Ulasan filem ‘Syurga Yang Tak Dirindukan’

SYTD

Oleh: Hamizul Abdul Hamid (hamizul.ah@gmail.com)

31 Julai 2015, aku menonton filem di Bandung. Itulah kali pertama aku dapat menonton filem di Indonesia, biar pun aku sering ke sana dan sudah lama ingin melakukannya. Jujurnya, di Malaysia pun, aku baru sahaja berani-berani menjejakkan kaki ke pawagam pasca pernikahan.

Itu pun setelah punya anak lima. Filem pertama yang aku tonton bersama keluarga: Geng! Pengembaraan Upin dan Ipin Bermula! (Judulnya sahaja bikin aku senyum sendiri, kerana ia adalah untuk anak-anak pastinya).

Kali ini, aku ingin mengulas mengenai sebuah filem yang masih baharu dirilis di Indonesia, awal Syawal 2015 lalu, iaitu ‘Syurga Yang Tak Dirindukan’ atau aku ringkaskan menjadi SYTD.

Nota: Jarang aku mengulas sesebuah filem. Pokoknya, aku bukan pengulas filem dan aku bukanlah penagih filem baru di bioskop (panggung wayang gambar = pawagam).

Awalnya, aku agak kecewa. Permulaan SYTD agak klise (stereo taip atau berulang-ulang) dengan filem-filem lain di Indonesia. Gerak perlahan aktor, dan kesudahannya mati ditabrak motokar. Sesuatu yang bagi kaki tonton sinetron, sangat klise. Bosan deh!

Tetapi, tunggu. Hanya perlu beberapa detik waktu sahaja, persepsi kolot itu pun terangkat. Jujurnya, plot SYTD bergerak aktif. Kita jadi tidak sempat berfikiran ke belakang, atau paling tidak merasa kantuk di kerusi pawagam. Ia malah menarik kita untuk mengikutinya secara sedar, dan mahu tahu apa lagi yang akan berlaku di episod mendatang.

Paling menarik, filem ini yang bagi aku bergenrekan realisme – naturalisme. Apa itu? Mudahnya, menggambarkan sesuatu yang real secara mudah difahami, tidak berbelit (misalnya dengan penggunaan elemen futuristik yang keterlaluan dan palsu, juga penyaduran watak bukan-bukan sehingga hilang keasliannya); tetapi disorot dengan ditil dan rinci. Pendeknya lagi, penonton (disebut pemirsa di Indonesia), merasa dekat dengan plot (jalan cerita), dengan wataknya, dengan maksud cerita dan dengan segalanya.

Mengangkat tema realisme lewat filem di Indonesia adalah sangat sering dan lumrah dilakukan. Kisah anak kematian ibu. Dipelihara di sebuah panti asuhan anak yatim. Tumbuh dan menjadi dewasa, juga berjaya. Pengalaman silam mendekam di jiwa. Ia membentuk pandangan masa hadapan. Komitmen dan kesungguhan. Cita-cita dan harapan.

Ya, aku lebih suka begini, berbanding tema yang bukan-bukan. Apa lagi bagi filem yang bertemakan hu-ha-hu-ha anak-anak muda tanpa maksud yang jelas, selain suka-suka dan mengarut sahaja. Atau temanya agama, tetapi disorot dari perspektif yang stereo taip dan penuh curiga, khususnya dalam isu kahwin dua!

Apa yang menarik bagi aku, kendatipun SYTD mengangkat tema lumrah bagi kebanyakan filem Indonesia, namun ada sesuatu yang istimewa di dalamnya. Ia mengangkat beberapa tema besar sekaligus. Pertama, isu anak yatim. Kedua, isu wanita terlantar. Ketiga, isu lelaki dayus. Keempat, isu paling besar dan dominan yang mengheret arus SYTD jadi lebih tragis: poligami.

SYTD hakikatnya kritik sosial yang bernas. Aku terkasima apabila penghasil filem ini (tidak pasti sama ada kebijakan penulis skrip, pengarah atau penulis buku asalnya, Asma Nadia), mampu memanfaatkan watak anak cilik bagi mengetuk dan menyedarkan minda juga intuisi orang-orang dewasa mengenai erti berkongsi agar tidak bersikap tamak. Ia sangat menyihir. Jujur, aku menangis kerananya.

Kesemua isu di atas, digabung jalin dengan baik. Ada unsur ‘ingat belakang’ (flash back), elemen trauma, ketakutan dan juga cahaya kehidupan yang menerangkan. Ia baik bagi sebuah filem keluarga, dari anak kecil hingga dewasa mampu menghayatinya.

Namun seperti biasa, sebuah filem pasti tidak enak tanpa bumbu cinta. Apa lagi cinta anak muda, gejolak rasa anak kampus yang sedang naik. Cinta adalah bahan bakar paling ampuh membuakkan emosi sesiapa sahaja. Biar pun orang di usia 41 tahun seperti aku. Aduhai, terasa seperti menjadi kembali muda. Saat baharu berkenalan dengan si dia!

Paling menarik juga, SYTD mengangkat harkat golongan sasterawan dan penulis. Tidak seperti sesetengah naskhah yang lain, jarang memberikan ruang kepada apa yang namanya – profession seorang penulis – untuk dijulang tinggi. Walhal, filem tidak akan berhasil tanpa penulis. Ini mungkin bagi aku, berkat Asma Nadia yang mengarang novel asal filem ini. Malah aku bangga, kerana watak Arini dalam SYTD bagaikan jelmaan watak Asma Nadia yang sebenarnya di luar sana.

Aspek lain yang bagi aku menguatkan lagi filem ini ialah teknik penggambarannya dan suntingannya, juga skor music yang begitu mengalir menghangat dan mendodoikan jiwa lara. Sangat ajaib, jalan raya yang seringnya macet kelihatan lengang, walhal aku tahu ia bukanlah selalu begitu di Indonesia (biar pun filem ini berlatarkan Jawa Tengah, bukannya Jakarta yang macet gila).

Begitu juga, bumi Indonesia yang memang kaya-raya dengan keindahan alam yang sangat natural dimanfaatkan seoptimanya. Begitu juga dengan kekayaan seni bangsanya, dimanfaatkan sebagai suntikan elemen penyegar kepada filem. Terasa begitu indahnya Negara Indonesia, dengan kombinasi sawah padi, gunung, pantai dan laut, juga manusianya dengan pelbagai gaya dan rupa.

Baiklah. SYTD berkisar cinta pandang pertama Pras (yang dahulu memegang watak Fahri dalam Ayat-ayat CInta) dan Arini (pemegang watak Zainab dalam filem Di Bawah Lindungan Ka’bah) di sebuah pusat asuhan anak-anak orang kampung. Arini penggemar sastera yang memanfaatkan bakatnya mencipta dongengan (cerita) buat mendidik anak-anak bangsanya. Ia menjerat cinta Pras saat kali pertama bersua tanpa duga.

Mereka mendirikan rumahtangga. Sangat bahagia, berlalu beberapa tahun, apatah lagi dengan hadirnya sang puteri si Nadia – sangat sempurna. Namun, cinta dan keutuhan rumahtangga mulai tergugat dengan hadirnya orang ketiga, Mei Rose (dulunya pemegang watak Fatma wanita Turki di dalam filem 99 Cahaya Di Langit Eropa).

Pras terpaksa membuat keputusan drastik. Semuanya, kombinasi rasa pertanggungjawaban dan juga kisah silamnya yang kematian ibu di usia dini (mudanya). Konflik bakal tercetus. Sesuatu yang sudah dijangka.

Namun, menariknya juga ialah bagaimana bapa Arini yang selama ini sangat dihormatinya, juga berpoligami dan hanya diketahui Arini rahsianya saat kematian bapanya itu ditangisi dua wanita asing – madu ibunya dan juga saudara tirinya. Senario ini menjadikan api konflik terasa membahang dari mulanya. Ia mendebarkan dada dan menggetarkan jiwa. Tidak terbayang, bagaimana Pras bakal berdepan dengannya?

Kemuncaknya apabila rahsia terbongkar. Bagaimana Arini menghadapinya? Siapkah Mei Rose yang dipaparkan amat rapuh pegangan agamanya menghadapi tsunami rumahtangga sebagai insan ketiga? Bagaimana Pras mampu menangani ulah wanita yang selama ini menjadi danau tenang di hatinya dan sekelip mata menjadi ombak kencang tanpa duga?

Tidak lupa, elemen humor turut menjadikan SYTD naskhah yang tetap segar dan hangat dari awal hingga penamat. Humornya juga punya isi, bukan humor basi tanpa visi. Elemen humor ini pula hanya dijayakan terhad oleh seorang watak sahaja, tidak kelam-kabut tetapi real.

Sekalung tahniah buat Asma Nadia, penulis wanita Indonesia yang bagi aku telah berjaya mengangkat martabat kaum wanita. Filem ini adalah kesinambungan dari usaha dan kesungguhan beliau selama ini menyajikan kisah-kisah nyata masyarakat dengan sentuhan sastera yang halus dan indah. Di dalamnya ada semacam pengharapan, bukan sekadar kritik sosial yang klise dan keras.

Ada suatu harapan yang dituangkan oleh Asma Nadia, khususnya dalam mendepani gejala korupsi yang terus membarah di Indonesia, seperti kata Pras, (kira-kiranya): “Jika kita tidak mampu mengatasinya, maka jangan kita menyumbang ke arahnya.”

Apa yang agak meralatkan, ialah penampilan watak Mei Rose masih berpakaian agak mendedahkan aurat (mungkin pengarah beranggapan ia wajar dengan watak Mei Rose seorang yang baharu mengenal Islam). Selainnya, aku berpuas hati dengan para pelakonnya.

Semoga bakal lahir lebih banyak filem seperti ini di Indonesia, menjadi mata rantai kepada filem-filem seperti Mak Ingin Naik Haji, Ketika Cinta Bertasbih, Laskar Pelangi dan sebagainya lagi. Jika ada lima bintang, maka aku memberikan empat daripadanya buat filem ini. Di Malaysia bagaimana pula ya?

One Reply to “Ulasan filem ‘Syurga Yang Tak Dirindukan’”

meliana 20 February 2017 at 2:16 pm

best citer nie… syabaas buat pengarah!

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.