REZEKI: BERKATNYA YANG DICARI

ZDH22Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Dakwah
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Suatu hari saya berdua menaiki kenderaan menuju ke Kelang, Selangor. Saya berbual-bual dengan seorang sahabat, dia seorang ustaz lulusan dari Universiti Madinah. Sering saya mengasah kemahiran bahasa Arab dengannya. Dia lebih fasih daripada saya. Saat itu kami asyik bersembang dan tanpa sedar, memasuki daerah rezeki. Molek sangat saya titipkan di sini sebahagian daripada isi perbualan berkenaan.

“Hari ini, ramai orang dilanda kesempitan hidup. Kerja ada, pendapatan ada bahkan besar pula, tapi hidup selalu sempit. Sebab itu, jika mahu rezeki berkat, jangan abaikan ibu bapa.” Ujar saya membuka kata.

“Betul, benar sangat-sangat apa yang anta cakapkan itu ustaz. Ibu bapa adalah elemen utama dalam memastikan keberkatan hidup anak-anak, termasuklah aspek pekerjaan dan rezekinya.” Ujar teman saya pula, sambil dia terus fokus memandu kenderaannya.

“Allah SWT menjadi kasih dan sayang kepada kita, apabila kita terlebih dahulu memperolehi kasih dan sayang ibu dan bapa. Nabi Muhammad SAW bukankah pernah berkata, reda Allah itu tergantung kepada reda ibu dan bapa kita.” Balas saya kembali.

“Ustaz, ana ingin kongsikan satu kisah. Ini kisahnya nyata, kisah salah seorang kakak ana.”

Teman saya nampaknya serius, tiada niat bercanda dalam nadanya. Sungguh, dalam keadaan dia fokus memandu itu pun, dia masih bersemangat berkongsi kisah berkenaan. Saya jadi tertarik, lalu menumpukan perhatian.

“Dahulu kakak ana, dia akan bagi pada setiap bulan RM300 kepada emak ana. Kemudian, pada satu hari dia memberitahu kepada emak ana, yang mulai bulan hadapannya dia tidak lagi dapat memberikan elaun bulanan kepada emak ana, sebanyak RM300 itu. Alasannya, kerana kakak ana mahu membeli sebuah rumah baru.”

Menurut teman baik saya itu, keputusan yang telah dibuat oleh kakaknya memang diterima dengan tenang oleh ibunya. Malah, sedikit pun ibunya tidak menegur atau membantah. Maka, mulai bulan bulan yang berikutnya, kakaknya pun menitipkan RM100 sebulan, yakni berlaku kekurangan RM200 sebagaimana yang dijanjikan.

“Anta tahu, menjelang beberapa bulan selepas itu, kaka kana merungut depan ana. Dia kata, kehidupannya sempit. Wang gajinya tidak pernah cukup, walhal dia membayar ansuran rumah pun bukanlah banyak sangat. Tetapi, wangnya selalu tidak cukup.”

Lalu teman saya itu pun mengungkitkan sesuatu kepada kakaknya yang langsung membuat kakaknya berfikir. Ya, ia adalah isu reda ibu bapa dan juga keberkatan di sebaliknya.

“Kakak, selama ini kakak beri kepada emak RM300 sebulan. Sepanjang kakak memberikan wang kepada emak sebanyak itu, pernah tak kakak rasa kesempitan? Tiba-tiba, kakak potong elaun emak, atas alas an kakak mesti menanggung rumah. Pernah atau tidak, kakak fikir bahawa RM200 yang kakak potong itu, besar ertinya bagi emak?”

Kakaknya termenung dan terus tercenung. Mungkin dia baharu terfikir, selama dia memberikan wang RM300, selama itulah agaknya emak dan ayahnya merasa makan ikan bawal, makan ayam, makan nasi dari beras gred A dan sebagainya. Nilai RM200 yang dicatu itu besar nilainya, bagai sepasang orang tua di kampong.

“Saya rasa, itulah punca rezeki kakak jadi sempit, kerana kakak tanpa sedar telah terlebih dahulu menyempitkan rezeki emak dan ayah. Emak mesti tidak pernah berkata apa-apa apabila kakak memotong elaunnya, tetapi percayalah kakak, ia adalah sesuatu yang mungkin telah mengguris hati dan perasaan emak. Itulah yang menjadi punca, rezeki kakak juga hilang keberkatannya.”

Agak panjang lebar teman saya yang berjanggut lebat itu menasihati kakaknya. Akhirnya, kakakknya menyesali perbuataannya dan kembali memberikan hak kepada ibunya sesuai dengan apa yang telah dia berikan sebelum ini. Tanpa sedar, berlalu beberapa waktu, kehidupannya kembali berubah. Setidak-tidaknya, kakaknya sudah tidak merungut lagi tentang sempitnya rezeki.

Para pembaca budiman, inilah kisah nyata mengenai rezeki yang pernah saya nyatakan sebelum ini, harus ada cara menjemputnya. Maka, inilah salah satu cara menjemput rezeki Allah SWT, yakni dengan menjaga hubungan kekeluargaan dengan semua orang khususnya dengan ibu bapa kita. Ingatlah, reda mereka menjadi punca redanya Allah SWT kepada kita.

Ibu bapa yang terpenuhi keperluannya, pasti tidak akan lupa untuk menadah tangan memohon kepada Allah SWT untuk kebaikan anak-anaknya. Doa ibu bapa yang dilakukan dengan penuh keikhlasan, insya-Allah tiada hijanya di sisi Allah SWT, amin.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.