TERAPI FIDYAH ANDA

Oleh: Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid

Menjelang puasa di bulan Ramadhan, sila baca jika ada keperluan :).

Soalan: Boleh ustaz terangkan dengan jelas apakah yang dimaksudkan dengan pembayaran fidyah?

Jawapan: Fidyah menjadi bayaran yang wajib dikeluarkan bagi mereka yang telah meninggalkan puasa Ramadan atas sebab-sebab yang tertentu yang diharuskan (seperti faktor usia yang sudah sangat lanjut sehingga menyebabkan tidak mampu berpuasa dan sakit yang tidak mampu sembuh), namun mereka yang mengabaikannya kerana kelalaian diri sendiri juga wajib melunasinya.

Soalan: Berapakah kadar fidyah?

Jawapan: Kadarnya adalah secupak makanan asasi (beras) dengan berat kira-kira 600 gram. Maka cara mendapatkan harga fidyah ialah, 600 gram beras (0.6) X RM3 = RM1.80.

Soalan: Apakah situasi-situasi yang menyebabkan fidyah dikenakan?

Jawapan: Di sini disenaraikan keadaan yang mewajibkan fidyah kepada seseorang:

a) Wanita yang kedatangan haid atau melahirkan anak dan kedatangan nifas, maka mereka memang tidak dibolehkan (haram) berpuasa. Mereka wajib mengqada puasa itu sebelum tibanya Ramadan yang akan datang. Apabila mereka gagal mengqadakannya, maka wajiblah mereka membayar fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan.

b) Wanita yang sedang hamil (mengandung) atau menyusukan anak kecil. Seandainya wanita berkenaan tidak berpuasa Ramadan kerana bimbangkan keselamatan kandungan janinnya atau kesihatan anak kecilnya, maka wanita berkenaan wajib mengqada puasa dan juga mengeluarkan fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan sebelum tibanya Ramadan yang akan datang. Seandainya wanita itu tidak berpuasa kerana bimbangkan keselamatan dirinya sendiri, maka dia hanya wajib mengqadakan puasanya dan tidak wajib mengeluarkan fidyah; kecuali berlaku kecuaian seperti dalam kes (1) di atas, yakni dia tidak mengqada hingga masuk Ramadan berikutnya, dia wajib qada dan membayar fidyah.

c) Orang-orang yang sedang bermusafir atau sakit yang menyebabkan mereka tidak mampu berpuasa atau atas sebab-sebab lain yang diizinkan syarak untuk berbuka, maka wajib bagi mereka mengqadakan puasa dan seandainya mereka melalaikannya seperti kes (1), maka wajib mereka mengqada puasa dan mengeluarkan fidyahnya.

d) Orang-orang yang sudah terlalu tua dan amat uzur sehingga tidak mampu berpuasa pada bulan Ramadan dan jika berpuasa membahayakan diri pula, maka mereka diizinkan oleh syarak untuk tidak berpuasa dan wajiblah bagi mereka mengeluarkan fidyah sepanjang hari atau sebulan puasa yang ditinggalkan.

e) Orang-orang yang sakit yang serius yang telah menghalangi kemampuannya untuk berpuasa sepanjang hayatnya (misalnya koma), maka wajiblah dikeluarkan fidyah ke atasnya oleh para warisnya.

Soalan: Bolehkah kita mengeluarkan fidyah dengan wang, ataupun mesti juga dengan makanan asasi?

Jawapan: Ada dua pandangan ulama, sama ada mengeluarkan fidyah dengan makanan asasi atau dengan wang. Dalam konteks amalan hari ini, sudah pasti memberikan wang adalah lebih praktikal; apatah lagi melihat kepada zakat fitrah sendiri sudah ditunaikan dalam bentuk wang. 

Soalan: Bagaimanakah caranya untuk melakukan pembayaran fidyah? Bagaimana mengiranya?

Jawapan: Mengeluarkan fidyah boleh dilakukan, sama ada dengan mencari sendiri golongan fakir dan miskin ataupun membayar harga fidyah berdasarkan jumlah hari yang ditinggalkan kepada pihak Lembaga Zakat Selangor. Darabkan jumlah hari yang ditinggalkan puasa itu dengan RM1.75 dan boleh dikeluarkan kepada pihak LZS. LZS akan menyalurkan kembali fidyah berkenaan kepada fakir dan miskin yang memerlukan.

Soalan: Bagaimana pula dengan orang yang mahu membayar fidyah setelah lama tidak membayarnya? Adakah wajib digandakan?

Jawapan: Pendapat tentang gandaan ini sebenarnya adalah khilaf dalam kalangan fuqaha. Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang bersidang pada tahun 2001, maka diputuskan jika seseorang itu mampu, maka hendaklah dia menggandakannya. Namun jika tidak mampu, maka tidak wajib menggandakan fidyah. Cukup dibayar berdasarkan hari yang ditinggalkan sahaja biar pun sudah berlalu beberapa tahun. 

Soalan: Bolehkah melaksanakan fidyah semata-mata dan tidak berpuasa?

Jawapan: Tidak, haram dan berdosa hukumnya. Seseorang yang mampu berpuasa, maka masih wajib mereka berpuasa, dan mengqadakan puasa yang ditinggalkannya jika memang dia ada meninggalkannya, dan dalam masa yang sama jika perlu, dia wajib juga melunasi fidyahnya. Ringkasnya, fidyah tidak melupuskan puasanya.

Soalan: Jika si A orang Arab dan tinggal di Malaysia, adakah dia mesti mengeluarkan fidyah dengan makanan asasinya di tanah Arab (tepung gandum) atau bagaimana?

Jawapan: Orang Arab yang tinggal di Malaysia atau di mana-mana sahaja di belahan dunia, andai mereka mahu mengeluarkan fidyah dengan makanan asasi, maka hendaklah sewajarnya disesuaikan dengan jenis makanan asasi di tempat berkenaan. Jika di Malaysia pastilah beras, kerana penduduk di Malaysia (termasuklah penerima fidyah berkenaan) makanan asasinya ialah nasi. Wallahua’lam.