Fiqh Zakat Sepintas Lalu

 bismillah

STATUS ZAKAT

Zakat adalah rukun Islam ketiga. Inilah yang lebih diyakini oleh saya, memandangkan zakat disebutkan di dalam hadis sebagai rukun ketiga selepas daripada solat. Lagi pun di dalam al-Quran sendiri, Allah SWT banyak menggandingkan zakat seiring solat. Ada 30 ayat semuanya.

Dalil al-Quran: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf, mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana,” (at-taubah (9): 71)

Dalil al-Hadis: “Daripada Abu Abdur Rahman, Abdullah bin Umar bin Al-Khattab radiallahuanhuma dia berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Islam dibangunkan di atas lima perkara; bersaksi bahawa tiada Ilah yang berhak disembah selain Allah dan bahawa nabi Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji dan berpuasa Ramadhan. (Riwayat Turmuzi dan Muslim)

HUKUM ZAKAT

Tidak dapat disangkal lagi bahawa zakat adalah wajib bagi semua orang Islam. Maka, sesiapa yang menolak akan kewajipannya, maka cacatlah ke-Islaman orang berkenaan. Bahkan di dalam perbahasan fikah, tauladan yang ditunjukkan oleh Khalifah Islam pertama, iaitu Saiyidina Abu Bakar r.a dengan memerangi golongan yang menafikan hukum zakat, adalah pertunjuk jelas bahawa pemerintah Islam berhak mengenakan hukuman yang keras ke atas mereka.

MAKNA ZAKAT

Makna zakat pada bahasa ialah bersih, suci, berkembang, membiak dan terpuji. Manakala zakat pada kehendak syariat Islam ialah, harta-harta tertentu yang dikeluarkan dengan syarat-syarat tertentu kepada asnaf-asnaf yang tertentu.

RUKUN ZAKAT

Hanya ada dua rukun zakat, iaitu pertama NIAT dan kedua berlakunya perpindahan HARTA daripada muzakki (pembayar zakat) kepada mustahik (penerima zakat).

Oleh itu, dapatlah difahami bahawa akad zakat, lafaz niat dan doa adalah amalan sunat. Ia tidak membawa kepada tidak sahnya zakat, jika tidak dilaksanakan.

JENIS ZAKAT

Wujud dua jenis zakat. Ia mempunyai tatacara penunaian yang berbeza antara satu sama lain.

1. Zakat fitrah

a. Dikenakan kepada seluruh umat Islam, termasuklah hamba sahaya
b. Diwajibkan hanya pada bulan Ramadan menjelang Syawal
c. Ditunaikan oleh wali ataupun ketua keluarga
d. Wajib kepada miskin dan kaya, dengan syarat mereka mempunyai makanan yang mencukupi dari malam syawal hingga esoknya
e. Waktu wajibnya ialah sebelum solat Aidilfitri dan tamat setelah gelincir matahari satu syawal
f. Kadarnya berdasarkan nilai segantang Baghdad (2.5 kg) makanan asasi di sesebuah tempat

2) Zakat harta

1. Ditunaikan setiap tahun dengan syarat-syarat khusus yang akan dipapar dan dibincangkan di bawah
2. Zakat yang benar-benar melambangkan kekayaan umat Islam
3. Zakat yang dananya mampu merealisasikan roh dan falsafah sebenar amalan zakat dalam Islam

SYARAT-SYARAT WAJIB ZAKAT

Ada lima syarat bagi menilai, sama ada seseorang manusia itu wajib menunaikan zakat harta ataupun tidak. Iaitu:

1. Islam – hanya seorang muslim sahaja layak berzakat. Jika belum Islam, zakatnya jika ditunaikan hanyalah pemberian biasa semata-mata.
2. Merdeka – hanya muslim yang merdeka sahaja wajib dan layak berzakat. Bagaimana seorang hamba boleh menunaikan zakat, sedangkan dirinya sendiri adalah milik kepada tuannya.
3. Sempurna milik (al-milk at-tamam) – yakni harta yang dimiliki zat dan manfaatnya 100 peratus.
4. Cukup nisab – iaitu, nilai minima wajib zakat yang ditentukan kepada harga semasa 85 gram emas pada satu-satu masa.
5. Cukup haul (al-hawl) – yakni, genap tempoh masa setahun. Adalah lebih afdhal menggunakan tempoh haul berdasarkan tahun Islam, kerana ia lebih tepat berbanding tahun masehi.

HARTA-HARTA ZAKAT

Berdasarkan amalan pada zaman Nabi Muhammad SAW, hanya wujud beberapa jenis harta sahaja. Iaitu:

1. Harta penternakan (Contoh: unta, lembu, kerbau dan kambing)
2. Harta pertanian (Contoh: bijian gandum, jagung, padi dan kurma)
3. Harta galian (rikaz, ma’din)
4. Harta perniagaan (at-tijarah)
5. Zakat matawang (dinar emas, dirham perak)
6. Zakat emas dan perak (perhiasan dan disimpan)

Harta-harta lain yang boleh dizakatkan:

7. Zakat hutang
8. Zakat madu
9. Zakat hasil laut
10. Zakat pendapatan

HURAIAN TENTANG PERKEMBANGAN HARTA ZAKAT

Setelah kewafatan Rasulullah SAW, maka berlakulah perkembangan harta zakat berdasarkan ijtihad para sahabat dan ulama mujtahidin. Saiyidina Umar al-Khattab r.a misalnya, pernah mengenakan zakat ke atas kuda, sedangkan pada zaman nabi, kuda tidak dikenakan zakat. Semasa zaman Umar juga, Umar mengenakan zakat ke atas ternakan yang baharu lahir, kerana ia adalah pengembangan ke atas harta zakat.

Pada zaman Usman bin Affan r.a dan Umar Abdul Aziz r.a, beliau meluaskan lagi definisi harta zakat. Misalnya, gaji yang dibayarkan kepada tentera telah dipotong zakatnya.

Zaman terus berkembang sehinggalah ke zaman imam-imam mazhab. Maka, timbullah harta-harta baharu zakat atas ijtihad para imam mazhab berkenaan. Misalnya, di sisi Imam Ahmad bin Hanbal (Hambali) mengenakan zakat ke atas hasil lautan. Imam Abu Hanifah melebarkan zakat pertanian kepada semua jenis pertanian, tidak terbatas kepada jenis pertanian bijian dan tahan disimpan sahaja.

Hinggalah ke zaman ini, para ulama’ kontemporari masih istiqamah memberikan tajdid terhadap harta-harta zakat. Prof. Dr Yusuf al-Qardhawi misalnya, menggunakan dalil-dalil umum di dalam al-Quran demi membolehkan beliau melakukan ijtihad kreatif. Akhirnya keluarlah zakat ke atas harta al-mustafad dan al-mustaghallat (seperti zakat pendapatan dan sewaan).

MUSTAHIK ZAKAT

Mustahik zakat bermaksud orang-orang yang berhak mendapat harta zakat. Mereka dinamakan asnaf zakat. Secara jelas, asnaf ini disebutkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, surah at-Taubah, ayat 60.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu’allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

Secara lebih jelas, berikut diberikan penerangan tentang asnaf-asnaf zakat di atas:

1. Fakir – Iaitu golongan mikin tegar yang hanya mampu memenuhi kurang daripada 1/2 keperluan diri dan keluarga. Maknanya, jika si A memerlukan RM10 sehari, dia hanya mampu memperolehi RM3 atau RM4 sahaja.
2. Miskin – Golongan ini pula hanya mampu memenuhi lebih separuh daripada keperluan tetapi masih belum memenuhi keperluan sebenar. Jika si A memerlukan RM10 sehari, dia hanya mampu mendapat RM6 atau RM7 sahaja.
3. Amil – Iaitu orang yang diamanahkan untuk mengutip dan mengagihkan kembali wang zakat, ataupun dinamakan pengurus zakat.
4. Muallaf – Mereka yang baharu memeluk Islam ataupun hatinya sudah terpaut dengan Islam. Di Selangor, seseorang itu diiktirah muallaf selama lima tahun.
5. Riqab – Iaitu hamba yang diberikan peluang oleh tuannya untuk menebus dirinya. Kini, ia dialihkan kepada interpretasi yang lebih luas, kerana hamba dalam erti kata sebenar sudah tiada. Maka, mereka yang terjebak dalam lembah pelacuran dan seumpamanya wajar dibantu menerusi asnaf ini.
6. Gharimin –  Iaitu mereka yang berhutang atas sebab-sebab yang makruf dan syarie.
7. Fi sabilillah – Untuk kerja-kerja pengembangan agama Islam dan tidak terbatas hanya kepada peperangan sahaja. Maka, mereka yang belajar dalam bidang perubatan dan sains nuklear juga wajar dibantu menerusi asnaf ini.
8. Ibn Sabil – Iaitu mereka yang mahu membuat sesuatu perjalanan ataupun dalam perjalanan namun keputusan belanja.

HAD al-KIFAYAH

Di Selangor, LZS (MAIS) memperkenalkan suatu formula bagi menilai dan mengukur tahap kekayaan orang Islam. Ia bertujuan memastikan mereka yang memohon untuk didaftarkan sebagai fakir dan miskin adalah benar-benar layak di sisi syariat.

Secara mudahnya, had al-Kifayah ini akan melihat jumlah pendapatan keluarga dan dibandingkan dengan jumlah ahli keluarga. Dari situ, baharulah mereka akan diklasifikasikan sama ada kaya, miskin ataupun fakir.

KESIMPULAN

Apa yang telah saya paparkan di atas adalah secara sepintas lalu mengenai apa yang dijalankan oleh LZS (MAIS). Semoga ia mampu memberikan sedikit pengetahuan asas mengenai zakat dan perlaksanannya. Jika ada sebarang pertanyaan, silalah menghubungi saya di hamizul.ah@gmail.com ataupun menelefon ke LZS (MAIS) di 03-55227777

Wallahua’lam

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.