Mencari seorang mursyid (Siri 3)

Sepanjang menyertai Jemaah Tabligh, saya bagaikan tersedar bahawa Islam adalah suatu agama yang istimewa. Sepanjang usia saya sejak kecil sehingga remaja, saya tidak faham kenapa saya Islam, saya tidak kenal siapa Muhammad bin Abdullah, saya tidak kenal siapa sahabat-sahabat rasulullah dan saya tidak pernah ambil kisah pun. Kehidupan saya sebelum mengenali Jemaah Tabligh, hanyalah sebagai budak kecil yang menganuti Islam sebagai agama sejak lahir. Ya, lahir sahaja ke dunia, saya Islam kerana baka. Maka, membesarlah saya sebagai seorang Islam tanpa usaha memahaminya – luar dan dalam!

sri-petalingJemaah Tabligh mempunyai kekuatan dari aspek amalan sunnah. Misalnya solat berjemaah, ini adalah amalan sunnah terunggul yang diwariskan oleh rasulullah. Jika seorang karkun sedang melakukan kerja, misalnya bertukang dan dia kedengaran azan berkumandang, maka si karkun berkenaan akan segera meninggalkan pekerjaannya dan menyahut seruan azan. Dia akan segera membersih dan menyucikan diri dan mengenakan pakaian dan minyak atar istimewanya, lalu bersegera mendatangi solat berjemaah di masjid atau surau berdekatan rumahnya. Syahdu sungguh apabila saya meneliti akhlak karkun-karkun tabligh dalam bab menjaga solat berjemaah ini (Gambar: Masjid Sri Petaling, markaz Tabligh di Kuala Lumpur).

Sebab itulah, antara mauduk utama dakwah jemaah ini ialah, mengajak manusia kembali memakmurkan rumah Allah. Mereka tidak berbicara isu lain, misalnya kecelaruan politik negara dan dunia dalam usaha dakwah mereka. Mereka tidak membicarakan soal kejatuhan nilai ringgit atau saham di papan utama. Mereka tidak berminat pun untuk menceritakan isu kenaikan harga ayam, gula dan bawang. Atau mengisahkan mat rempit dan minah rempit berlumba malam. Itu sesuatu yang asing dan canggung dalam bicara dakwah mereka. Benar, sesekali apabila berkesempatan mengikuti bicara mereka dari dulu hingga kini, nadanya masih sama, mereka istiqamah dalam urusan fikir atas iman dan amal mereka.

Semasa terlibat dalam gerakan Islam di kampus, dalam proses ta’aruf sesama ikhwah atau anak usrah, kami dapat mengesani satu perkara yang hampir sama berlaku kepada pengikut jemaah kampus, bahawa jemaah yang mula-mula berjaya menarik kami untuk mendekati Islam sebagai ‘ad-deen’ atau ‘nizamul hayah’ ialah Jemaah Tabligh. Selepas dari itu, maka baharulah ada yang akan meneruskan tatih perjuangannya sama ada menerusi Abim, Jim dan Pas. Asalnya, ialah Tabligh…menarikkan?!

Dalam Tabligh, organisasi mereka agak ringkas. Mereka mempunyai amir yang bertanggung jawab terhadap jemaah. Namun kita jangan terkejut, orang-orang yang menyertai jemaah ini bukanlah calangan manusia. Ramai para teknorat yang jatuh hati dengan jemaah ini, misalnya para profesor, doktor, pensyarah dan sebagainya. Ini kerana, jika di kampus pun yang ramai menyertai jemaah ini ialah pelajar dari aliran perubatan, sains hayat, geologi, pengurusan perniaagaan, teknologi maklumat, ekonomi dan sebagainya. Pelik juga saya, agak sedikit pelajar daripada bidang agama yang mendekati Tabligh. Dan jika kita mahu menyertai Jemaah Tabligh, ia adalah penyertaan secara terbuka. Tiada borang keahlian, tiada yuran tahunan dan tiada undang-undang bertulis yang mengawal pergerakan kita.

Dan, suka juga saya nyatakan bahawa asal Jemaah Tabligh bukanlah dari negara Timur Tengah, Mesir atau Madinah. Ini sedikit sebanyak menimbulkan polemik berterusan, bahawa Jemaah Tabligh bukanlah jemaah yang berasaskan sunnah rasulullah, lantaran penampilan mereka yang lebih bersifat ke-India-an berbanding ke-Arab-an. Hinggakan sesetengah karkun cuba meniru lahjah India apabila menyebut nama Allah berbanding lahjah Arab yang dituntut dalam ilmu qiraah. 

Hakikatnya, jemaah ini memang  berasal dari India, sebuah negara yang hari ini bukanlah dikenali sebagai negara Islam; namun mempunyai jumlah umat Islam yang amat ramai. Di India, ia diasaskan oleh seorang ulama tasawuf yang bernama Maulana Muhammad Ilyas yang hidup dari tahun 1185 – 1944 di Khandela (Gambar beliau di sebelah, saya petik dari sebuah blog karkun). Ia kemudian dikembangkan ke seluruh pelusuk dunia oleh para pengikutnya, sehinggalah tiba ke Malaysia, Indonesia dan di mana-mana.

Dalam pergerakan ini, mereka ada asas yang tersendiri. Mereka amat taksub dengan Rukun Tabligh yang juga dikenali sebagai rukun enam, prinsip enam atau enam dasar (usulus sittah). Enam dasar yang mereka dokongi itu ialah:

1.  Kalimat thayyibah (La ilaha illallah dan Muhammad Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam)
2. Solat lima waktu (dengan khusyu’ dan tunduk)
3. Ilmu (yakni tentang fadhilah (keutamaan) dan zikir bukan permasalahan ilmiyah atau hukum-hukum syari’at)
4. Memuliakan sesama muslim (Ikram muslimin)
5. Niat (yakni membenarkan dan mengikhlas niat agar jauh dari riya’ dan sebagainya)
6. Khuruj (Yakni keluar berdakwah kepada Allah ‘Azza wa Jalla – berdasarkan manhaj Tabligh)

(Insya-Allah bersambung lagi…)

10 Replies to “Mencari seorang mursyid (Siri 3)”

m3pc 12 April 2010 at 11:13 pm

A’kum, hidup sementara Hamizul, terus berjuang, sambut takaza tambahkan qurban, jaga 5 amal semasa di mohalla. Hasilnya tak jauh .. syurga insyaallah tempat mu.

rahaba 7 June 2010 at 10:43 pm

4 bulan negara jauh azam.

Ust Mizul 8 June 2010 at 11:48 pm

? tak faham sey…

husni 20 July 2010 at 4:41 pm

asukm jga amalan dan niatkan selalu dakwah maksud hidup
ust mizul mau pahan ingsalloh ikut 3 hr dulu

azharjaafar 28 October 2010 at 2:19 pm

Salam ustaz.. pinjam entri ni utk post dlm blog saya..

Ust Mizul 28 October 2010 at 4:45 pm

salam azharjaafar…ambillah…tak pe, tapi jgn lupe bubuh le link ke laman sesawang ni ya…

fariz67 10 November 2010 at 10:14 am

Salam Ustaz. Adakah skrg ustz masih libatkan diri dgn usaha yg digelar ‘Jemaah Tabligh’ ni? Satu kesalahfahaman umat hari ini ialah menganggap ‘jemaah tabligh’ ini sebagai satu gerakan @ persatuan, walhal usaha ini adalah usaha yang mesti dibuat oleh semua umat Islam. Tidak ada nama yg khusus kepada usaha ini. ‘Jemaah tabligh’ bukanlah nama kpd usaha ini. Jadi, namanya apa?….tidak ada nama. Apabila meletak nama pada usaha ni, maka umat akan menganggap ussha ini adalah berbentuk ‘pilihan’, nak buat boleh, tak nak buat pun boleh.
Untuk faham perkara ni, kenalah korban diri, harta & masa keluar di Jalan Allah.
Maaf, saya hanya sampaikan maklumat yg sangat penting ini.

Ust Mizul 10 November 2010 at 1:11 pm

Salam fariz 67,

Saya sudah tidak aktif lagi dengan jemaah tabligh. Tetapi saya masih menerima baik kumpulan tabligh yang datang ke perumahan saya. bahkan saya juga berkongsi ilmu dengan mereka.

Dalam Islam, dakwah adalah tugas setiap daripada kita. Ia adalah fardu kifayah. Hal ini dapat dirujuk kepada banyak ayat al-Quran dan al-hadis. Oleh kerana ia adalah fardu kifayah, maka ramai yang memandang ringan terhadap tugas dakwah. Mereka beranggapan, apabila sudah ada orang melakukannya, maka mereka boleh duduk berdiam diri sahaja. Sedangkan, dakwah bukan sekadar dengan kata-kata, ada pelbagai method dakwah yang boleh diceburi. Termasuklah dalam penulisan, nyanyian, seni, lakonan dan sebagainya. Namun, yang menjadi ‘bunga’ kepada dakwah ialah akhlak al-karimah.

Masih panjang jika mahu dibahaskan…tetapi teruslah berdakwah, dan telusurilah dakwah nabi dan ambillah pendekatan terkini demi memastikan dakwah kita benar-benar mencapai matlamatnya, insya-Allah.

mutaqallim 11 February 2011 at 3:26 pm

assalamua’alikum ustaz yg bakal menjadi seorg pewaris nabi..
pada fikiran saya, jawapan yg tuan ”Saya sudah tidak aktif lagi dengan jemaah tabligh. Tetapi saya masih menerima baik kumpulan tabligh yang datang ke perumahan saya. bahkan saya juga berkongsi ilmu dengan mereka.” adalah tidak boleh diterima pakai kerana apa kerja nabi adalah kerja kita..maka kembalilah kepada kerja yang nabi telah ajar mengajak manusia kepada Allah..sesungguhnya Allah sentiasa menerima taubat org yg meninggalkan kerja ini..

sy bukan org alim tuan..sy hanya seorg posmen yang sedia menghantar perkhabaran jika diminta oleh majikan sy iaitu ALLAH AZZAWAJALLA..tuan org yg lebih mulia dari sy..masih ramai lg kwn2 sy yg belum dapat hidayat mungkin dgn doa dan pengorbanan org alim mcm tuan menjadi asbab hidayah tersebar di seluruh dunia seluruh alam..maafkn sy jika perkara ini disampaikan dgn kurg sempurna..yg baek dtg nye dr Allah

soleh muhammad 5 March 2011 at 11:21 pm

assalamualaikum
atok doakan ana mau keluar 4bln

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.