Blog & Saya

Kenangan di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam (tahun 2006)

Saya…Hamizul Abdul Hamid, lahir pada 10 September 1974 dan berasal dari Kampung Batu Puteri, Banggol Belimbing, Lenggong, Perak Darul Ridzuan. Saya tidak pernah merasai sekolah tadika dan hanya mula menjejakkan kaki di darjah satu pada tahun 1981 di Sekolah Kebangsaan Banggol Belimbing, Lenggong, Perak.

Enam tahun saya bergelandang di SKBB dan sekolah kampung yang serba daif itulah, institusi awal yang banyak menyumbang ke arah pembentukan diri saya hingga kini. Masih saya ingat Cikgu Kamariah Wok yang garang, Cikgu Yahya yang tenang, Cikgu Zainabun yang rajin, Cikgu Amir yang ramah, Ustazah Asiah yang mmm…comel, Cikgu Hasnan yang kelakar dan ramai lagi.

Sesungguhnya di SKBB saya pernah merasa kecil hati, kerana tidak dilantik oleh guru menjadi pengawas sekolah. Sedangkan, saya rasa sayalah antara murid terpintar di sekolah. Semasa Peperiksaan Penilaian Darjah Lima, saya mendapat keputusan 4A 1C. Seorang lagi murid yang mendapat 4A dan 1B ialah Rosliza Ismail. Kami menduduki peperiksaan itu pada tahun 1985. Sebelum itu pun, di dalam peperiksaan tahunan saya sering mendapat tempat dari nombor satu hingga tiga. Hanya pada tahun 1986, iaitu semasa dalam darjah enam, maka baharu saya dilantik menjadi pengawas sekolah. Saya fikir, faktor fizikal yang agak ‘kecil’ menyebabkan guru sekolah kurang yakin akan kemampuan saya.

Sekolah menengah saya banyak, iaitu tiga buah semuanya. Mula-mula saya dimasukkan ke Sekolah Menengah Baru Lenggong. Baru dua minggu di situ, saya mendapat tawaran ke Sekolah Menengah King Edward VII di Taiping. Dua tahun di Taiping (1987-1988), saya ambil keputusan nekad memohon pertukaran ke Sekolah Menengah Dato’ Ahmad, juga di Lenggong.

Saya pernah ditawarkan ke Ma’ahad Ehya as-Syarif, Gunung Semanggol. Saya menolaknya dan hingga kini saya menyesali tindakan itu. Maklumlah, saya minat bidang agama dan penolakan itu menyebabkan saya mendalami agama Islam dari jalan yang lebih sukar (Foto: Sek. Men. King Edward VII, Taiping).

Semasa di SMKE7, Taiping saya berkenalan dengan jemaah Tabligh. Saya sempat memesrai jemaah ini dan pernah keluar tiga hari. Maknanya, saya pernah menjadi ‘karkun’ jemaah. Itu berlaku pada tahun 1988, semasa saya di tingkatan dua. Antara individu yang memperkenalkan jemaah ini kepada saya ialah Abang Halim, seorang senior di asrama yang bagi saya adalah individu paling lembut dan berhemah perawakannya.

Tahun 1989 iaitu semasa di tingkatan tiga, saya mengikuti kumpulan usrah bersama Cikgu Alias Othman dan Cikgu Johar. Pada mulanya, saya menumpang kumpulan usrah muslimat yang diadakan di makmal Sains Paduan. Kemudian, saya menginisiatifkan sebuah kumpulan usrah khas lelaki. Kami menggunakan buku as-Syahid Sayid Qutb. Kala itu, saya tak kenal siapa Sayid Qutb dan itulah pun pertama kali saya diperkenalkan dengan nama ‘usrah.’

Tahun 1990, selepas SRP kawan-kawan saya ramai berpecah. Ada yang mendapat keputusan cemerlang meninggalkan kami untuk ke SBP. Antaranya Malik Ridwan dan Haslinda. Mereka ke Sekolah Menengah Sains. Di SMDA, kami terpisah kepada dua aliran, iaitu sains dan sastera. Saya dengan berbekalkan keputusan baik dalam SRP telah diserapkan ke aliran sains tulen, bersama Safari, Hayazi, Harmila dan ramai lagi.

Semasa di Tingkatan 4, saya mulai ‘lagho.’ Ya, lagho ialah istilah budak-budak dakwah yang mengikuti usrah. Kala itu, saya sudah mula menculasi kumpulan usrah yang kami sendiri asaskan di sekolah. Namun, saya masih istiqamah mengikuti kuliah pengajian kitab kuning di masjid dan surau. Itulah aktiviti keilmuan yang saya rasa, telah memberikan kesan paling berbekas ke arah pembentukan jati diri saya hingga kini.

Di Masjid Banggol Belimbing inilah, tempat saya menadah kitab-kitab kuning ala pondok dengan pelbagai guru...

Saya masih menadah kitab-kitab lama seperti Aqidatun Najin, Hidayatus Salikin, Minhajul ‘Abidin, Mutiara Hadis dan banyak lagi. Seperkara yang menarik bagi saya, kala itulah saya bergaul dan berkawan dengan ‘orang tua.’ Ya, Cikgu Yahya yang suatu masa pernah menjadi Guru Besar saya, waktu itu menjadi ‘teman’ pengajian saya di masjid. Teman saya juga adalah ‘post master’ pencen, polis pencen, askar pencen dan orang-orang tua yang semuanya berpangkat ‘atuk’ atau ‘ayah’ kepada saya.

Semasa di tingkatan empat dan lima, saya mengikuti kumpulan marhaban dan berzanji. Sayalah satu-satunya remaja yang menjadi ahli kumpulan berkenaan. Saya beli kitab berzanji dan masih saya simpan elok hingga kini. Kami sering memenuhi jemputan, khususnya pada majlis perkahwinan. Antara idola saya dalam kumpulan ini ialah allahyarham Tok Imam Lebai Li dan allahyarham Tok Che Pi. Kedua-duanya pun sudah meninggal dunia…mereka hanya hidup dalam memori saya sahaja lagi. Orang yang berjasa membawa saya ke dalam kumpulan ini ialah tok saudara saya, Tok Musa, seorang Mejar bersara yang kini usianya sudah tua benar, dalam lingkungan 85 tahun dan kini beliau menetap bersama anaknya di Taman Melewar (Tok Musa juga sudah pergi meninggalkan saya pada tahun 2010 yang lalu). (Foto: Masjid Yahya Ubudiah (pengabdian yang hidup), Banggol Belimbing, Lenggong).

Jika sebelum itu saya pernah bersama jemaah Tabligh dan mengikuti usrah, kini saya berjinak-jinak pula dengan jemaah al-Arqam. Saya menghadiri kuliah pengajiannya yang diadakan di Kampung Masjid Lama, Lenggong, di sebuah rumah yang mereka sewa. Satu sikap terpuji yang ada pada mubaligh al-Arqam ini ialah, mereka amat ringan tangan membantu kerja-kerja kemasyarakatan. Sikap itulah yang menjadi ‘asbab’ penerimaan mudah masyarakat tempatan. Saya juga dibawa oleh seorang kenalan di kampung, iaitu Meor ke penempatan al-Arqam di Ayer Kuning, dekat Changkat Jering.

Selepas menerima keputusan SPM pada tahun 1991, saya melanjutkan pelajaran di tingkatan enam. Semasa ini, saya berkenalan rapat dengan Tok Bakar, seorang aktivis Islam yang juga merupakan polis pencen. Beliau mempelawa saya mengikuti rombongan ‘jemaah’ dan dari situlah terjalinnya ikatan yang mesra antara beliau dan saya, juga jemaah yang akhirnya saya dokongi.

Kami selalu megikuti kuliah maghrib Tuan Guru Faqih Siddik. Seorang muallim yang amat sederhana orangnya walaupun beliau sebenarnya banyak harta. Jika dahulu saya berguru kepada Tok Chik Muhammad dan Ustaz Salleh serta Tok Naib Majid, kini saya setia dengan Tok Faqih Siddik. Antara kitab yang saya tekuni kala itu ialah Kitab al-Hikam dan banyak lagi. Tok Fakih adalah guru yang benar-benar menanamkan kefahaman Islam sebenar kepada saya, bahawa Islam bukan sekadar berlegar mengenai toharah, solat, puasa, haji dan zakat. Juga bukan seputar haid, nifas dan wiladah. Malah ia meliputi siasah dan daulah. Islam adalah ad-deen wad-daulah, sebagaimana yang diajari oleh Rasulullah.

STPM saya lalui dengan baik dan mendapat keputusan paling baik – 5 Prinsipal penuh! Saya melanjutkan pelajaran ke UKM, kerana saya amat meminati Dr Harun Din. Alhamdulillah, pilihan saya ke UKM tepat kerana di UKM-lah saya mendapat ‘tasawwur’ yang lebih jelas mengenai Islam dan jemaah. Di UKM, saya menceburkan diri secara serius dengan usrah dan dakwah. Saya bergerak atas wadah Ikatan Studi Islam UKM dengan Dr Supyan Hussein dan Ustaz Berhanuddin Abdullah sebagai penasihatnya.

Demi menambah ilmu, saya menghabiskan masa kira-kira tiga bulan dalam proses ‘tafaquh fid din’ di Madrasah Muallim Hj Abd Wahid, di Sg Udang (namanya Madrasah an-Nuriyah). Kami menadah beberapa kitab, antaranya Tafsir Ibn Katsir, Hidayatus Salikin juga kitab bahasa Arab iaitu Matan al-Jurumiyah dan Matan al-Bina. Di kampus juga, saya menekuni pelbagai buku baharu seperti Usul Isyrin, Tafsir at-Tibyan surah as-Saff, Muqaddimah Akidah Muslimin, Fiqh al-Haraki dan banyak lagi. Di samping usrah, saya juga menekuni ilmu di surau an-Nur, Masjid UKM dan juga di Pondok al-Jenderami bersama Tuan Guru Haji Hashim dan Tuan Guru Hafiz.

Saya juga meminati bidang hafazan, maka sejak di tingkatan tiga saya sudah cuba menghafal beberapa surah pendek. Antara surah yang berjaya saya hafal kala itu ialah surah Yaasin, as-Sajadah dan al-Mulk. Tahun 1989, 1990 dan 1991 mencatat sejarah manis apabila saya menjadi johan hafazan al-Quran peringkat Daerah Hulu Perak. Kemudian, saya menambah lagi surah as-Saff, ad-Dukhan dan al-Waqiah. Kini, saya menambah lagi surah al-Jumuah dan al-Munafikun. Saya dapat rasai, semasa remaja dahulu lebih mudah menghafal berbanding kini. Namun, lebih sukar lagi ialah mengekalkan hafalan.

Setelah menamatkan alam kampus pada tahun 1998, saya menceburi pelbagai bidang pekerjaan. Sehinggalah tahun 2003, saya mendapat tawaran berkerja di Pusat Zakat Selangor (MAIS). Menjawat jawatan amil menyebabkan saya semakin bersemangat menimba ilmu agama, lebih-lebih lagi secara formal. Maka, sepanjang tiga semester saya mengikuti Kursus Pengajian Syariah anjuran Universiti Malaya dan saya juga telah mengambil Diploma Syariah sebagai kesinambungan Sijil Syariah berkenaan. Kini, saya dalam perancangan ingin menuntasi ijazah pasca siswazah, iaitu Sarjana Pengajian Islam sebagai bukti komitmen saya terhadap pengajian Islam yang saya cintai! Doakan moga ia menjadi realiti, amin.

Mengembara dan Menulis

‘Bersama Dr Mawar Shafiie dan Cikgu Azizi, Aswara, 2007’

Masih basah rasanya kenangan mendengar celoteh pedas gemulah Allahyarham Cikgu Azizi Hj. Abdullah di Seminar Penulisan Kreatif di Aswara, KL...

Saya anak kampung, maka saya memang suka perkara yang mencabar. Antara yang saya minati ialah aktiviti pengembaraan, berbasikal dan berkhemah. Sayangnya, saya tidak melibatkan diri secara serius dalam ko-kurikulum seperti Persatuan Pengakap, Kadet Sekolah atau Kelab Kembara.

Namun, semasa di SMKE VII, kami pernah mendaki Bukit Larut. Jika di kampung dulu, saya memang selalu mendaki bukit dan dusun. Semasa di kampus, kumpulan usrah kami pernah mendaki Gunung Ledang. Selain itu, saya pernah menjelajah secara solo dari Teluk Kumbar ke Lenggong dengan hanya berbasikal. Apabila abah membeli motorsikal, saya dan sahabat usrah menjelajah banyak negeri dengan motorsikal, iaitu ke Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.

Saya suka membaca dan juga meminati bidang penulisan. Semasa remaja dan tinggal di rumah Opah Sam, saya mempunyai koleksi buku sendiri. Saya juga melanggan majalah Dewan Siswa dan Dewan Masyarakat dengan wang sendiri. Saya cukup bangga melihat buku-buku yang tersusun rapi di raknya. Rasa kepuasan yang tidak terucap di lidah dan tak terjemah di kata.

Saya mulai berjinak-jinak menghantar penulisan semasa di universiti. Sebelum itu, penulisan saya hanyalah untuk sekolah. Saya pernah menganggotai Sidang Redaksi Majalah Sekolah ‘Bergerak Maju.’ Cerpen pertama yang keluar ialah ‘Opah’, disiarkan oleh Majalah Anis pada tahun 1997. Semasa di Madrasah an-Nuriyah, saya mengarang cerpen bertajuk ‘Mujahideen’, kerana begitu terpesona dengan suasana pengajian pondok di sana. Setelah menghantarnya ke Majalah Anis, ia mengambil masa begitu lama, kira-kira tahun 2000 baharu diterbitkan. Sementara itu, sebuah cerpen dengan tajuk ‘Juweeta’ juga diterbitkan oleh Majalah Muslimah pada tahun 2000.

Semasa menjadi Pengarang di Penerbitan Muttaqin Sdn Bhd, saya menjadi editor bagi Majalah BacaLah. Saya juga berjaya mengedit naskhah Tafsir Surah Yaasin, karya Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang dan juga beberapa buah buku lain.

Sungguh pun saya mempunyai bakat dalam bidang penulisan, namun ia tidak begitu menyerlah. Apabila berkhidmat di Lembaga Zakat Selangor, saya dipelawa menjadi salah seorang wartawan sambilan di Majalah Asnaf. Kemudian, saya ditukarkan daripada Pegawai Dakwah ke Pegawai Perhubungan Awam. Pertukaran jawatan ini makin mendekatkan saya dengan pihak media.

Dari situlah, bakat penulisan saya makin mengukuh kembali. Saya diminta oleh beberapa editor menulis berkenaan isu zakat dan ekonomi Islam. Akhirnya, tulisan saya mulai mengisi pelbagai ruangan media arus perdana. Tanpa duga, saya mendapat kembali kekuatan untuk menulis yang hampir-hampir hilang satu waktu dahulu.

Kini, saya menyumbang di pelabagi majalah dan akhbar. Ketika Dewan Agama dan Falsafah masih wujud pada tahun 2006, setiap bulan tulisan saya akan tersiar. Saya juga menyumbang di majalah I, Mingguan Wanita dan MIDI. Majalah Dewan Ekonomi pula menyiarkan makalah saya bagi ruangan Ekonomi Islam. Majalah Anis pula telah menjadikan saya penyumbang tetap bagi ruangan Memahami Zakat (kini menjadi ruang Ops Sedekah) dan Midi, ruangan Urus Harta.

Di akhbar, saya menyumbang secara tetap di ruangan Bicara Zakat dan Jejak Asnaf di Utusan Malaysia. Juga menghasilkan artikel berkaitan zakat dan Islam di ruangan rencananya. Utusan Jawi juga sering menyiarkan tulisan saya dalam pelbagai topik. Di samping ruangan Asnaf Jaya di Sinar Harian.

Di media elektronik, saya menyumbang skrip bagi radio IKIM.FM, Klasik Nasional.FM dan kini Salam.FM. Di Klasik Nasional.FM, IKIM.FM dan Selangor.FM, saya juga pernah diundang bagi mengisi beberapa slot khusus, sama ada mengenai topik umum dan juga zakat.

Saya kini memfokuskan kepada penerbitan buku pula. Setakat ini sebanyak empat buah buku saya sudah berjaya diterbitkan dan saya sedang  menyiapkan beberapa buah manuskrip lain lagi. Beberapa editor penerbit terkemuka sudah pun berminat meneliti manuskrip berkenaan. Insya-Allah, jika tiada aral melintang  ia akan segera berada di pasaran, amin.

_____________________________________

Membaca:
Novel, biografi, memoir

Menulis:
Rencana, cerpen, drama, novel, khutbah

Penulis inspirasi:
Allahyarham Arena Wati, Keris Mas, S. Othman Kelantan, Pak Shahnon Ahmad, Azizi Hj Abdullah, Abdullah Hussein, Faisal Tehrani, Isa Kamari,

Famili:
Mak Hasnah bt Mat Isa, Abah (t) Zaidi Md Noor; Abah (b) Abdul Hamid bin Ahmad, Opah Fatimah Sam bt Che Su, Mak mertua Hjh Long Meriam bt Hj Pandak Md Daud, Abah mertua Hj Ishak bin Md Yusof

Isteri Dr Ismarulyusda bt Ishak, Anak-anak Iqbal Hidayat, Ihya’ Hakim, Huda Imanina, Husna Insyirah dan Hanim Ikhwana

Adik-beradik Nurhayati, Nur’aaisah, Nuraimah, Muhammad Amin dan Nurul Hidayah

Ipar-duai Yasser Arafat Ishak, Muammar Ghadafi, Muhammad Muzammil, Lukmanul Hakim, Fatin Nadila dan Muhammad Najib

Muallim / Para guru:

Prof Dr Mana Sikana, Prof Madya (B) Dr Shafie Abu Bakar, Dr Mawar Shafie, Ust. Safiyaldi al-Indonesiai, Allahyarham Tuan Guru Faqih Siddik (1998), Tok Chik muhammad (2000-an), Ust Salleh (1990-an), Dr Othman Puteh (2000), Cikgu Hj Yahya Ahmad (1990-an), Tuan Naib Majid (1990-an), Pak Ngah Wahin (2003) dlln

Belansungkawa:

Atuk cerut Mat Isa bin Ismail (1987), Tok Wain Md Noor Ahmad (1986), Tok Long Munah Wan Maimunah Wan Hassan (2009), Pak Ngah Wahin Hassan Ahmad (2003)

Blog Saya

Blog ini adalah mengenai kisah saya, keluarga dan apa yang saya alami. Ia mencatatkan sejarah, kisah suka-duka, majlis dan keramaian, catatan perjalanan dan sebagainya lagi. Ia umpama catatan bagi keluarga saya buat tatapan hari muka.

Bagi saya, kita wajar mengenali asal-usul diri. Siapa kita hari ini, adalah bermula dengan di mana kita berasal. Maksud saya, jika asalnya kita miskin, maka kita jadikan kemiskinan itu suatu cabaran, maka apabila kita berjaya mengatasinya, itulah ganjaran kepada kesedaran dan kesungguhan kita.

Saya orang kampung, memang kampung sungguh. Nantilah…jika ada kesempatan, saya akan hasilkan kompilasi lengkap mengenai kehidupan kampung saya. Penduduknya yang stereo-taip, menoreh dan bersawah-ladang. Turun ke sungai berbubu dan ke bukit menarik rotan. Bersingsing lengan menajak di bendang dan berdada menahan kesukaran.

Kampung saya itulah, bagai sekolah pertama yang memberikan erti pada kehidupan. Pada lintah dan pacat di sungai tenang, alurnya jernih menyejukkan, pada puput angin bukit yang menyapu keringat, pada sahutan unggas bukit yang mengucapkan selamat datang! Pada segalanya…saya sayangkan kenangan itu, dan saya mahu anak-cucu saya mengetahui, itulah asal-usul saya.

Namun, kehidupan perlu diteruskan. Saya menyaksikan, ramai kawan segenerasi kalah dalam perlawanan. Ada yang kandas dan menjadi sebutan mual masyarakat, sampah kehidupan yan menjelikkan. Ada yang bangun berpapah setelah tersinggung akar di perjalanan. Ada yang mahu membetulkan kesilapan; tak kurang juga yang tegar dalam kemelut sukar tanpa tepi. Hidup tanpa arah tujuan dan sekadar memerhati kemajuan orang lain.

Terkenang kembali, dahulu kami sama-sama berboleng di air neruk, membuat terjunan tiruk dan bermain acilut. Kini, kami berbeza amat segalanya. Semuanya bermula, cara kami menangani isu di mana ‘asal’ kami bermula…ia menatijahkan ke mana kami akhirnya.

Insya-Allah, blog ini adalah medan garapan itu. Harapnya begitulah…kekal mencatat saki-baki hayat di atas batas kesementaraan ini. Terasa arloji masa yang berdetak, terus meninggalkan kita…kadang-kala bagai tidak sempat membuat sesuatu, masa sudah pun jauh berlalu. Benarlah…masa itu pedang yang sedia melibas dan mencantas…jika perlu!

4 Replies to “Blog & Saya”

cikgu zul 15 October 2010 at 11:42 am

tahniah buat Hamizul…..semasa kecil kau telah lalui serta sentiasa tabah dalam menghadapi kesusahan ..ternyata kini kau dah berjaya!..syukur alhamdulillah!…semuanya ketetapan Allah!

Ust Mizul 15 October 2010 at 12:06 pm

Syukran kembali cikgu zul…abang zul pun banyak memberikan input kepada saya untuk membesar sebagai manusia yang berguna, moga allah swt mengganjarinya, amin…

junaidah 21 August 2013 at 9:52 am

Alhamdulillah! satu rentetan hidup yg sangat indah biar pun tidak mewah dgn harta benda tetapi sgt mewah dengan ILMU. Insya Allah terus maju jaya Ustaz.

Admin 21 August 2013 at 10:11 am

Salam kembali Kak Jun, terima kasih dan begitulah hendaknya, amin…

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.