ADAB DALAM BERHARTA

BUKU ‘EKSKLUSIF ZAKAT’ DAN ‘ZAKAT TERAPI KEKAYAAN’ INI BOLEH DIBACA MENGENAI PREVIEWNYA DI SINI DAN DI SINI (KLIK). DAPATKAN BUKU-BUKU INI DI GALERI ILMUKARANGKRAF MALLMPH BOOKSTORE DAN DI KINOKUNIYA.   

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Ketua Unit Perhubungan Awam
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Selalunya orang akan menyebut ‘innalillahi wainna ilaihi raji’un’ apabila mendapat khabar berlakunya sesuatu kematian. Maka, ada orang yang marah-marah apabila kita menyebut ucapan yang sama, apabila dikhabarkan anak si fulan itu sakit, gagal peperiksaan dan tidak mendapat 8A dalam peperiksaan. Kata mereka: “Anak dia tak lulus periksa sahaja, bukannya mati, kenapa mesti ucap begitu!”

Inilah masalah salah faham di kalangan orang-orang kita terhadap kalimah ini. Mengucapkannya mesti hanya kepada orang mati sahaja. Selain daripada itu, jangan disebut-sebut, kerana ia seolah-olah mendoakan agar orang berkenaan cepat mati pula.

Hakikatnya, Allah SWT menukilkan ucapan yang sama di dalam firman-Nya: “Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar. (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata “innalillahi wa inna ilaihi raji’un” (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nyalah kami kembali),” (al-Baqarah: 155-156).

Pada ayat ini, ucapan berkenaan diletakkan di penghujungnya sebagai suatu cara menunjukkan sifat sebenar manusia yang wajib tunduk kepada Allah SWT. Sesuai dengan asal-usul penciptaan kita sebagai hamba yang perlu mengabdikan diri kepada Allah SWT (rujuk surah adz-Dzaariyat: 56).

Dalam erti kata lain, inilah adab manusia kepada Tuhan. Allah SWT menciptakan kita dan memberikan kita pelbagai nikmat kehidupan; namun Allah SWT juga berhak menguji sejauh manakah kedudukan iman kita setelah kita memperolehi segala macam kenikmatan itu. Adakah makin naik, menurun atau statik sahaja.

Maka, Allah SWT menyatakan bahawa, manusia akan diuji dengan ketakutan. Ketakutan di sini adalah umum, boleh jadi takut hilang harta kekayaan, takut hilang pangkat kebesaran dan sebagainya. Allah SWT juga akan menguji manusia dengan kelaparan, suatu ujian yang nampak remeh tetapi acap kali menjerumuskan manusia ke dalam kancah perkara haram. Ada orang sanggup mencuri makanan kerana lapar.

Bahkan terang-terangan Allah SWT menyatakan, Allah SWT akan menguji manusia dengan kekurangan harta yang boleh sahaja disebabkan musnahnya harta dalam kebakaran, hilang di perjalanan, dicuri atau dirompak orang atau muflis dek kerugian dalam perniagaan. Semuanya adalah ujian kekurangan harta dan dalam sejarah menunjukkan, ujian kekurangan harta memang menyakitkan seperti mana kisah isteri Nabi Ayub a.s yang tidak sanggup lagi berdepan dengan ujian kemiskinan walhal sebelumnya diulit kemewahan (rujuk surah Shaad: 41- 44 dan surah al-Anbiaa’: 83 dan 84).

Manusia juga akan diuji dengan kehilangan jiwa, iaitu kematian yang kadang-kala munculnya cukup tiba-tiba. Semalam masih santai berbual di pejabat; tiba-tiba pagi ini sudah dijemput Tuhan. Baharu sekejap tadi minum pagi bersama di kedai mamak; tup-tup tengah hari sudah pun menjadi gemulah kerana serangan jantung dan sebagainya. Ini juga adalah ujian Allah SWT namanya.

Hakikatnya, semua ujian ini menuntut kesabaran yang tinggi daripada kita selaku hamba Allah SWT. Kesabaran yang perlu dipupuk dan dibajai setiap hari, misalnya sabar untuk bangun awal pagi yang dingin demi menunaikan solat subuh yang dua rakat cuma, sabar menutup keindahan dan kejelitaan wajah dengan tudung dan jubah hanya kerana menutup aurat diri itu lebih utama, sabar menahan lapar dengan berpuasa sunat selain daripada puasa Ramadan dan banyak lagi didikan sabar yang perlu diikuti sebenarnya. Semuanya adalah resepi sabar yang amat berguna bila saat ujian itu tiba.

Dalam erti kata lain, ujian ini juga adalah didikan Allah SWT kepada kita supaya tahu beradab dengan Allah, khususnya adab dalam berharta. Apabila diuji dengan kekurangan harta, maka segeralah kembali kepada Allah yang Maha Berkuasa. Harta yang kurang itu, adalah milik Allah sebenarnya. Kita, hanyalah pemegang amanah yang diminta menjaganya sementara di dunia.

Lalu, apabila kita sedar semua harta itu bahkan diri kita ini pun milik Allah SWT, maka baharulah hilang rasa putus asa dan gundah-gulana bila diuji. Ini kerana, terpulanglah kepada Allah SWT untuk mengambil apa sahaja yang disukai, kerana semuanya adalah milik Allah SWT. Seperti mana kita memberi pinjam kereta kepada seorang kawan, pukul tiga pagi pun andai kita amat memerlukan kereta itu, nescaya kita akan sanggup menghubunginya dan minta dipulangkan dengan segera. Ini kerana, kita akan berkata bahawa itu kereta kita dan kita berhak memintanya bila-bila masa.

Namun, janganlah pula kita merasa terlalu kuat untuk diuji. Apa yang perlu ialah, berdoalah selalu agar Allah SWT menyantuni kita dengan sebaik-baiknya, tidak diuji dengan ujian yang menggoncang jiwa dan untuk itu juga, salurkanlah harta amanah Allah itu ke tempat-tempat yang bermakna, kerana itu juga adalah adab manusia dengan Tuhan-Nya. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.