Kesediaan Berkongsi Kekayaan dan Kebahagiaan: Kajian Kes

ABSTRAK
Zakat diwajibkan ke atas harta tertentu supaya harta dan kekayaan tidak berlegar hanya di kalangan orang kaya sahaja serta dapat memberi keharmonian hidup kepada semua. Harta kekayaan perlu dikongsi oleh semua ahli masyarakat kerana kegiatannya melibatkan alam dan persekitaran yang dimiliki bersama oleh masyarakat. Perlaksanaan zakat telah dapat memenuhi maksud tersebut. Namun demikian, zakat hanya dikenakan ke atas harta tertentu yang dikhususkan dan disepakati (diikhtifak) oleh ulama. Ini bermakna bahawa perkongsian kekayaan hanya berlaku bagi harta tertentu sahaja. Bentuk kegiataan ekonomi masa kini telah berubah, menjadi lebih kompleks dan bersifat komersial. Kegiatannya lebih menjejaskan alam dan persekitaran yang menjadi milik semua. Oleh itu harta yang tidak disepakati wajib zakat (diikhtilaf) seperti perladangan kelapa sawit dan ternakan ayam yang boleh mendatangkan pendapatan yang lumayan perlu juga dikenakan zakat supaya hasilnya juga dikongsi oleh ahli masyarakat. Perlaksanaannya akan memastikan bahawa semua perolehan akan dikongsi bersama kerana kegiatannya juga telah menggunakan alam dan persekitaran yang menjadi milik semua. Persoalannya ialah adakah masyarakat bersedia untuk membayar zakat bagi harta yang diikhtilaf tersebut. Sehubungan itu kajian ini bertujuan menyelidiki sejauh mana kesediaan masyarakat untuk berkongsi harta bagi harta yang diikhtilaf wajib zakat tersebut. Kajian dilakukan ke atas seluruh Malaysia meliputi sektor pertanian, ternakan, galian dan pendapatan bebas menggunakan kaedah diskriptif. Hasil kajian menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia umumnya menunjukkan kesediaan untuk membayar zakat harta yang diikhtilaf. Ini bermakna bahawa masyarakat bersedia untuk berkogsi kekayaan dan kebahagiaan yang diperolehi dan menyedari bahawa kegiatan ekonomi mereka telah mengguna dan menjejaskan alam dan persekitaran yang menjadi milik bersama.

SILA KLIK DI SINI UNTUK BACAAN LANJUT.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.