Filem, sebuah pandangan naif penonton biasa

‘Dunia ini memang pentas lakonan…namun ia akan dihisab di akhirat kelak. Foto sekadar hiasan.’

Kita manusia biasa, suka menonton filem pelbagai cerita. Jika kita ini imannya bak para wali, kita mungkin akan ‘mentong-sampahkan’ hampir 99% filem yang ada di pasaran. Bukannya apa, filem di negara kita, maksud saya, filem hasil para sutradara kita, bagi saya amat jauh daripada menyuntik iman dan takwa ke dalam dada.

Jauh lagi jika mahu diangkat sebagai wahana yang berupaya membentuk ummah yang wasata (ummatan wasatan). Dalam erti kata lain, filem yang dihasilkan di negara kita GAGAL dalam memenuhi piawaian Islam, ‘sekoman-komannya’ dalam usaha menjadikan kita taat dan takut melanggar hukum Allah, makin beriman dan sayang kepada Allah. Apabila menonton filem, kita didorong untuk taqarrub dan sujud kepada Allah.

Dalam surah as-Sajadah, ayat ke 15 Allah taala menggambarkan sifat mukmin sejati yang sepatutnya mengisi kekontangan roh dalam filem-filem kita, iaitu mestilah filem itu menjadi pengingat kepada Allah SWT.

 “Sesungguhnya orang yang benar-benar percaya kepada ayat-ayat Kami adalah mereka yang apabila diperingatkan dengan ayat-ayat itu (ayat-ayat al-Quran) maka mereka segera bersujud seraya bertasbih dan memuji Rabbnya dan mereka tidak sombong diri (meninggi diri).”

Tapi lihatlah, filem hari ini, ia bukan sahaja gagal menjadi alat ‘reminder’ bagi mukmin, bahkan lebih banyak menanamkan benih-benih mazmumah ke dalam hati para audiensnya. Misalnya berbangga dengan kekayaan diri, bangga dengan kejelitaan dan kehenseman anugerah Tuhan, sombong dengan pangkat kebesaran dan sebagainya lagi. Cuba lihat dan perati filem kita, lihat kelaku pelakonnya, baik semasa mereka di depan kamera atau di belakang…lebih kurang sama sahaja. Ramai yang suka berpura-pura, amat sedikit yang elok akhlaknya. Maka, bagaimanakah mereka mampu menjadi model mulia dalam Islam.

Susah sangat bagi kita untuk berjumpa dengan pelakon yang boleh diangkat sebagai model. Kadang-kadang mereka berlakon sebagai ustaz dan ustazah, namun itu hanya lakonan. Apabila tersua di luar, mak aih…rangginya. Bahkan pelakon yang nampak harmoni rumah tangganya, tup-tup bercerai-berailah pula.

Filem dalam Islam sepatutnya menjadi instrumen pembentukan jati diri manusia. Ia menanamkan rasa mahabbah atau kecintaan kepada Allah sebagai Rabb yang melebihi segala kecintaan yang lain. Filem yang ada sepatutnya mengajak kita supaya menelaah seerah hidup nabi dan keluarga serta sahabatnya, kemudian sama-sama mencontohi tauladan yang mulia.

Filem yang ditayangkan kepada kita, kebanyakannya mengajak cinta kepada dunia, cinta wanita, cinta pria, cinta asmara dan cinta harta serta cinta takhta. Walhal, inilah yang ditegah sangat-sangat oleh Rasulullah SAW, iaitu cinta dunia. Pesan nabi:

“Suatu masa kelak kamu (umat Islam) akan dikerumuni bak makanan enak oleh orang ramai dan bak buih di lautan, ramai tapi tiada kualiti. Sahabat bertanya, kenapa? Jawab nabi, kerana umat Islam kala itu ditimpa penyakit ‘Wahan’, iaitu penyakit ‘Cinta dunia’ dan ‘takut mati.’ (Terjemahan sepintas lalu hadis riwayat Abu Daud)

Hadis di atas adalah antara pertanda akhir zaman. Umat Islam ramai, tapi tiada kualiti. Majoritinya ‘hampeh’. Tepat seperti mana kata Saiyidina Ali bahawa, suatu masa yang tinggal pada Islam hanya nama dan bentuknya sahaja. Samalah dengan pengarah dan pelakon filem, namanya sahaja Islam. Mungkin namanya seperti para nabi, misalnya YUSUF, MUHAMMAD, ISA, SULAIMAN dan pelakonnya punya nama secantik AISYAH, KHADIJAH atau apa-apa sahaja, namun akhlak dan peribadi mereka jauh daripada pemilik asal nama-nama berkenaan.

Bahkan kita pernah dikejutkan dengan pengakuan beberapa orang pelakon, bahawa semasa mereka membawa watak maka kala itu ‘watak itulah mereka’. Maknanya, jika di luar watak namanya ROHANA dan kala berlakon dia membawa watak SUSAN yang beragama kristian, maka kala berlakon dia adalah SUSAN yang Kristian! Masya-Allah…saya tak dapat nak kata apa lagi dengan pengakuan orang seperti ini. Di manakah letak duduknya iman dan Islam mereka kala itu.

 Cuba kita lihat pesanan Allah SWT: “Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan manjawab, “Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja.” Katakanlah: “Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok?” (at-Taubah 9: 65)

 Wallahua’lam

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.