Azam Tahun 2014!

Semoga Allah swt memberkahi azam saya tahun ini, amin.

Salam Tahun Masehi 2014. Ini tahun masehi, usia saya menginjak angka 40. Tapi, jika menurut kalendar Hijri, tambahi lagi satu angka, maka saya sudah 41!

Kata orang puteh, ‘life begins at 40’ dan saya melihat, ya meninjau dan merenung ke dalam diri sendiri, apakah betul hidup saya baru bermula at 40?

Kata al-Allamah as-Syeikh Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, di dalam kitabnya Bidayatul Hidayah, berhati-hatilah apabila usia menakah ke angka 40. Jika sudah 40, tapi iman masih di takuk lama, amal masih di keluk yang sama, berhati-hatilah, mungkin usia yang Allah swt titipkan kepada kita tidak berguna. Sewajarnya, meningkat usia maka meningkatnya amalan.

Saya merenung, adakah amalan saya bertambah atau berkurang atau statik tanpa perubahan? Solat fardu, makin kerap berjemaah atau masih senang bersendirian? Jika tidak dapat berjemaah, adakah di awal waktu atau di pengakhiran? Solat sunnah, makin bertambah atau masih tidak berubah? Terpeliharakah solat qabliyah dan ba’diyah? Solat sunat yang lain, tahajud, dhuha dan witir bagaimana? Semakin meningkat atau sama sahaja?

Puasa saya bagaimana? Jika sebulan Ramadhan, alhamdulillah…namun bagaimana dengan puasa sunnah? Isnin dan Khamis, atau tiga hari-hari putih saban bulan (13, 14 dan 15 bulan Islam) atau paling baik puasa Nabi Daud a.s, sehari berpuasa sehari berbuka, setahun bermakna enam bulan saya berpuasa? Ah…bagaimana? Atau masih sekadar selesa menamatkan puasa Ramadhan dan sekadar berpada dengan puasa enam Syawal? Daifnya puasa saya jika sekadar itu puasa sunat yang saya lakukan, sedangkan usia saya kini sudah masuk angka 40!

Banyak lagi. Sedekah misalnya, adakah makin meningkat? Jika dahulu, mungkin saya sekadar berpuas hati dengan sedekah wajib setahun sekali, apa lagi jika bukan zakat harta namanya…yang kewajipannya menjelma kala haulnya tiba, dan pada hari ini adakah sudah saya sulami saban bulan dengan sedekah sunat sebagai bekalan? Saban bulan saya menerima gaji, juga pendapatan tambahan yang agak besar, sudahkah saya tambahi zakatnya? Atau masih bersangka memadai dengan angka potongan zakat menerusi gaji, yang saya telah lakukan lima tahun dahulu? Saya perlu meninjau diri saya, adakah sudah bertambah semuanya atau masih di tangga lama, sedangkan tangga gaji juga saya kian menaik setiap tahun baru menjelma.

Bagaimana pula dengan titipan bulanan kepada ibu bapa atau orang tua saya? Makin menaik atau makin menurun? Dahulu, mungkin RM200, tapi itu waktu pendapatan pun sekadar RM3 ribu. RM200 itu, tidak sampai pun 10 peratus daripada jumlah pendapatan. Maka, kini dengan usia yang meningkat, saya yakin Allah swt juga akan meningkatkan rezeki saya, lewat anak-anak yang keperluannya juga kian bertambah, maka wajar sangat saya menilai kembali santunan saya kepada ibu bapa. Jika masih tidak bertambah, malulah dengan diri sendiri. Saya tahu, harus ada perubaahan di sini.

Seterusnya dan seterusnya, banyak lagi yang saya perlu hisabi diri saya. Bak pesan Saiyidina Umar al-Khattab, orang yang baik adalah hari ini lebih baik dari semalam. Jika sama, orang itu merugi, jika lebih buruk, orang itu celaka! Allah swt memberikan kita akal, hati dan nafsu, cernakan semuanya untuk mentransformasi diri menjadi lebih baik dan unggul. Bak kata orang Indonesia, menjadi orang yang jempolan (good person), baik untuk diri sendiri, baik untuk famili dan baik untuk semua orang.

Sebaik-baik manusia, adalah mereka yang memberi manfaat kepada orang lain, ini pesan nabi. Sebaik-baik kamu juga, ialah orang yang terbaik kepada ahli, dan ini juga hadis nabi. Diri, keluarga, masyarakat dan Allah swt juga ada haknya masing-masing yang perlu disantuni. Di awal tahun masehi 2014 ini, saya proklamasikan bahawa…inilah azam yang mahu saya penuhi:

1. Menambah hafalan al-Quran tiga surah baharu

2. Mengkhatamkan al-Quran dua kali setahun

3. Menghabiskan bacaan 10 buah buku baru dan 2 buku lama (ulangan)

4. Menyiapkan dan menghasilkan tiga buah buku baru dan siap ada di pasaran

5. Menabung di dalam akaun Tabung Haji mininum RM600 (jika lebih bonus!)

6. Menjimatkan penggunaan elektrik di rumah hingga bil bulanan di bawah angka RM300 (tarif baru kan dah naik!)

Opss…cukup! Saya akan nilai kembali semua azam saya ini pada penghujung tahun 2014 nanti.

Sementara itu, saya juga akan pastikan ibadah harian saya lebih membaik. Mungkin perlu saya sediakan satu senarai semak harian, seperti yang pihak maahad tahfiz bekalkan untuk anak saya kala cuti panjang…antaranya:

1. Solat jemaah

2. Sedekah dan zakat

3. Silaturahim (kunjungan, ziarah sakit atau kematian, e-mail, menelefon atau sms bertanya khabar)

4. Membaca al-Quran dan tafsirnya

5. Menghafal surah baharu (3 ayat sehari jika mampu)

6. Solat-solat sunnah

7. Puasa sunnah

8. Menulis buku / artikel yang berguna

9. Membantu orang lain yang memerlukan

10. Menyampaikan ilmu pengetahuan kepada orang lain

Semua ini azam dan saya sudah ‘proklamasikan’ di sini. Allah menyatakan di dalam al-Quran: “Maka apabila kamu sudah berazam, bertawakallah kepada Allah. Dan Allah amat menyukai orang-orang yang bertawakal.” (Ali Imran: 159)

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.