ZAKAT WANG KUTU & EMAS DIPINJAM ORANG

Permainan kutu mesti disemak zakatnya...biar pun ia salah di sisi undang-undang negara.

Soalan: Ibu saya menyertai Skim Kutu bersama kawan-kawannya, dan dijangka hujung tahun ini bakal mendapat bahagian kutu miliknya yang berjumlah RM12,000.00. Adakah ibu saya wajib mengeluarkan zakat pendapatan atas wang kutunya itu? Ibu saya juga mempunyai banyak barangan kemas daripada emas, tetapi telah dipinjam oleh kakak-kakak saya dan mereka tidak memulangkannya kembali kepada ibu, walaupun sudah lebih 10 tahun meminjamnya. Selama itu juga, ibu saya tidak mengeluarkan zakatnya ke atas emas perhiasan itu atas alasan tidak ada sempurna milik. Adakah betul tindakan ibu saya tersebut? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan: Semoga kondisi saudara dan ibu serta kita semua berada dalam kasih-sayang dan rahmat daripada Allah SWT dan mudah-mudahan mendapat taufik dan hidayah daripada Allah SWT hendaknya, amin. Saya juga berharap semoga jawapan yang bakal saya sajikan ini dibimbing Allah SWT dan mampu menghilangkan rasa kegalauan di hati kita semua, insya-Allah.

Baiklah, di dalam persoalan yang telah diberikan di atas, ada dua perkara yang berbeza sebenarnya yang diajukan. Pertama, soalan mengenai wang kutu dan kedua, soalan mengenai zakat ke atas emas perhiasan yang dipinjamkan kepada orang lain. Bagi soalan yang pertama, untuk menilai adakah kutu itu suatu pendapatan atau tidak, maka kita mestilah melihat kepada definisi pendapatan terlebih dahulu.

Merujuk kepada keputusan mengenai Zakat Pendapatan yang telah dikeluarkan oleh pihak Jawatankuasa Fatwa Selangor pada tahun 2010, pendapatan itu sendiri merujuk kepada semua jenis sumber penghasilan atau pendapatan, dan tidak semata-mata dari sumber gajian. Maknanya, boleh jadi wang itu adalah hasil daripada (1) sumber pekerjaan, (2) bukan dari pekerjaan dan (3) hasil sewaan.

Maka, jika dirujuk kepada takrifan pendapatan di atas, adakah benar bahawa wang kutu itu termasuk dalam kategori zakat pendapatan? Ini kerana ada juga pihak yang menyatakan bahawa wang kutu ini, hakikatnya adalah satu bentuk simpanan, kerana masing-masing menabung dalam satu tabungan yang dinamakan ‘skim kutu.’ Oleh itu, mari pula kita telusuri makna ‘kutu’.

Alhamdulillah, Dr. Zaharuddin Abdul Rahman, pakar kewangan Islam di dalam laman sesawangnya ada memetik tafsiran kutu sebagaimana yang dijelaskan di dalam Akta 28 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971, iaitu:

“Kumpulan wang kutu” ertinya rancangan atau perkiraan yang dikenali dengan berbagai-bagai nama sepeti kutu, cheetu, chit fund, hwei, tontine atau sebagainya yang menurutnya peserta-pesertanya membayar yuran berkala atau selainnya kepada suatu kumpulan wang bersama dan kumpulan wang bersama itu dijual atau dibayar kepada peserta-peserta dengan jalan lelong, tender, tawaran, undi atau selainnya dan termasuklah apa-apa rancangan atau perkiraan daripada berbagai-bagai jenis seperti kutu, cheetu, chit fund, hwei atau tontine.

Menurut perbahasan Dr. Zaharuddin Abdul Rahman lagi: “Sebenarnya wang diperolehi oleh seseorang itu hanyalah wangnya sendiri yang terkumpul pada masa akan datang, cumanya keistimewaannya apabila tiba gilirannya maka sebagai ahli dia akan dapat menggunakannya secara ‘in advance’ disebabkan sumbangan wang dari semua ahli kumpulan. Pembayaran ‘In advance’ ini dari sudut Islam dilihat sebagai pinjaman tanpa faedah daripada semua ahli kumpulan. Bermakna, setiap bulan semua ahli kumpulan akan menyumbangkan pinjaman yang mana wang pinjamannya itu akan kembali padanya apabila tiba gilirannya.” (Rujuk www.zaharuddin.net)

Maka, saya bersetuju dengan pandangan yang dikemukakan oleh Dr. Zaharuddin, bahawa wang kutu itu hakikatnya adalah suatu bentuk wang pinjaman. Apabila ia berbentuk pinjaman (in advance), maka di sisi keputusan fatwa di Selangor, wang yang diperolehi itu dikira sebagai satu bentuk pendapatan juga. Ini kerana, si pemilik wang kutu itu mempunyai sempurna milik ke atasnya. Oleh itu, wajiblah ia dizakatkan sebagai zakat pendapatan.

Untuk mentaksirkannya, maka campurkanlah wang kutu itu dengan semua pendapatan lain yang telah diperolehi pada tahun semasa, sekiranya sudah melebihi nisab maka buatlah tolakan sebagaimana yang dibenarkan, dan dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 peratus.

Bagaimana halnya jika ibu saudara bermain kutu dan dia memasukkan wang dari lebihan gajinya yang sudah dizakatkan ke dalam kutu berkenaan? Saya berpandangan, dia masih wajib berzakat ke atas wang kutunya bagi jumlah RM11,000; yakni tidak diambil kira jumlah RM1,000 dari dirinya sendiri. Ini kerana, jumlah RM11,000 itu adalah dari poket orang lain yang dipinjamkan kepadanya.

Kedua, isu emas perhiasan yang dipinjam oleh anak-anak perempuan, yang boleh jadi dipinjam sewaktu mereka melangsungkan pernikahan dan telah terlupa atau sengaja tidak dipulangkan kepada ibu saudara sehingga melangkaui haul selama 10 tahun. Apakah statusnya?
Baiklah, di sini suka dijelaskan bahawa emas perhiasan itu hakikatnya adalah milik ibu saudara. Apabila ia dipinjam oleh anak-anak perempuannya, maka persoalan yang wajib ditanya, adakah ketika itu sudah hilang milikan sempurna ibu saudara ke atas semua emas perhiasan itu?

Maka, jawapannya ialah, masih ada milikan sempurna. Ini kerana, emas perhiasan itu masih miliknya dan ibu saudara pada bila-bila masa sahaja, boleh mengambilnya semula daripada anak-anaknya, tanpa terhalang dengan suatu halangan apa-apa pun.

Maka, dalam konteks ini, jelaslah bahawa biar pun ibu saudara tidak memakai, menyimpan atau memegang emas berkenaan, namun hakikatnya ia masih milik sempurna ke atas dirinya dan pada saat itu, dia masih wajib mengeluarkan zakat ke atasnya. Oleh kerana ia dipakai, maka dikenakan zakat emas perhiasan yang dipakai, iaitu dikenakan bagi berat emas perhiasan yang mencapai dan melebihi ‘uruf semasa.

Tidak sekadar itu, ibu saudara juga wajiblah mengqada kesemua 10 tahun lalu yang telah diabaikan zakat ke atasnya, dengan mengambil kira jumlah berat emas yang ditukar kepada nilai RM pada masa itu dan juga uruf emas pada waktu itu.
Hakikatnya, peminjaman emas perhiasan berkenaan kepada anak-anak adalah sama dengan kondisi seseorang yang meminjamkan (atau memberi hutang) kepada orang lain, yang mana pada pandangan fuqaha, kekayaan asalnya masih milik ibu saudara dan ia tidaklah menghilangkan kewajipan zakat atas harta kekayaan berkenaan.

Dr. Abdul Karim Zaidan ada menyatakan seperti berikut mengenai hutang, iaitu menurut terminologi fuqaha: “Hutang ialah, harta kekayaan yang secara hukum berada di bawah kekuasaan seseorang.” Ini bererti, secara perundangan seseorang itu memiliki harta kekayaan, tetapi ia berada di tangan orang lain. (Rujuk Ensaiklopedia Fiqh Wanita, Jilid 1, hal. 93).

Kecualilah ibu saudara bertindak memindahkan hak miliknya ke atas anak-anak perempuannya, maka kewajipan itu pun berpindah pulalah kepada mereka. Wallahua’lam.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau sila layari www.e-zakat.com.my atau http://blog.e-zakat.com.my untuk maklumat lanjut.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.