NEW: DAHULU AKU MISKIN

“Kamu pernah miskin?” Tanya Aman.

“Pernah.” Jawabku pendek.

“Miskin itu bagaimana?” Tanya Aman lagi. Dia anak pegawai JKR. Bapanya punya kereta besar.

“Miskin itu payah. Serba-serbi terbatas.” Jelasku lagi.

“Apa yang terbatas?” Kurang faham barang kali, Aman terus menyoal.
Aku termenung sejenak.

“Aman, masa zaman budak-budak, kamu suka basikal?” Aku balik bertanya.

“Mestilah. Papa belikan aku basikal baru. Best. BMX. Laju!” Jawab Aman. Bangga.

“Aku juga mahu basikal. Namun aku tak dapat basikal baru. Aku hanya tumpang basikal atuk. Basikal tua yang sudah rosak. Gelong tayarnya. Basikal yang dikongsi dengan seluruh ahli keluarga.” Balas saya. Sambil terhimbau cerita lalu.

Saya ini anak kampung yang miskin. Sungguh. Saya lahir dalam keluarga pekebun. Emak dan opah saya menoreh getah. Saya masih ingat. Kebun getah itu, kami pajak dari orang lain. Kebun milik Haji Hamid. Orang tua itu kaya. Kebun getahnya luas. Dia juga rajin membersihkan kebunnya.

Hasil torehan getah, wajib dibahagi dua. Haji Hamid dapat separuh bahagian. Jika dapat RM30, Haji Hamid dapat RM15. Emak dan opah pula, berkongsi dua. Dapatlah RM15 seorang.

Harga getah bukanlah mahal. Tapi, kerjanya sangat melelahkan. Namun apa daya, kami terpaksa. Itulah kemahiran yang kami ada. Lagi pun, tanah milik kami kecil untuk ditanam pokok getah. Lokasinya pun jauh, nun di atas bukit. Jadi, memajak daripada Haji Hamid lebih menguntungkan.

Waktu malam, suara lotong di hutan bertingkah. Cengkerik syahdu berlagu. Itulah simfoni indah di kampung kami. Waktu itulah, bunyi pisau ‘motong getah’ diasah menciut-ciut. Mata pisau ‘motong getah’ mesti tajam. Opah akan memeriksa. Diletakkan ibu jari ke situ. Jika sudah tajam, ia melekat ke kulit jari. Jika tumpul, asah lagi. Hingga berkilat. Hingga batu asah jadi nipis.

Esoknya, waktu matahari masih malu-malu menampakkan wajah, kami sudah meninggalkan rumah. Meredah lorong setapak yang kecil. Dedaunan yang masih basah. Embun masih melekat. Jarak ke kebun getah bukanlah dekat. Juga tidak mudah. Sering berbukit. Mendaki. Dipenuhi akar berselirat. Pacat menjadi penumpang gelap. Menghisap darah kami. Nyamuk berpesta pora. Ada sarapan segar. Dari kapilari kami yang mengalir bugar.

Lebih malang jika kami terserempak babi hutan. Ada peluang kami disondolnya. Huishhh…haram. Habislah kami bermandi air tanah. Babi najis mughallazah. Lebih naya bila ada kala jengking, lipan dan ular. Atau kadang-kadang terlanggar sarang temingat di dahan pokok. Atau terpijak sarang tebuan tanah. Habis disengat. Silap hari bulan, boleh merasa nasi hospital.

Kadang-kadang kami sudah bersedia ke kebun getah, awan mendung pula berarak. Sedihlah kami. Habislah angan-angan kami. Pisau motong getah kami simpan dahulu. Berehat. Kata orang, hujan membawa rahmat. Namun bagi penoreh, hujan juga menjadi ‘musibat’. Susu getah tidak boleh bercampur air hujan. Rosak binasa jadinya.

Lebih sedih, hujan turun selepas getah ditoreh. Tanpa isyarat apa-apa. Getah kami yang bertakung di dalam pot belum beku. Semuanya bercampur air hujan. Keringat kami pun mengalir bersama hujan yang deras. Melimpah di tubir pot. Akhirnya tenggelam ke dalam tanah. Menguburkan harapan kami. Untuk sesuap makanan lagi.

Namun ada lebih dahsyat. Lebih ‘celaka’. Ada orang tidak berhati perut. Penyagak kampung. Mereka menceroboh kebun getah kami. Kebun getah di perbukitan. Jauh dari rumah. Tidak berpagar dan dikawal orang. Mereka curi getah sekerap kami. Mereka jual. Tanpa menyisakan sedikit pun buat kami.

Buncitlah perut mereka dengan wang haram. Sedih sungguh dibuatnya. Namun itulah nasib orang-orang kampung. Pekebun yang miskin. Penoreh getah yang dipajak. Rezekinya tidak terjamin seperti orang yang bekerja di pejabat. Hujung bulan, tekan di mesin ATM keluar wang.

Ingat, harga getah macam yoyo. Ia ikut permintaan di pasaran. Getah komoditi bukan makanan. Ada masa naik. Banyak masa, ia tidak naik. Apatah lagi kini ada saingan. Getah tiruan alias sintetik hasil kimia campuran. Makin tidak menentulah harga getah pekebun kecil-kecilan. Pekebun boleh naik pitam tanpa sokongan kerajaan.

Tunggulah. Menjelang pilihan raya, harga akan naik. Namun selalunya, lepas pilihan raya, darah pekebun getah pula yang naik. Ha…ha…saya teringat seorang kenalan. Bila ditanya kamu kerja apa, jawabnya selamba.

“Teman keroje NGO.”

“NGO?” ujar saya mohon kepastian.

“Iya le mike. Noreh Getah Orang.”

Inilah sedikit cabaran. Kehidupan orang miskin di kampung. Ia kisah nyata. Kerana saya pernah melaluinya. Jari saya pernah terluka terkena pisau ‘motong getah’. Tangan saya berlumur dengan air getah. Busuknya sekerap, minta ampun. Darah dalam tubuh saya juga, membesar dengan wang getah yang busuk.

Hakikatnya, saya tidak merasa malu. Justeru itulah bukti nyata. Bahawa dahulu saya seorang miskin. Basikal buruk atuk. Nasi berlaukkan minyak bekas gorengan ikan asin. Rumah kayu yang usang. Beratap rumbia. Berjemorang bambu. Mandi di sungai. Serta banyak lagi kenangan dahulu. Adalah rempah ratus kehidupan. Memaknai sebuah kejayaan.