Fiqh Solat

Solat adalah ‘pondasi’ (tiang asas) agama Islam.

Solat dari aspek makna pada bahasa, bermakna doa. Namun, solat pada kehendak syariat atau istilah, ialah perbuatan dan perkataan tertentu yang disertai niat yang dimulai dengan takbiratul ihram dan diakhiri dengan salam.

Solat difardukan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW ketika masih di zaman Mekah, iaitu pada tahun ke-10 kenabian dan ada yang berpandangan lima tahun sebelum peristiwa hijrah ke Madinah. Hakikatnya, para fuqaha khilaf sebenarnya dalam menentukan tahun sebenar solat disyariatkan; namun yang penting solat difardukan semasa peristiwa Israk wal Mi’raj secara langsung oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW di Sidratul Muntaha.

Solat menjadi rukun Islam ke-2 selepas persaksian dua kalimah syahadah dan sebelum tuntutan perlaksanaan ibadah zakat. Ia diindikasikan sebagai tiang agama Islam, maka orang yang mendirikan solat mereka meneguhkan Islam dan orang yang meninggalkan solat, mereka meruntuhkan Islam.

Kepentingan mendirikan solat dapat dilihat kepada banyaknya ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW mengenainya. Di antaranya, Nabi SAW pernah menegaskan: “Perintahkanlah anak kamu mendirikan solat ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun (jika mereka masih enggan mendirikan solat) serta asingkanlah tempat tidur mereka.” (Hadis riwayat Abu Daud, al-Hakim & Tirmizi)

Ada lima syarat wajib solat, iaitu:

1. Islam
2. Berakal
3. Baligh (cukup umur)
4. Suci daripada haid dan nifas (bagi wanita)
5. Selamat daripada pekak dan buta (orang yang dilahirkan buta dan pekak bebas daripada kewajipan solat)
6. Sampai seruan Islam kepada mereka, yakni orang yang tinggal di pedalaman dan tidak mendapat seruan agama Islam, tidaklah wajib solat.

Ada 13 rukun solat, yang jika diabaikan maka tidak sah solat dan ia dibahagikan kepada tiga rukun utama:

Rukun Qalbi (hati)

1. Niat

Rukun Qauli (perkataan)

2. Takbiratul ihram
3. Membaca al-Fatihah
4. Membaca tahiyat akhir
5. Membaca selawat ke atas Nabi Muhammad SAW
6. Memberikan salam yang pertama

Rukun Fi’li (perbuatan)

7. Berdiri betul
8. Rukuk
9. I’tidal
10. Sujud
11. Duduk antara dua sujud
12. Duduk tahiyat akhir
13. Tertib

Nota: Dalam setiap perbuatan, hendaklah dilakukan dengan tama’ninah, yakni pergerakan hendakalh sempurna, tidak terlalu cepat yakni sekurang-kurang tempoh bertenang itu adalah bacaan ‘subhanallah’ yang sempurna. Menurut pandangan mazhab Syafie dan Hambali, solat yang dilakukan tanpa tama’ninah adalah batal.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda: “Sejahat-jahat pencuri adalah orang yang mencuri dalam solatnya. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, bagaimana ia mencuri dalam solatnya? Baginda menjawab: Ia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” (Riwayat Imam Ahmad)

Maksud ‘mencuri’ di sini, ialah orang yang tidak memelihara kesempurnaan solatnya. Seandainya dibandingkan dengan kehidupan dunia, maka orang yang tidak menjaga kesempurnaan dirinya kala di hadapan pembesar negara pun sudah dianggap ‘biadap’; maka apatah lagi kala berhadapan dengan al-Khalik al-Azim, yakni Allah SWT yang merupakan ‘Tuhan yang memerintah’ segala pemerintah di dunia.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.