BICARA ZAKAT: MENUKAR HARTA ZAKAT

ZIS

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid (hamizul@e-zakat.com.my)

Soalan: Saya ingin mendapatkan kepastian mengenai beberapa perkara. Pertama, bolehkah seorang pembayar zakat menjual harta zakatnya, dan kemudiannya membayarkan zakat dengan harga yang dia perolehi. Misalnya, dia wajib mengeluarkan zakat kambing (ternakan), lalu dijualnya kambing itu dan wang bayaran yang diperolehi terus dikeluarkan zakat. Kedua, seorang pembayar zakat yang sudah sampai haulnya, lalu dia menjual harta zakatnya (katakan kambing) dengan hasrat mengelakkan zakat ternakan, apakah hukumnya?

Jawapan: Terima kasih kerana mengajukan persoalan. Insya-Allah, saya akan cuba memberikan jawapannya. Semoga Allah SWT membantu saya memberikan jawapan yang terbaik, amin.

Sememangnya berdasarkan hukum asal, seseorang muzakki (pembayar zakat) itu wajib mengeluarkan zakat sesuai dengan hartanya. Jika kambing, maka zakatnya adalah kambing. Hal inilah yang dilakukan pada zaman Nabi Muhammad SAW dan inilah pandangan yang dikemukakan oleh sebahagian fuqaha, misalnya oleh Imam Syafie, Imam Malik dan Dawud (Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 163).

Namun begitu, sesuai dengan perubahan zaman yang kian maju dan moden, maka hal ini pastilah perlu dinilai kembali agar ia sesuai dengan keperluan umat Islam mengikut zaman di mana mereka berada. Inilah keanjalan hukum fiqh yang mesti dimanfaatkan oleh umat Islam. Ibn Taimiyah menyatakan: “Kita dibolehkan membayar zakat dengan wang yang sama nilainya dengan nilai zakat, kerana adanya keperluan dan kemaslahatannya.” (Ibid, hal. 164)

Sebenarnya isu yang dibangkitkan ini bukanlah perkara baharu. Ia pernah berlaku pada zaman sahabat dahulu. Setakat pembacaan penulis, di antara orang yang mula-mula sekali memberikan keizinan agar harta zakat ditukarkan kepada harganya ialah Saiyidina Uthman bin ‘Affan r.a. Malah, Saiyidina Muadz bin Jabal r.a sewaktu menjadi gabenor di Yaman atas lantikan Rasulullah SAW, turut menerima pemberian zakat dalam bentuk barangan lain dan bukannya atas harta zakat itu sendiri. Malah, semasa Saiyidina Umar bin Abdul Aziz r.a menjadi khalifah, baginda memutuskan yang kutipan zakat fitrah boleh dilakukan dengan harga atau wang.

Dalam konteks mutakhir ini, al-‘allamah Syeikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebenarnya telah menyentuh isu ini dengan panjang lebar di dalam kitabnya, Hukum Zakat. Secara asasnya beliau menyatakan, ada dua isu penting yang mendasari hukum mengeluarkan zakat dengan harganya. Sebahagian fuqaha, khususnya dari jalur Syafie dan Ahmad bin Hanbal berpandangan, tidak boleh menukarkan harta zakat kepada harganya. Ini kerana, mereka berpandangan zakat adalah ibadah pengabdian yang wajib mengikuti nas-nas asal yang telah dikeluarkan oleh Rasulullah SAW. (Hukum Zakat, hal. 789)

Walau bagaimanapun, para fuqaha khususnya dari jalur Hanafi memberikan pemahaman yang berbeza kerana mereka melihat ibadah zakat bukan sekadar pengabdian, tetapi ia adalah ibadah maliyyah yang mementingkan falsafah di sebaliknya, iaitu untuk memenuhi keperluan ummah. Atas dasar itulah, pandangan pada sisi Hanafi maka mereka mengizinkan zakat dilunasi dengan harganya. (Ibid, hal. 790)

Maka, dalam perbincangan fiqh zakat ada beberapa pandangan yang telah dikeluarkan. Pertama, sebahagian fuqaha melarang keras (haram) jika seseorang itu sengaja menukarkan harta zakatnya kepada harga. Kedua, sebahagian fuqaha menyatakan makruh melakukannya dan ketiga, menyatakan ia adalah harus apatah lagi jika adanya keperluan-keperluan tertentu (ibid, hal. 788).

Berbalik kepada persoalan yang saudara tanyakan di atas. Apakah hukumnya jika seseorang itu sengaja menjual kambing-kambingnya, yang sudah ada kewajipan zakat di dalamnya dengan niat mahu mengeluarkannya (menggantikannya) dengan wang?

Contoh kes: Ali memelihara 40 ekor kambing dan setelah setahun, dia dikenakan zakat seekor kambing. Ali pun menjual seekor kambingnya dan mendapat RM1,000, maka dia pun menyerahkan wang RM1,000 dari hasil jualan kambingnya itu sebagai zakat kepada pihak amil.

Maka, dalam kes ini sebenarnya perbuatan Ali itu hukumnya adalah harus, yakni tidak berdosa di sisi syariat dan sah zakat kambingnya. Hal ini kerana, berdasarkan keperluan semasa maka itulah perkara yang paling wajar dilakukan oleh Ali. Ia memudahkan zakat ditunaikan, diagihkan kepada mustahiq (asnaf) zakat, dan boleh diselaraskan dengan keperluan mustahiq. Dalam dunia hari ini, pastilah lebih mudah bagi mustahiq menerima wang berbanding seekor kambing, apatah lagi jika mereka tinggal di apartemen di tingkat 14.

Berkata lagi Dr. Yusuf al-Qaradhawi: “Ini lebih mudah bagi manusia dan lebih mudah menghitungnya, dan terutama jika dalam hal ini terdapat pejabat (zakat) atau yayasan yang mengurus pengumpulan dan pengagihan, kerana mengambil (zakat) mengikut jenis harta (misalnya kambing) akan menyebabkan bertambahnya kos pengurusan (kos kandang dan makannya sebelum ia diserahkan kepada asnaf) dan memeliharanya daripada rosak.” (ibid, hal. 794)

Timbul pula pertanyaan, bagaimana pula jika Ali tidak mahu mengeluarkan zakatnya dalam bentuk ternakan; sebaliknya mahu memberikannya dalam bentuk yang lain, seperti beras, atau dia mencari wang lain yang senilai dengan zakat kambingnya (katakan seekor kambing bernilai RM1,000) dan dia memberikannya sebagai ganti kambingnya, maka adakah sah zakat ternakannya? Bagaimana pula jika Ali menukarkan zakat seekor kambing dengan tiga ribu ekor ayam kampung, kerana ada asnaf yang mahu menternak ayam kampung? Apakah hukumnya?

Dalam hal ini, hukumnya tetap menerima khilaf seperti mana dalam perbahasan di atas. Sebahagian fuqaha memperbolehkannya, seperti mana direkodkan oleh Thawus, pada zaman Saiyidina Muadz bin Jabal r.a menjadi gabenor di Yaman, beliau telah menerima pemberian zakat dalam bentuk pakaian dan bukannya makanan (bijian). Muadz menerimanya atas alasan, ketika itu penduduk Madinah lebih memerlukan pakaian berbanding makanan. (Ibid, hal. 797). Dr. Wahbah az-Zuhaily turut menyinggung hal ini dan menyatakan keharusan berbuat sedemikian (Fiqh dan Perundangan Islam, Jilid 2, hal. 976).

Kini, mari kita lihat pula kondisi ketiga. Seandainya Ali tiba-tiba mengambil keputusan untuk menjual seluruh 40 ekor kambingnya ketika di pertengahan atau di tiga perempat haul (3/4 haul), maka adakah Ali sudah terlepas daripada mengeluarkan zakat ternakan?

Maka, fuqaha menyatakan jika kambing itu dijual di satu tempoh yang masih jauh dari jarak haul, maka si Ali hakikatnya tidaklah berdosa dan tidaklah wajib atasnya mengeluarkan zakat ternakannya. Ini kerana tidak dipastikan adakah nisab ternakan Ali akan berkekalan hingga ke penghujung tahun, dan ia bukanlah bermaksud melarikan diri daripada zakat (T. M Hasbi as-Shiddieqy, Pedoman Zakat, hal. 204).

Namun, di sisi hukum Ali masih tidak terlepas daripada zakat, kerana ternakan yang telah dijualnya itu telah pun mendatangkan harta lain kepadanya, iaitu harta pendapatan. Oleh itu, Ali masih wajib mengeluarkan zakat pendapatan (2.5 peratus) ke atas kambing-kambing yang telah dijualnya itu.

Kes keempat pula, katakan Ali mempunyai 40 ekor kambing dan sudah dekat dengan haul zakat, dan dia telah sengaja menjual salah seekor kambingnya sehingga jadilah kambingnya 39 ekor. Maka di sini, hakikatnya telah berkuranganlah nisab kambing bagi si Ali, iaitu 39 ekor. Adakah dia akan terlepas daripada kewajipan zakat?

Dalam hal ini, fuqaha menyatakan hendaklah dilihat bilakah si Ali menjual kambingnya dan apakah tujuan dia menjual kambingnya. Jika si Ali menjualnya di penghujung tahun (hampir mencapai haul) tanpa didasari alasan yang munasabah di sisi syarak, maka perbuatan si Ali adalah salah, dan dia dinisbahkan berdosa besar.

Ibn Qudamah ada menyatakan: “Jika dimaksudkan dengan menjual atau menukar (harta zakat) dengan maksud mahu melepaskan diri daripada zakat pada ketika telah cukup setahun, maka penjualan atau penukarannya itu tidak menggugurkan zakat.” (ibid, 37).

Maka di sisi fuqaha ada dua pandangan di sini, pertama pihak pemerintah Islam masih wajib mengambil zakat atas hartanya, kerana hakikatnya dia masih wajib zakat cuma dia mencari helah melarikan dirinya daripada zakat. Inilah pandangan Imam Malik, Ahmad, al-Auzai, al-Ishaq dan Abu Ubaid (ibid, hal. 204).

Kedua, si Ali sudah terlepas daripada zakat kerana ternyata kambingnya sudah terkurang nisab, namun mereka menyatakan si Ali sudah melakukan dosa besar dan bakal mendapat siksaan Allah SWT (ibid, hal. 204-205), dan pandangan ini dikemukakan oleh Imam Syafie dan Abu Hanifah. Maka, di sisi pemerintahan Islam pula, apabila seseorang itu telah melakukan dosa besar, pihak pemerintah hakikatnya berhak mengenakan tindakan undang-undang kepadanya. Dalam hal ini, si Ali boleh dikenakan hukuman ta’zir, yakni tergantung kepada kebijaksanaan pemerintah Islam.

Misalnya pemerintah Islam boleh di sini, pertamanya mengambil sejumlah harta daripada hartanya sebagai denda (mungkin menyamai jumlah zakatnya), dan kedua mengenakan hukuman susulan seperti dipenjara tiga bulan dengan wajib menghafal surah Yaasin atau kedua-duanya yang sesuai dengan kesalahannya.

Bagaimana pula jika Ali sengaja melambatkan zakatnya, sehingga beberapa kambingnya mati diserang penyakit dan menyebabkan terkurangnya nisab? Di sini saya bersetuju dengan pandangan fuqaha, bahawa masih wajib bagi Ali mengeluarkan zakat ternakannya, kerana dia telah dengan sengaja menangguh-nangguhkan zakat kambingnya hingga binasa, sedangkan kewajipannya sudah pun tiba (Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, hal. 26 dan T. M Hasbi as-Shiddieqy, Pedoman Zakat, hal. 205).

Kesimpulannya, harus menukarkan harta zakat kepada harganya sesuai dengan keperluan semasa, sama ada dari aspek pengurusan dan pengagihannya. Namun haram jika sengaja mencari jalan mengelakkan zakat. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.