PERAKAUNAN ZAKAT PENDAPATAN

Menurut amalan sekarang, perakaunan zakat pendapatan dikenakan pada kadar 2.5%. Asas perakaunan zakat ini diqiyaskan kepada zakat emas. Persoalannya, mengapa zakat pendapatan diqiyaskan kepada zakat emas dan tidak kepada zakat-zakat lain seperti zakat pertanian? Berdasarkan aplikasi kaedah qiyas, kertaskerja ini akan cuba membuat analisis perlunya asas perakaunan zakat ke atas beberapa jenis pendapatan dikaji semula. Pendapatan-pendapatan tersebut meliputi pendapatan penggajian dan upahan, pendapatan profesional, pendapatan dari sewaan dan pajakan, pendapatan dari pelaburan, pendapatan dari perkilangan, pendapatan dari pembangunan hartanah dan pendapatan dari perniagaan. Kajian semula ini adalah berdasarkan kepada qiyas zakat pertanian. Akan dihujahkan bahawa qiyas zakat pertanian ini adalah yang paling sesuai dipakai kerana dalam usaha untuk mendapatkan pendapatan-pendapatan tersebut, kaedah-kaedah tertentu terpaksa digunakan. Kaedah-kaedah yang sama digunakan dalam usaha mendapatkan pendapatan dari pertanian. Berdasarkan aplikasi qiyas, terbukti bahawa wujudnya persamaan antara kedua-dua kaedah tersebut. Kertaskerja ini akan merumuskan bahawa kadar yang perlu digunakan bagi pendapatan-pendapatan tersebut ialah sama ada 5% atau 10%, bukannya 2.5% seperti yang diamalkan sekarang. Sebenarnya, dalam sejarah pemerintahan Islam, sama ada pada zaman Khalifah al-Rasyidin, pada zaman para sahabat mahupun pada zaman tabi’in, perakaunan zakat pernah mengalami perubahan. Oleh itu ia bukanlah satu perkara yang baru. Berdasarkan kepada hakikat inilah maka diyakini bahawa perakaunan zakat adalah terbuka kepada kajian semula untuk melahirkan cadangan-cadangan baru yang lebih jitu dan bersesuaian dengan keadaan semasa. Inilah yang cuba dilakukan oleh kertaskerja ini.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.