan sahaja masyarakat Islam tetapi juga pelancong-pelancong asing non muslim. Terlalu kerap kita mendengar, membaca dan menerima pujian tentang masjid yang tersergam indah. Antaranya kecanggihan masjid Nabawi, keindahan Masjidil Haram, keagungan masjid-masjid di Cardova, Turki, Damsyik, Baghdad sehinggalah kesergaman masjid-masjid di rantau ini. Pelbagai penulisan, rakaman dan kata-kata manis dilahirkan baik oleh pelancong mahupun oleh masyarakat setempat. Namun hakikat pengimarahan masjid terletak bukan sahaja pada keindahan fizikal tetapi yang lebih penting terletak pada kualiti umat tersebut. Kesungguhan pelancong-pelancong non muslim untuk melawati masjid selain non muslim setempat mendesak kepada kajian semula terhadap kupasan ayat-ayat al-Quran dan hadith tentang hukum melawat masjid bagi mereka. Beberapa dalil daripada al-Quran, hadith serta pandangan ulama tentang hukum melawat masjid bagi non muslim akan dikemukakan dengan mengambil kira realiti masyarakat Islam pada hari ini.

2. HUKUM NON MUSLIM MEMASUKI MASJID MENURUT AL-QURAN DAN HADITH

Perbahasan ulama berkaitan hukum non muslim memasuki masjid sebenarnya tidak terpisah daripada perbahasan berkaitan perkara-perkara berikut:

Pertama: Hukum Non muslim memasuki kawasan tanah haram Mekah
Kedua: Hukum Non muslim memasuki Masjidil Haram
Ketiga: Hukum Non muslim memasuki masjid nabi
Keempat: Hukum Non muslim memasuki Masjid Nabawi Madinah
Kelima: Hukum Non muslim memasuki tanah haram Madinah

Terdapat banyak dalil daripada al-Quran ataupun hadith yang dijadikan sandaran oleh para ulama dalam mengharuskan atau mengharamkan non muslim memasuki masjid.

2.1 Dalil-dalil daripada al-Quran yang mengisyaratkan larangan memasuki masjid bagi non muslim

Antara dalil-dalil daripada al-Quran yang mengisyaratkan larangan memasuki masjid adalah seperti berikut:

i- Firman Allah (s.w.t) dalam surah al-Taubah ayat 18

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

Maksudnya:

Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada allah dan hari kemudian.

Berdasarkan ayat ini setengah ulama melarang non muslim memasuki masjid dengan anggapan bahawa hanya orang-orang beriman sahaja yang boleh memakmurkan masjid.

ii- Firman Allah dalam surah Taubah ayat 17:

مَا كَانَ لِلْمُشْرِكِينَ أَنْ يَعْمُرُوا مَسَاجِدَ اللَّهِ شَاهِدِينَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ بِالْكُفْرِ

Maksudnya:

Tidaklah boleh orang-orang musyrik itu memakmurkan masjid-masjid Allah sedangkan mereka mengakui bahawa mereka sendiri kafir.

iii- Firman Allah (s.w.t) dalam surah al-Taubat ayat 28:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَذَا

Maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman , sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis maka janganlah mereka mendekati masjidil haram sesudah tahun ini.

Ayat yang disebutkan di atas telah dijadikan dalil oleh semua mazhab dalam membincangkan keharusan dan larangan memasuki masjid bagi non muslim. Sesungguhnya perdebatan ulama dalam memahami ayat ini banyak tertumpu kepada lafaz najis yang menurut setengah ulama menjadi sebab kepada larangan tersebut.

Jika diperhatikan dengan teliti, larangan yang terdapat dalam ayat ini lebih khusus kepada golongan musyrikin dan terhad kepada Masjid al-Haram sahaja. Walaupun begitu, Imam Malik mengqiyaskan lafaz musyrikin dalam ayat ini merangkumi kesemua kuffar termasuk ahli kitab dan mengqiyaskan Masjidil al-Haram kepada kesemua masjid. Dengan kata lain Imam Malik berpandangan bahawa haram bagi non muslim tanpa kecuali seorang pun memasuki mana-mana masjid. Golongan Malikiah pula berhujjah bahawa huruf fa’ yang datang selepas penghabaran tentang musyrikin itu najis adalah merupakan dalil kepada illah larangan tersebut.

Menurut Imam Syafii pula ayat ini adalah khusus kepada Masjidil al-Haram sahaja. Pandangan beliau ini bermaksud tidak boleh Non muslim memasuki Masjidil Haram dalam keadaan mana sekalipun tetapi boleh memasuki masjid lain dengan keperluan sebagaimana masuknya Thumamah dan Abu Sufian. Pandangan beliau ini juga mengecualikan orang Yahudi dan Nasrani daripada larangan tersebut. Dalam hal ini golongan Syafiyyah berpegang kepada kisah Thumamah yang diikat di masjid. Walaupun begitu hujjah Syafiyyah ini ditolak oleh Malikiyyah dengan alasan bahawa kisah Thumamah berlaku sebelum pembukaan kota Mekkah manakala ayat surah Taubat pula diturunkan selepas pembukaan kota Mekah. Mereka mendakwa sebelum turunnya ayat ini, orang kafir bebas memasuki Masjidil Haram. Golongan Syafiyyah menjawab pula dengan dalil bahawa peristiwa rombongan Thaqif dibenarkan tinggal di masjid berlaku pada tahun sembilan hijrah iaitu selepas peperangan Tabuk. Pandangan ini dijawab pula oleh Malikiyyah dengan alasan bahawa peristiwa tersebut berlaku pada bulan Ramadhan sedangkan ayat tersebut diturunkan pada bulan Zulhijjah.

Imam Abu Hanifah pula berpandangan bahwa larangan ini dikhususkan kepada penyembah-penyembah berhala daripada memasuki Masjidil Haram sahaja. Beliau dengan ini, mengharuskan ahli kitab memasuki Masjidil Haram dan mengharuskan penyembah berhala memasuki masjid kecuali Masjidil Haram.

Berikut adalah pandangan ulama mengenai maksud najis yang menjadi punca kepada perselisihan pendapat ulama.Antaranya :

i- Najisnya mereka itu adalah pada zatnya sebagaimana najisnya anjing dan khinzir.
ii- Tubuh badan mereka adalah suci dengan dalil bahawa nabi pernah meminum daripada bekas-bekas bejana mereka dan larangan non muslim memasuki masjid hanya khusus kepada Masjidil Haram sahaja.
iii-Najisnya mereka itu adalah pada hukumnya bukan pada zat.
iv-Najisnya mereka kerana tidak mandi dan berwudu’ selepas junub dan hadath kecil.
v-Benda –benda najis hendaklah dijauhi maka non mulim hendaklah dijauhi daripada menghampiri masjid.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada pendapat di atas ialah kebanyakan ulama menganggap bahwa najisnya non muslim itu hanya pada hukumnya bukan pada zatnya

Persoalan lain yang dibincangkan para ulama berkenaan ayat ini ialah kedudukan tanah haram. Setengah ulama berpendapat Masjidil Haram yang disebutkan dalam ayat ini merangkumi tanah haram dengan alasan bahawa jika dibenarkan non muslim memasuki tanah haram maka sudah semestinya mereka akan menghampiri Masjidil Haram.

iv- Firman Allah (s.w.t) dalam surah al-Nur ayat 36:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّهُ أَنْ تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

Maksudnya:

Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya,pada waktu pagi dan pada waktu petang.

Ayat ini menegaskan lagi larangan membawa non muslim memasuki masjid kerana bertentangan dengan tujuan untuk meninggikan dan memuliakannya. Malah khalifah Umar ibn Abdul Aziz menggunakan ayat ini seterusnya diutuskan kepada gabenor-gabenornya.

iv- Firman Allah dalam surah al-hajj ayat 26:

وَطَهِّرْ بَيْتِيَ لِلطَّائِفِينَ وَالْقَائِمِينَ وَالرُّكَّعِ السُّجُودِ

Maksudnya:
Dan sucikanlah rumahku ini bagi orang-orang yang tawaf dan orang-orang yang beribadat dan orang-orang yang ruku’ dan sujud.

Kesimpulan yang dapat diambil daripada dalil-dalil al-Quran yang disebutkan sebelum ini ialah larangan memasuki Masjid Haram bagi non muslim adalah berdasarkan kepada nas al-Quran manakala larangan memasuki masjid-masjid selainnya adalah disebabkan tanggungjawab memelihara masjid daripada kekotoran dan najis.

2.2 Dalil-dalil daripada hadith yang mengisyaratkan larangan bagi non muslim memasuki masjid .

Antara hadith-hadith yang mengisyaratkan larangan bagi non muslim memasuki masjid adalah seperti berikut:

i- Sabda Rasulullah (s.a.w) kepada seorang badwi:

إن هذه المساجد لا تصلح لشيء من هذا البول ولا القذر

Maksudnya: Sesungguhnya masjid-masjid ini tidak sesuai untuk sesuatu daripada air kencing ataupun kekotoran

Hadith ini menegaskan bahwa masjid bukan sebuah tempat bagi kekotoran atau najis. Jika masjid dilarang daripada perkara-perkara ini maka sudah tentu non muslim lebih wajar dilarang kerana dianggap najis.

ii- Athar daripada Abu Musa al-As’ari:

أَنَّ أَبَا مُوسَى رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ وَفَدَ إِلَى عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُمَا وَمَعَهُ كَاتِبٌ نَصْرَانِىٌّ فَأَعْجَبَ عُمَرَ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ مَا رَأَى مِنْ حِفْظِهِ فَقَالَ : قُلْ لِكَاتِبِكَ يَقْرَأُ لَنَا كِتَابًا. قَالَ : إِنَّهُ نَصْرَانِىٌّ لاَ يَدْخُلُ الْمَسْجِدَ. فَانْتَهَرَهُ عُمَرُ رَضِىَ اللَّهُ عَنْهُ وَهَمَّ بِهِ وَقَالَ : لاَ تُكْرِمُوهُمْ إِذْ أَهَانَهُمُ اللَّهُ وَلاَ تُدْنُوهُمْ إِذْ أَقْصَاهُمُ اللَّهُ وَلاَ تَأْتَمِنُوهُمْ إِذْ خَوَّنَهُمُ اللَّهُ عَزَّ وَجَل

Maksudnya: sesungguhnya Abu Musa al-As’ari datang kepada Umar bin al-Khattab dan bersamanya seorang penulis Nasrani ,umar tertarik dengan apa yang beliau lihat daripada hafazannya lalu berkata: Katakan kepada penulis engkau untuk dia baca kepada kita buku. Abu Musa berkata: Dia adalah Nasrani tidak boleh memasuki masjid. Lalu Umar mengherdiknya dan memarahinya dengan katanya: jangan engkau memuliakan mereka kerana allah menghina mereka jangan engkau mendekatkan mereka kerana allah menjauhkan mereka jangan engkau member amanah kepada mereka kerana allah tidak mempercayai mereka.

Riwayat ini jelas membuktikan bahawa Umar melarang penulis Nasrani tersebut memasuki masjid walaupun kepakaran beliau boleh mendatangkan keuntungan dan kemanfaatan kepada orang Islam.

2.3 Dalil-dalil daripada hadith yang mengharuskan non muslim memasuki masjid.

Antara hadith-hadith yang mengharuskan non muslim memasuki masjid adalah seperti berikut:

i- Daripada Anas bin Malik berkata:

أَنَسَ بْنَ مَالِكٍ يَقُولُ يْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ دَخَلَ رَجُلٌ عَلَى جَمَلٍ فَأَنَاخَهُ فِي الْمَسْجِدِ ثُمَّ عَقَلَهُ ثُمَّ قَالَ لَهُمْ أَيُّكُمْ مُحَمَّدٌ وَالنَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُتَّكِئٌ بَيْنَ ظَهْرَانَيْهِمْ فَقُلْنَا هَذَا الرَّجُلُ الْأَبْيَضُ الْمُتَّكِئُ فَقَالَ لَهُ الرَّجُلُ يَا ابْنَ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ فَقَالَ لَهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَدْ أَجَبْتُكَ فَقَالَ الرَّجُلُ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنِّي سَائِلُكَ

Maksudnya: Anas bin Malik berkata: ketika mana kami duduk bersama nabi s.a.w di dalam masjid ,masuk seorang lelaki dengan untanya lalu mendudukkan untanya di dalam masjid kemudian mengikatnya kemudian bertanya kepada sahabt nabi :yang mana satu di kalangan kamu Muhammad .nabi pada waktu itu sedang duduk bersama sahabt-sahabatnya lalu kami jawab itu lelaki yang putih yang sedang duduk kemudian lelaki tersebut berkata wahai anak abd al-mutallib lalu nabi menjawab : ya lelaki berkata kepada nabi aku ingin bertanya…

Jika diperhalusi hadith Rasulullah (s.a.w) ini, kita akan dapati bahawa lelaki tersebut tidak meminta izin daripada Rasulullah atau para sahabat malah terus mendudukkan untanya di dalam masjid lalu menuju ke tempat Rasulullah (s.a.w). Dalam hadith ini tidak timbul persoalan meminta izin memasuki masjid ataupun tidak. Perkara kedua ialah tujuan lelaki tersebut ingin berjumpa Rasulullah ialah ingin bertanyakan suatu masalah atau persoalan. Maka dalam hal ini, kedatangan lelaki tersebut dianggap satu keperluan yang daruri. Perkara yang ketiga pula, ialah harus difahami bahawa masjid di zaman nabi tidak sebagaimana zaman sekarang malah zaman tersebut struktur pembinaan masjidnya amat sederhana sekali. Atapnya hanya meliputi sebahagian kecil sahaja sehingga sinar cahaya matahari akan mengenai mereka yang sedang bersembahyang. Malah sekiranya hari hujan, ruangan masjid itu menjadi basah dan becak kerana lantainya terdiri daripada tanah semata-mata. Perkara yang keempat, kemungkinan Rasulullah (s.a.w) atau para sahabat tidak melarang lelaki tersebut memasuki masjid memandangkan beliau seorang Arab Badwi yang jahil dan keras hatinya. Rasulullah dalam dakwahnya kepada masyarakat Arab Badwi sering mengambil pendekatan yang mudah dan memudahkan sehingga tertariknya mereka kepada Islam.

ii- Daripada Abu Hurairah (r.a) berkata:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ الْيَهُودُ أَتَوْا النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ جَالِسٌ فِي الْمَسْجِدِ فِي أَصْحَابِهِ فَقَالُوا يَا أَبَا الْقَاسِمِ فِي رَجُلٍ وَامْرَأَةٍ زَنَيَا مِنْهُمْ

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah berkata: serombongan Yahudi datang berjumpa nabi s.a.w sedang nabi duduk di dalam masjid bersama sahabat-sahabatnya lalu mereka bertanya wahai Abu Qasim mengenai lelaki dan wanita berzina di kalangan mereka

Dalam hadith ini tidak disebutkan rombongan Yahudi tersebut meminta kebenaran daripada Rasululullah (s.a.w) untuk memasuki masjid. Ini berbeza dengan sikap para sahabat yang sentiasa meminta izin daripada Rasulullah (s.a.w) untuk menemuinya. Dalam peristiwa ini tidak disebutkan keizinan itu berlaku. Selain daripada itu kedatangan mereka pula adalah untuk bertanyakan hukuman terhadap lelaki dan wanita Yahudi yang berzina.

Kedua –dua hadith yang disebutkan sebelum ini jelas menunjukkan bahawa non muslim yang memasuki masjid adalah bertujuan untuk bertanyakan Rasulullah (s.a.w) persoalan dan permasalahan agama.

iii- Daripada Abdul al-Razzaq ,daripada al-Thauri daripada hassan berkata:

جاء النبي صلى الله عليه وسلم رهط من ثقيف، فأقيمت الصلاة فقيل يا نبي الله إن هؤلاء المشركون فقال إن الأرض لا ينجسها شيء

Maksudnya: Rombongan daripada Thaqif telah dating berjumpa nabi s.a.w , kemudian diqamat untuk solat dan dikatakan kepada nabi wahai nabi Allah mereka adalah orang musyrik lalu nabi menjawab sesungguhnya bumi/tanah ini tidak dinajiskan dengan sesuatu pun.

Hadith ini dijadikan sandaran bagi golongan yang mengatakan bahawa non muslim boleh memasuki masjid dengan alasan bumi tidak akan dinajiskan dengan sesuatu apa pun. Lafaz musyrik yang diisyaratkan dalam hadith ini ialah orang yang mensyirik dan menyengutukan Allah (s.wt). Dengan kata lain masyarakat Hindu, Buddha dan Sikh boleh melawat dan memasuki masjid bersandarkan kepada hadith ini.

iv- Daripada Abdul Razzaq daripada Ibn Juraij berkata:

أنزل النبي صلى الله عليه وسلم وفد ثقيف في المسجد وبنى لهم فيه الخيام يرون الناس حين يصلون ويسمعون القرأن
Maksudnya: Nabi s.a.w telah menempatkan rombongan bani Thaqif di masjid dan mendirikan bagi mereka khemah di mana mereka dapat melihat sahabat –sahabt solat dan mereka dapat mendengar al-Quran

Dalam riwayat ini Rasulullah (s.a.w) memberikan kemudahan kepada rombongan Bani Thaqif dengan mendirikan khemah-khemah bagi mereka di dalam masjid supaya hati mereka tertarik dengan Islam. Ini jelas membuktikan bahawa non muslim dibenarkan memasuki masjid dengan syarat mempunyai kepentingan dan keperluan tertentu. Layanan istimewa ini perlu diberikan sebagai salah satu cara dakwah untuk menarik mereka kepada Islam.

v-Daripada Abu Hurairah .r.a:

أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ بَعَثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْلًا قِبَلَ نَجْدٍ فَجَاءَتْ بِرَجُلٍ مِنْ بَنِي حَنِيفَةَ يُقَالُ لَهُ ثُمَامَةُ بْنُ أُثَالٍ فَرَبَطُوهُ بِسَارِيَةٍ مِنْ سَوَارِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a sesungguhnya Rasulullah s.a.w menghantar utusan ke arah Najd lalu di bawa seorang lelaki daripada Bani Hanifah yang dikenali dengan Thumamah bin Uthal lalu sahabt mengikatnya di tiang daripada tiang-tiang masjid

Dalam hal ini Rasulullah bertindak sebagai pemimpin negara yang memutuskan sesuatu keputusan berdasarkan kepada maslahah tertentu. Kemungkinan penahanan Thumamah di masjid memudahkan pemantauan dan kawalan terhadapnya dilakukan. Malah masjid pada waktu itu juga merupakan pusat pemerintahan dan pentadbiran yang menguruskan hal ehwal dan kepentingan negara.

Daripada dalil-dalil yang dikemukakan ini boleh dibuat beberapa kesimpulan seperti berikut:
i- Kedatangan non muslim ke masjid pada zaman Rasulullah adalah bertujuan untuk bertanyakan tentang Islam dan persoalan agama.
ii- Tidak ada dalil yang menunjukkan larangan memasuki masjid bagi non muslim yang ingin bertanyakan sesuatu persoalan kepada Rasulullah (s.a.w).
iii- Rasulullah mengunakan pendekatan mudah dan tidak menyusahkan ketika berdakwah kepada non muslim.

Kesimpulannya, pendapat Imam al-Syafii bahawa non muslim tidak dibenarkan memasuki Masjidil Haram dalam keadaan mana sekalipun tetapi boleh memasuki masjid-masjid lain dengan hajat dan keperluan di samping mempunyai keizinan daripada umat Islam lebih sesuai diterima. Keperluan mendedahkan mereka kepada hakikat Islam yang sebenar pada hari ini lebih mendesak daripada menilai mereka sebagai najis yang membawa kepada larangan memasuki masjid.

3. REALITI PADA HARI INI.

Dewasa ini, masjid dikenali kerana cantik seni binanya, besar kubahnya, tinggi menaranya dan menariknya tulisan-tulisan khat yang menghiasi dinding-dindingnya. Bilangan ma’mum yang mengimarahkan masjid bukan menjadi suatu kepentingan yang dititkberatkan pada masa ini. Masjid-masjid yang dikenali dengan kecantikan seni binanya yang bercirikan seni ukir empayar-empayar Islam dulu sering menjadi tumpuan masyarakat Islam tempatan juga oleh pelancong-pelancong asing yang datang ke negara ini.

Persoalannya adakah lawatan pelancong-pelancong asing non muslim ke masjid pada hari ini merupakan satu keperluan yang mendatangkan faedah kepada umat Islam?. Adakah lawatan mereka ke masjid-masjid boleh dianggap sebagai satu peluang dakwah yang harus direbut bagi menjelaskan keindahan Islam dan kebaikannya kepada mereka selain membetulkan salah faham mereka terhadap Islam. Apakah pula cara dan kaedah terbaik berdakwah kepada mereka dalam tempoh yang begitu singkat sempena lawatan tersebut.

Daripada maklumat yang diperolehi daripada Masjid Negara Kuala Lumpur dan Masjid Negeri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berikut adalah layanan-layanan yang diberikan kepada pelancong-pelancong asing ini seperti berikut:

i- Mereka dikehendaki memakai pakaian yang disediakan sebelum melawat masjid
ii- Tidak ada pegawai masjid yang mengiringi mereka ketika lawatan
iii- Tidak ada penerangan yang diberikan oleh pegawai masjid berkaitan masjid
iv- Mereka tidak dibenarkan memasuki dewan sembahyang
v- Mereka dilarang mengambil gambar di dalam masjid

Jika layanan yang diberikan sedemikian rupa maka pelancong non muslim tidak perlu lagi dibenarkan memasuki masjid malah masjid-masjid tidak perlu lagi dimasukkan dalam senarai tempat-tempat pelancongan yang boleh dilawati. Ini adalah kerana lawatan tersebut tidak mendatangkan apa-apa kesan dari sudut dakwah kepada non muslim malah tidak memberi keuntungan kepada umat Islam sedikitpun. Jika layanan sebegini dikekalkan maka akan samalah masjid dengan tempat-tempat pelancongan yang lain. Persoalannya sekarang adakah dengan lawatan mereka ke masjid dengan layanan yang disebutkan sebelum ini akan membuka pintu hati mereka untuk tertarik kepada Islam. Atau adakah dengan melihat ukiran-ukiran dan tulisan khat yang menghiasi dinding masjid akan melembutkan hati mereka untuk menerima Islam. Atau adakah dengan melihat masjid yang paling besar, paling tinggi menaranya, paling besar kubahnya akan menarik hati mereka untuk memeluk agama Islam. Apa yang pasti masjid-masjid pada zaman Rasulullah yang berbumbungkan plepah-pelepah tamar dan beralaskan tanah dan pasir tetap mampu menarik qabilah-qabilah Arab yang taasub kepada Islam dan seterusnya menjadikan mereka pendokong kuat kepada agama Islam.

Lawatan-lawatan yang diadakan oleh pelancong-pelancong asing non muslim ke masjid –masjid merupakan satu peluang untuk berdakwah yang harus digunakan dengan sebaiknya. Bayangkan jika sesi penerangan dan penjelasan tentang Islam dapat dilakukan, maka berapa ramai pelancong asing yang akan dapat dibetulkan kefahamannya tentang Islam seterusnya memberikan persepsi baik terhadap Islam.Oleh kerana peluang ini tidak datang berulang kali maka beberapa persediaan perlu dilakukan bagi menyambut mereka. Antara cadangan dan usaha yang perlu dilakukan adalah seperti berikut:

i- Mengekalkan pakaian jubah kepada non muslim terutamanya bagi mereka yang memakai pakaian yang tidak sopan

Pelancong non muslim perlu diminta untuk memakai pakaian yang disediakan sebelum memasuki masjid sebagai satu tanda penghormatan kepada masjid. Mereka perlu dijelaskan bahawa Islam mengkehendaki umatnya memakai pakaian yang sopan dan bersih sebelum memasuki masjid sebagaimana mereka dikehendaki memakai pakaian yang sopan ketika memasuki gereja, kuil atau tempat-tempat ibadat yang lain.

Keadaan ini berbeza pada zaman Rasulullah (s.a.w), non muslim tidak diminta untuk memakai pakaian tertentu sebelum memasuki masjid. Malah Rasulullah sendiri tidak menetapkan peraturan bagi mereka sebelum memasuki masjid. Suatu yang harus difahami bahawa masyarakat pada zaman Rasulullah berbeza dengan masyarakat pada hari ini. Rasulullah (s.a.w) dikelilingi oleh masyarakat badwi yang jahil, rosak akhlaknya serta mempunyai perasaan taasub yang kuat terhadap qabilah masing-masing. Agama Islam pada waktu itu terlalu asing bagi mereka. Maka salah satu pendekatan dakwah yang digunakan oleh Rasulullah ialah sentiasa memudahkan dan tidak menyusahkan supaya mereka tertarik dan terpaut dengan keindahan dan kebaikan Islam.

ii- Menyediakan pegawai masjid bagi mengiringi mereka ketika lawatan.

Pegawai ini berperanan memberikan penerangan dan maklumat berkaitan masjid atau Islam serta menjawab segala pertanyaan yang dikemukakan oleh pelawat. Selain itu, Islam sendiri menyuruh umatnya supaya sentiasa menghormati dan memuliakan tetamu. Di samping itu, kehadiran pegawai terbabit juga akan menimbulkan perasaan dihargai di kalangan mereka.

iii- Larangan memasuki dewan sembahyang

Larangan bagi mereka memasuki dewan sembahyang harus dikekalkan. Penjelasan yang logik harus diberikan kepada mereka supaya dapat menghilangkan sebarang salah faham atau kekeliruan terhadap Islam. Larangan tersebut secara tidak lansung mengambil kira pandangan ulama antaranya Imam Malik yang tidak membenarkan sama sekali non muslim memasuki masjid. Namun jika mereka datang untuk mendengar mengenai Islam maka harus dibenarkan.

iv- Mengambil gambar di masjid.
Tiada larangan khusus untuk mengambil gambar di masjid namun aspek penghormatan kepada masjid dan mengelakkan masjid daripada dijadikan seperti tempat-tempat pelancongan yang lain perlu diambilkira.

v- Bentuk-bentuk penerangan yang harus diberikan

Pihak masjid harus mempunyai beberapa persediaan sebelum penerangan diberikan kepada mereka.Penerangan yang diberikan pula tidak hanya berkisar kepada maklumat berkaitan masjid, bila dibina dan diasaskan, berapa kos perbelanjaannya, siapa yang merasmikannya, berapa keluasannya, apa kemudahan yang ada dan selainnya. Antara perkara-perkara yang perlu diperjelaskan kepada mereka adalah seperti berikut

1- Penerangan berkaitan masjid secara ringkas
2- Penayangan audio video selama 5 minit tentang cara hidup, keindahan dan keagungan Islam. Mereka harus didedahkan dengan Islam dan ia merupakan satu keperluan yang signifikan dengan kehidupan mereka lebih –lebih lagi jiwa dan nurani mereka yang kosong dan tercari-cari sesuatu untuk dijadikan pegangan hidup.
3- Membetulkan salah faham dan buruk sangka mereka terhadap Islam terutamanya dakwaan Islam ialah agama yang menyeru kepada keganasan, pertumpahan darah dan pembunuhan. Media-media asing barat yang didokong oleh pertubuhan-pertubuhan Yahudi Zionis seperti CNN sentiasa mencari peluang memburukkan Islam di mata dunia.
4- Menceritakan penindasan yang dialami oleh umat Islam seluruh dunia seperti perjuangan umat Islam Palestin, umat Islam Bosnia, Iraq dan seumpamanya
5- Menjelaskan isu-isu yang menimbulkan buruk sangka terhadap Islam

Pegawai masjid yang dipertanggungjawabkan dengan tugas ini harus mempunyai maklumat dan persediaan serta kepakaran dalam ilmu yang hendak disampaikan. Pegawai tersebut juga harus bersedia menjawab segala pertanyaan yang dikemukakan dengan hikmah dan bijaksana. Kelima-lima cadangan yang dikemukakan juga tidak semestinya disampaikan dalam satu masa tetapi melihat kepada keperluan dan ruang masa yang ada.

vi- Memberikan cenderahati (souvenier) serta menyediakan makanan dan minuman ringan

Pihak masjid juga harus menyediakan cenderahati dalam bentuk bahan bacaan yang agak ringkas dan padat tentang keindahan, kebenaran dan kebaikan Islam. Makanan dan minuman ringan yang tidak melibatkan perbelanjaan yang besar harus disediakan bagi menunjukkan bahawa Islam mempunyai caranya yang tersendiri dalam melayan tetamu. Layanan sebegini perlu diberikan dengan harapan mereka akan menceritakan kepada keluarga dan sahabat handai tentang layanan mesra yang diberikan ketika menziarahi masjid berbanding dengan pusat-pusat ibadat yang lain. Paling tidak sekurang-kurangnya apabila mereka menaiki bas untuk pulang atau ke tempat lawatan yang lain, mereka akan menyebut-nyebut layanan baik yang mereka terima dan berbincang sesama mereka tentang kebaikan Islam. Ini seterusnya akan memberikan persepsi baik terhadap Islam dan umatnya.

5. RUJUKAN

Al-Quran

Al-Asqalani, Muhammad ibn Ali ibn Hajr, Fath al-Bari bi syarh Sahih al-Bukhari,Dar al-Fikr, Qaherah

Al-Baihaqi, Ahmad ibn Hussain, Al-Sunan al-Kubra, Dar Kutub Ilmiah, Beirut, Lubnan

Al-Muqri, Muhammad ibn cAbd al-Rahman, Mawahib al-jalil li Syarh Mukhtasar Khalil,Dar al-Fikr,Lubnan.

Al-Sancani cAbd al-Razzaq ibn Hammam, al-Musannaf

Al-Syanqiti c Abd Allah ibn al-Syeikh Muhammad Amin ibn Muhammad Mukhtar al-Jakni, Hukm Dukhul Ghair al-Muslimin Ila Masajid, Maktabat Ibn Taimiah , Qaherah,

Ibn al-Jawzi, Jamal al-Din c Abd al-Rahman ibn c Ali ibn Muhammad al-Jawzi, Zad al-Masir, c Alam al-Kutub.

Ibn c Atiyyah c Abd al-Haq ibn Ghalib al-Andalusi, Al-Muharrar al-Wajiz fi Tafsir al-Kitab al- c Aziz,Maktabat Ibn Taimiah ,Qaherah

Muslim ibn Hajjaj al-Naisaburi, Sahih Muslim, Dar al-Fikr, Qaherah

Nota: Kertas ini dibentangkan dalam Kuliah Tafsir al-Hadith bagi Kursus Diploma Eksekutif Syariah, UM

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.