HUKUM PERSENDA ZAKAT

ZDH20Oleh: Ust. Hamizul Abdul Hamid

Soalan: Baru-baru ini ada seorang pengguna media sosial telah mengambil gambar seekor anak anjing, dan kemudiannya telah menamakan anjing itu dengan nama ‘zakat’. Alasan dia berbuat demikian, kerana merasa marah dengan pihak pengurusan zakat. Jadi, apakah hukum ke atas perbuatan berkenaan, mohon penjelasan ustaz?

Jawapan: Segala puji-pujian bagi Allah SWT yang telah memberikan kita nikmat akal untuk berfikir, mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar, serta hati buat bersyukur.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran: “Dan Allah (telah) mengeluarkan kamu dari perut ibumu dalam keadaan (kamu) tidak mengetahui sesuatu apa pun, dan Dia memberi kamu pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur”. (an-Nahl: 78)

Mutakhir ini, memang kedapatan banyak sekali insiden luar jangka yang berlaku di dalam masyarakat kita. Tidak lama dahulu ada yang menganjurkan program memegang anjing secara terbuka, dan ia mendapat kritikan hangat daripada ramai pihak. Maka hari ini, muncul pula satu ‘posting’ yang menjadi viral di media sosial, iaitu seorang lelaki telah mengambil foto seekor anak anjing dan memberikan namanya ‘zakat.’

Mohon diampunkan oleh Allah SWT kepada kita semua. Sesungguhnya, perbuatan lelaki berkenaan amat jauh menyimpang dari norma akal manusia yang sihat dan normal. Ini kerana, jika merasa marah sekali pun kepada sesiapa sahaja, maka Islam mengajarkan kita agar mengawal rasa marah dengan baik.
Abu Hurairah r.a seorang sahabat yang terkenal sangat miskin pernah meminta nasihat daripada Rasulullah SAW. Maka nabi berpesan kepadanya: “Jangan marah.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Termizi)

Bayangkan, Abu Hurairah r.a yang miskin diajarkan nabi agar tidak mudah marah, walhal beliau seorang yang sangat miskin. Bukankah lebih baik dinasihatkan agar beliau menjadi seorang yang sabar?

Ini kerana, marah itu satu perbuatan yang bisa menghilangkan kewarasan akal manusia. Marah yang kena pada tempatnya tidaklah salah, misalnya ketika melihat orang mempersendakan agama Allah, maka wajiblah kita merasa marah dengan memberikannya nasihat dan teguran.

Namun, marah yang keterlaluan walaupun asalnya berniat baik, misalnya menegur pengurusan zakat, maka ia ditegah di dalam Islam. Dalam hal ini, marah yang sedemikian disebutkan sebagai ‘ifrath’.

Ifrath bermakna berlebih-lebihan. Dalam bab marah, orang berkenaan telah melampiaskan kemarahannya sehingga terkeluar dari batas susila atau hilang sifat rasional. Dia akan memuntahkan perkataan yang keji, memaki-maki malah mungkin disusuli dengan tindakan yang luar jangka. Persis seperti tindakan di atas.

Sebab itulah, dalam hal ini Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan Abu Hurairah r.a: “Bukanlah orang yang kuat itu orang yang selalu menumpaskan (mengalahkan) orang lain, sesungguhnya orang yang kuat itu adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Maka, Nabi SAW juga tidak lupa memberikan beberapa tips agar marah dapat dikawal, iaitu:

1. Duduk jika berdiri, atau jika perlu berbaring agar marah itu reda (Hadis riwayat Muslim)
2. Mengambil wudhuk, kerana marah itu dari api, dan air sifatnya menyejuk dan memadamkan api (Hadis riwayat Abu Daud)

Baiklah, sekarang mari kita fokus kepada persoalan yang telah dikemukakan di atas. Apakah hukumnya bagi mereka yang mempersendakan zakat?
Di sini, perkara paling asas yang perlu difahami ialah, zakat itu merupakan perkara tunjang atau fundamental dalam Islam. Zakat adalah satu daripada lima rukun Islam. Maka, zakat tidak boleh dipersendakan. Jika dipersendakan juga, maka ia tertakluk kepada:

1. Jika mempersendakan zakat dengan niat mempermainkan Islam, sehingga dengannya Islam menjadi agama yang dipandang rendah dan hina, maka hukumnya menjadi murtad.
2. Jika mempersendakan zakat dengan niat bahawa dalam Islam tidak sewajarnya ada peraturan zakat, yakni cuba menghapuskan hukum zakat, tetap juga membawa kepada murtad.
3. Jika mempersendakan zakat bukan dengan niat merendahkan Islam, tetapi kerana kemarahan seperti di atas, maka ia termasuk dalam perbuatan berdosa besar, kerana tetap mempermainkan satu ketetapan Allah SWT dan menghamburkan kalimah yang sangat buruk.

Hal ini bertitik tolak pada pandangan para ulama. Berkata Datuk Dr. Mohd. Saleh Hj Ahmad: “Hukum-hukum al-Quran dihubungkaitkan dengan masalah-masalah akidah.” (Pengantar Syariat Islam, hal. 102)

Maka, barangsiapa yang sengaja melanggarnya, bagaimana? Beliau berkata lagi: “Hukum-hukum ini adalah dari Allah, dan apa sahaja yang datang dari Allah wajib ditaati serta tiada sesiapa pun boleh merubahnya. Sebaliknya sesiapa yang menentang atau melanggarinya, ia akan bertemu dengan seksaan Allah di akhirat kelak.” (Ibid, hal. 104)

Maka, bagaimanakah caranya kita sebagai umat Islam harus bersikap dengan orang yang mempersendakan salah satu rukun Islam ini? Dalam hal ini, kita wajar meneladani apa yang pernah dianjurkan oleh Rasulullah SAW dan sahabatnya, iaitu:

1. Jika mereka mempersenda dan mengingkari zakat, maka jatuh akidahnya dan mereka wajib kembali kepada Islam, bersyahadah dan bertaubat atas kelalaiannya. Jika mereka enggan, maka pihak berkuasa agama wajib mengambil tindakan susulan ke atas mereka.
2. Jika mereka masih belum tergelincir akidahnya, mereka tetap dikira sudah melakukan dosa besar. Maka pihak pemerintah wajib mengenakan hukuman yang setimpal di bawah peruntukan takzir. Ia bertujuan mendidik mereka dan seluruh umat Islam agar tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama di masa hadapan.

Di Malaysia sendiri, kita mempunyai Akta Komunikasi dan Multi Media 1998 yang turut berperanan memantau dan mengenakan tindakan yang sesuai kepada pengguna media sosial yang menyahi undang-undang.

Manakala di peringkat negeri pula, terdapat enakmen yang sesuai untuk digunapakai bagi memperbetulkan keadaan dan memastikan mereka yang bersalah dikenakan tindakan. Misalnya di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor tahun 1995 telah memperuntukan:
“Mana-mana orang yang dengan perkataan yang dapat didengar atau dibaca atau dengan lukisan, tanda atau bentuk lain gambaran yang tampak atau yang dapat dilihat atau dengan apa-apa cara lain:

(a) Menghina agama Islam atau menyebabkan agama Islam dipandang hina;
(b) Mempersendakan, mengajuk-ngajuk atau mencemuh amalan atau upacara yang berhubung dengan agama Islam; atau
(c) Mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina mana-mana undang-undang yang sedang berkuatkuasa di Negeri ini yang berhubungan dengan agama Islam, adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya.”

Kesimpulannya, adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak menggunakan ikon atau nama-nama yang bersifat menghina kepada suatu institusi yang selama ini telah terbukti berkesan membangunkan ummah. Jika benar ada kekurangan di pihak pengurusan zakat sekali pun, hendaklah ditampung dengan memberikan teguran yang membina.

Adalah dicadangkan kepada mereka yang tidak berpuas hati dengan pengurusan zakat agar menyalurkan rasa tidak puas hati itu, sama ada langsung kepada pihak pengurusan zakat negeri (aduan pelanggan) atau boleh menyalurkannya kepada Biro Pengaduan Awam untuk tindakan segera yang lebih konstruktif. Ia lebih memberikan kebaikan, sesuai dengan ajaran Islam. Wallahua’lam.

*Penulis adalah Eksekutif Dakwah di Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.