WANITA SYURGA vs WANITA NERAKA

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Perunding Kanan Dakwah
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Ketika mana Nabi Adam a.s diciptakan Allah SWT di dalam syurga, baginda keseorangan. Melihat kepada beburung yang terbang berpasangan, timbul rasa ingin berdua. Allah SWT akhirnya menciptakan Hawa. Dari mereka, kita berasal. Hawa adalah ibu kepada seluruh manusia. Hawa adalah seorang wanita. Hawa bahagia bersama Adam di dalam syurga. Hinggalah Hawa digoda Iblis. Nafsunya meronta-ronta melihat pohon larangan. Kisah selanjutnya, kita berada di bumi.

Kisah Iblis memperdaya Hawa, menjadi pedoman bahawa senjata ‘maut’ bagi wanita ialah nafsu. Lelaki pula, kononnya yang diberi sembilan akal itu[1], selalunya kalah jika lawan godanya ‘wanita’. Kita tidak perlu melihat jauh. Pemimpin atas dunia, sekejam Firaun pun tunduk kepada Asiah. Dia mahu membunuh Musa. Asiah melarang. Akhirnya Musa membesar dalam istananya sendiri. Kesudahannya, Firaun mati di Laut Merah kerana mengejar Musa. Anak angkat kesayangan isterinya.

Wanita adalah pencipta dua dunia. Mereka mencipta syurga dan mereka boleh mencipta neraka. Ia sudah bermula ketika masih di dunia. Kita boleh perhatikan, ramai wanita pendamba syurga. Mereka adalah wanita-wanita yang disebut di dalam al-Quran. Selain Asiah, ada juga namanya Siti Sarah, Mashitah, Ratu Balqis, Zulaikha dan Siti Maryam. Mereka ini punya kisah tersendiri. Wajarlah dipelajari latar belakang mereka. Digali kekuatan mereka. Dijadikan iktibar oleh wanita hari ini.

Ambil sahaja Maryam bonda Nabi Isa a.s. Maryam adalah wanita suci. Rutinnya saban hari beribadah kepada Allah SWT semata. Tup-tup dirinya diuji. Maryam hamil tanpa suami. Dia pun dituduh berzina. Ia ujian. Sangat berat. Namun Maryam tabah. Ketabahannya diganjari Allah SWT dengan imbalnya syurga. Anaknya pula seorang nabi. Isa al-masih yang mulia.

Begitu juga di dalam hadis Nabi Muhammad SAW. Terdapat deretan nama wanita penghuni syurga. Harum mekar zaman berzaman. Sekadar membariskan beberapa orang, Siti Khadijah, Aisyah dan seluruh ummahatul mukminin. Begitu juga Fatimah, Zainab dan semua anakanda nabi. Para sahabiah agung Sumayyah, Nusaibah, Ummu Sulaim, Khaulah, Nailah dan ramai lagi. Tidak mampu dibariskan satu persatu.

Mereka ini ada ceritanya masing-masing. Kisah kepahlawanan yang tidak kalah berbanding para sahabat dan kaum lelaki. Lihat sahaja kepada Siti Khadijah r.ha. Baginda adalah penghulu kaum muslimah. Malah manusia pertama bersyahadah. Sosok agung yang menginfakkan segala kekayaan untuk Islam. Tiada duanya. Namanya sering disebut nabi. Menjadi idola. Manusia pengejar syurga. Salam Allah SWT tertitip khusus buat dirinya.

Begitu juga Sumayyah. Insan lemah namun punya nama besar dalam sejarah. Tidak gentar mempertahan akidah. Arab Jahiliyah rasa tercabar. Mana mungkin maruah mereka dirobek seorang wanita hamba. Tombak ditusuk. Darah membuak. Rohnya terbang ke syurga. Bersama laungan Allahuakhbar. Sumayyah wanita pertama dibunuh syahid. Beliau menjadi penghulu syuhada. Hebatnya seorang wanita?

Sesungguhnya wanita beruntung. Dijadikan lelaki di sisi mereka sebagai pelindung. Tika kecil di bahu ayah dikendung. Tika dewasa, di bahu suami merasa terpayung. Wanita cukup merasa reda suaminya bermujahadah. Selalu menyediakan wahana agar suaminya mentaati Allah. Memotivasi suami agar rumah keduanya adalah ‘rumah Allah’. Meladeni hidup dengan amal soleh. Dia pun meraih pahala tanpa dikurangi sedikit pun suaminya.

Sayangnya wanita juga paling ramai menghuni neraka. Nabi Muhammad SAW menyatakan, kala dibawa ke pinggir neraka, ia dipenuhi oleh kaum wanita. Kenapa wanita paling ramai? Ini pertanyaan para sahabiah? Apa penyebabnya? Tidak adakah jalan keluar? Ambillah cerita nabi sebagai iktibar. Antaranya, taati suami. Jauhkan ghibah (umpat dan caci). Itulah jawab nabi.

Sungguh, wanita paling mudah mencetus dosa. Mereka dijadikan cantik, sebagai penghias dunia. Lalu ramai yang mempamerkan sekehendak hati keindahannya. Sedangkan keindahan itu satu larangan. Hanya bisa dipertontonkan kepada yang berhak. Paling utama lelaki yang bernama suami. Bukan lelaki murahan pencandu dosa. Lebih malang, bila wanita yang memantik pelatuk nafsunya. Bersama iblis merosak dunia.

Kisah Bal’am Ba’ura, al-Barshisa, Nabi Yusuf a.s malah Juraij di dalam al-Quran dan al-hadis adalah tentang wanita yang menggoda. Mereka ditunggangi sang iblis. Kerjanya menarik lelaki ke jurang dosa. Ada yang berjaya ada yang gagal. Lelaki dan wanita yang terjerat dosa, sama-sama terpelanting ke kawah neraka. Kecuali mereka yang tersedar. Seperti Nabi Yusuf a.s dan Juraij yang kalis kernyitan mata. Dikejar. Difitnah. Mereka tetap sabar. Mereka tetap betah. Syurga buat yang tabah.

Jadi, wanita harus sedar. Selangkah mereka bergerak, ke manakah ia menghala. Ke syurga atau neraka. Wanita syurga dambaan lelaki soleh. Wanita neraka kejaran lelaki pendosa. Gunakanlah anugerah Allah SWT dengan sebaik-baiknya. Biar ia menjadi bekal ke syurga. Nikmat yang hakiki. Kerana di sanalah, wanita akan merasai sendiri betapa indahnya hidup ini. Hidup yang abadi. Wallahua’lam.