Keutamaan zakat pendapatan

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Ketua Unit Perhubungan Awam
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Ada pihak yang mempertikaikan, bahawa zakat pendapatan atau mal mustafad tidak wujud pada zaman nabi dan ia tidak patut dilaksanakan. Namun dalam konteks semasa, zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar kepada kutipan keseluruhan zakat harta.

Zakat pendapatan yang wujud selepas kewafatan nabi, adalah bersesuaian dengan keanjalan hukum fikah yang sentiasa berubah-ubah mengikut keperluan semasa dan selari dengan konsep pengembangan harta zakat (an-nama’).

Jadi, apakah harta yang dikategorikan sebagai harta pendapatan atau mal mustafad ini? Menurut fuqaha, maksud mal mustafad ataupun pendapatan, ialah semua jenis upah, imbuhan, bayaran, sewaan atau hasil yang diperoleh daripada apa sahaja jenis pekerjaan atau usaha yang dilakukan, sama ada secara tetap, bermusim atau sekali-sekala.

Ulamak mutaakhirin telah membahagikan Mal al-Mustafad ini kepada tiga jenis, iaitu (1) Penggajian dan upah kerja; (2) Harta kerja bebas dan professional dan (3) Harta al-Mustaghallat.

Penggajian dan upah kerja bermaksud, semua pendapatan yang diperolehi melalui gaji, upah, ganjaran, imbuhan dan sebagainya yang diperolehi oleh seseorang pekerja daripada majikan, hasil daripada usaha atau pekerjaan yang dilakukan untuk majikannya, sama ada semasa berkhidmat, selepas berkhidmat (pencen) ataupun selepas kematian.

Contohnya, gaji, upah, bonus, tuntutan kerja lebih masa, gratuiti, pampasan, pencen, hadiah, anugerah, insentif, hasil ESOS (Skim Pilihan Saham Pekerja) dan sebagainya serta apa sahaja hasil yang diperolehi dengan sebab jalan pekerjaan atau penggajian.

Harta kerja bebas dan profesional pula, bermaksud semua pendapatan yang diperolehi melalui upah, bayaran, imbuhan, royalti, komisyen dan sebagainya yang diperolehi hasil daripada usaha dalam bentuk kerja bebas (freelance) atau perkhidmatan profesional.

Sebagai contoh, bayaran perkhidmantan konsultansi profesional seperti peguam, arkitek, doktor dan sebagainya. Juga bayaran projek yang diterima oleh kontraktor dan keuntungan projek bermusim. Ia juga meliputi komisyen dan residual income, yakni pendapatan daripada jualan insuran, takaful, saham amanah atau unit trust, brokeraj dan seumpamanya termasuklah jualan langsung. Bayaran royalti atau komisyen hasil daripada penulisan, penerbitan, aktiviti seni dan sebagainya juga termasuk dalam harta pekerjaan bebas dan professional.

Manakala, harta al-Mustaghallat adalah semua pendapatan yang diperolehi daripada harta yang tidak diwajibkan zakat pada induknya (fizikal); tetapi mendatangkan pulangan atau hasil dengan cara sewaan atau jualan hasilnya.

Contohnya, hasil sewaan rumah, bangunan, kilang, premis perniagaan, kenderaan, alat pengangkutan, peralatan dan mesin dan juga termasuklah hasil yang dikeluarkan oleh binatang seperti susu, telur, madu dan sebagainya yang dijual dan memperolehi hasil.

Ulamak fikah bersetuju bahawa zakat harta pendapatan perlu ditunaikan demi maslahah umat Islam. Hal ini memandangkan gaji atau upah daripada pekerjaan yang dilakukan oleh seseorang itu mampu menjadikannya kaya. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menggunakan hujah daripada al-Quran untuk mewajibkan zakat harta pendapatan. Misalnya firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang kamu keluarkan daripada hasil bumi.” (al-Baqarah: 267)

Walaupun ayat ini tidak dianggap dalil khusus kepada perintah mengeluarkan zakat pendapatan, para ulama bersetuju bahawa ayat ini menjadi dalil kepada perlaksanaan zakat harta pendapatan dan harta-harta lain. Hal ini selari dengan perintah Rasulullah SAW yang memerintahkan umat Islam bekerja supaya dapat menunaikan zakat. Sabda baginda:

“Setiap Muslim wajib bersedekah.” Sahabat bertanya, “Jika tidak dapat?” Nabi menjawab: “Bekerjalah dengan tangannya yang berguna bagi dirinya dan ia dapat bersedekah.” (Riwayat Abu Musa)

Sementara itu, sebahagian ulama berpendapat bahawa zakat pendapatan sebenarnya sudah diamalkan sejak zaman para sahabat lagi. Hal ini dapat dilihat pada zaman pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan yang mana beliau memerintahkan tenteranya mengisytiharkan harta pada setiap akhir tahun. Sesiapa yang mempunyai lebihan harta hendaklah mengeluarkan zakat ke atas harta itu.

Lebihan harta bermaksud harta yang sudah ditolak dengan keperluan wajib diri dan tanggungan sebagaimana firman Allah: “Mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: (Apa) yang lebih daripada keperluanmu.” (al-Baqarah: 219)

Keperluan yang dimaksudkan di sini meliputi enam aspek perbelanjaan iaitu makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan, rawatan dan pengangkutan.

Walaupun demikian, ada juga ulama berpandangan zakat pendapatan wajib dikeluarkan tanpa menolak perbelanjaan asas. Hal ini dikiaskan kepada zakat hasil pertanian yang mana zakat dikeluarkan tanpa dibuat sebarang tolakan. Oleh hal yang demikian, pusat-pusat zakat di negara ini memberi kebebasan kepada pengeluar zakat sama ada mahu membuat tolakan atau tidak ke atas jumlah pendapatan yang hendak dizakatkan.

Sesuai dengan keanjalan hukum fikah, penerimaan hukum zakat pendapatan ini sebenarnya memberikan natijah yang sangat besar kepada umat Islam. Ia juga sesuai dengan konsep pengembangan harta (an-nama’) sebagaimana yang digagaskan oleh Saiyidina Umar bin al-Khattab r.a. ribuan tahun silam.

Hal ini mencerminkan sifat Islam sebagai agama yang meraikan keperluan dan perubahan zaman. Oleh itu, wajarlah umat Islam menghayati dan menerima zakat pendapatan ini sebagai kewajipan baharu yang tidak patut dikesampingkan, demi meraih keberkatan dalam pendapatan dan keberkatan dalam segenap aspek kehidupan. Wallahua’lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>