APA YANG NABI KHUATIRKAN?

Oleh: Ustaz Hamizul bin Abdul Hamid

“Seseorang Muslim adalah bersaudara dengan seorang Muslim yang lain. Janganlah kamu menzaliminya, jangan pula menghinanya dan juga jangan merendahkan mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Alangkah indahnya pesanan di atas. Ia dinukilkan oleh lidah seorang manusia paling mulia atas dunia, iaitu Nabi Muhammad SAW. Seorang manusia, yang berkata-kata bukan sekadar sebagai penyedap rasa, mengambil hati atau sekadar berbasa-basi; tetapi ungkapan yang lahir dari hati dan sudah pun direalisasikan dalam amalan sehari-hari. Inilah yang ingin kita kongsikan, tentang kerisauan hati seorang nabi kepada kita, umatnya di akhir zaman ini.

Apa pun kondisinya, Nabi Muhammad SAW sentiasa prihatin terhadap keperluan umatnya. Bukan sekadar dalam isu mengadili dua orang yang bertikaian tentang hak, atau mengatur urus Negara Madinah yang besar gedabak, malah keprihatinan nabi mengalir dalam hal yang mungkin dianggap remeh dan kecil oleh orang lain.

Digambarkan dalam satu kisah, nabi tidak memanjangkan bacaan solat ketika solat berjemaah, hanya kerana baginda terdengar adanya suara tangisan anak-anak kecil di belakang baginda, hingga akhirnya kita mendapat pencerahan dalam bab ibadah. Sabda Baginda SAW: “Sesungguhnya aku mengimami sekumpulan manusia dalam solat, dan aku mahu memanjangkan solat itu, lalu aku terdengar tangisan seorang bayi, aku pun meringkaskan solat aku kerana aku takut ia akan merisaukan ibu bayi tersebut.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Qatadah r.a)

Nabi SAW tidak memanjangkan bacaan dengan memilih surah-surah yang panjang, atau sengaja memperbanyakkan bilangan tasbih, kerana sedar ada ibu yang hatinya tidak lagi kusyuk dek teriakan tangisan anaknya. Malah, saya yakin bahawa tangisan itu juga boleh mengganggu kekusyukan orang lain. Sebab itulah nabi meringankan solatnya demi manfaat semua pihak.

Inilah satu contoh bagi menjelaskan, betapa nabi amat mengambil berat keperluan sesama manusia. Malah dalam contoh yang lain, nabi juga menyantuni sesama makhluk Allah SWT termasuklah tumbuh-tumbuhan dan haiwan. Buktinya, Nabi Muhammad SAW pernah menegur isterinya, Aisyah r.ha kerana agak berkasar dengan unta yang ditungganginya. Kata Nabi Muhammad SAW kepada Aisyah: ““Wahai Aisyah! Kamu hendaklah menaruh kasihan belas (berihsan, waima kepada seekor binatang). Sesungguhnya apabila ihsan masuk ke dalam sesuatu, maka hendaklah ia menghiasinya. Dan apabila ihsan terkeluar daripada sesuatu, maka ia akan rosak.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Demikianlah prihatinnya nabi, bukan sekadar kepada manusia yang berakal malah juga kepada haiwan yang melata. Jika kepada seekor haiwan pun sudah disantuni keperluannya, maka bayangkan pula sopan dan santunnya nabi kepada sesama manusia. Sebab itulah, akhlak nabi tiada tandingannya dan menjadi senjata dakwah yang cukup ampuh untuk melembutkan hati dan menundukkan jiwa manusia.

Ini kerana, di dalam kehidupan kita sehari-hari di atas dunia ini, yakin dan percayalah bahawa kita semua tidak akan terlepas daripada dua pertanggungjawaban terhadap dua jenis perhubungan, iaitu hubungan dengan Allah SWT (hablumminallah) dan hubungan sesama manusia (hablumminannas). Manusia yang berjaya, mestilah menjaga kedua-dua hubungan ini, apatah lagi bagi sesama manusia yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya.

Lalu, apakah yang nabi khuatirkan akan berlaku kepada umat akhir zaman? Nah, itulah dia perlakuan-perlakuan di luar batas norma kemanusiaan, seperti ketamakan kepada dunia dan berleluasanya nafsu sehingga menafikan hak milik orang lain tanpa secebis pun rasa malu.

Malah dalam kondisi yang lebih tepat, antara perkara yang nabi khuatirkan akan berlaku dan kini seakan-akan sudah pun menimpa ke atas umatnya, adalah keburukan yang disebabkan oleh ketamakan dan kerakusan kepada harta sehingga dengannya, maka rosaklah perhubungan yang sepatutnya terjalin dengan sempurna.

Manusia memang sentiasa kalah kepada nafsu harta, kecuali orang yang tebal imannya di dada. Ini kerana, sudah tercatat dalam sejarah bahawa manusia sejak zaman dahulu lagi sehinggalah ke hari kiamat, tidak akan pernah merasa puas dengan harta kekayaan. Masakan manusia puas, kerana semakin kaya, semakin banyak mereka mengumpulkan harta. Qarun sudah pun menjadi buktinya. Dan kepuasan hanya akan berlaku (terhenti), saat kematian menjemput mereka dan jasad akhirnya terkujur di liang kubur.

Allah SWT berfirman: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal soleh) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak, pangkat dan pengaruh), sehingga kamu masuk (ke dalam) kubur.” (at-Takasur: 1-2)

Lalu, manusia yang semasa hayatnya merupakan para pendamba syurga, akan sentiasa serius berusaha merendahkan dirinya kepada yang Maha Pencipta, tunduk dan patuh dengan ajaran-Nya dan tekun dalam mengerjakan segala amalan soleh demi meraih kasih-sayang Allah SWT. Mereka yang bersifat seperti ini, pastinya amat meraikan keperluan sesama manusia. Mereka tidak merasa senang berada di rumah, jika mereka tahu ada lagi orang-orang yang bergelandangan tanpa arah. Bagi mereka, kesempurnaan harta hanya berlaku apabila ia melebar manfaatnya demi kebaikan semua yang perlu.

Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga dia mencintai untuk saudaranya segala (kebaikan) yang dicintainya (sebagaimana) untuk dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Bukanlah bermaksud tidak beriman itu tiada langsung iman di dadanya; namun ia menunjukkan tidak sempurnanya keimanan bagi orang yang tidak cuba dan berusaha untuk menyempurnakan kebajikan sesama yang memerlukan. Ya, hidup kita memang sedemikian, baharulah akan lahir kebahagiaan, kerana masing-masing sentiasa mengambil berat terhadap yang lain tanpa paksaan.

Malah Islam mengajar kita, untuk menjadikan kecintaan itu melebar sehingga kita merasakan apa yang terbaik buat kita itu jugalah yang terbaik buat orang lain. Inilah yang dibawa dalam model muamalah Nabi Muhammad SAW bersama manusia sezamannya. Nabi SAW sentiasa menjadikan dirinya sebagai orang yang bermanfaat buat orang lain, dan dalam masa yang sama  nabi amat menegah jika seseorang itu menjadi sumber kerosakan kepada orang lain pula.

Ingatlah: “Sebaik-baik manusia adalah mereka yang memberi manfaatnya kepada orang lain.” (Hadis riwayat Imam Baihaqi) dan nabi menegaskan lagi, tiga ciri manusia yang beriman kepada Allah dan hari akhirat ialah: (1) Mengucapkanlah kata-kata yang baik-baik, atau diam saja; (2) Tidak menyakiti tetangganya, dan (3) memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mutakhir ini, manusia semakin hilang sifat ihsannya sesama manusia. Peperangan terjadi di serata dunia, merampas hak milik orang lain sesuka hati mereka, menidakkan peluang untuk menikmati kehidupan bahagia tanpa secalit rasa kesal di dada, malah saling berbunuhan dan memutuskan silaturahim hanya kerana dunia dan perhiasannya (harta dan kuasa).

Inilah yang dikhuatirkan oleh Rasulullah SAW, sesuatu yang akan berlaku ke atas kita andai kita tidak mengikat diri untuk terus tunduk dan patuh kepada Allah SWT. Tidak mustahil ia juga akan menjerat kita, kerana memang sudah ramai manusia yang lemas kerananya.

Ingatlah, nabi pernah membuat perumpamaan: “Sesungguhnya harta benda dunia itu kelihatannya hijau dan manis; tetapi sebaik-baik harta seorang muslim, ialah yang disedekahkannya kepada orang miskin, atau kepada anak yatim, dan atau kepada pejuang-pejuang yang berjuang menegakkan agama Allah,” dan juga: ” Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan supaya (kita hendaklah) selalu bersikap baik terhadap segala-galanya.” (Hadis riwayat Muslim). Wallahua’lam.