SEDUTAN BUKU 'SAYA BUDAK LENGGONG'

Saya masih ingat, aruah atok sering mengitar semula bateri-baterinya yang sudah kehilangan kuasa. Atok merasa sayang untuk membuangnya, lalu atok akan jemur di atas atap di bawah terik matahari beberapa kali. Ajaibnya, setelah dijemur memang bateri berkenaan boleh digunakan kembali, walaupun asalnya ia sudah kehilangan kuasa. Tapi atok memang terlalu penjimat, hinggakan setelah habis semua kuasanya pun, atok akan susun bateri-bateri itu di jenang tingkap atau pintu. Mungkin bagi atok, setiap biji bateri yang berwarna merah atau hitam itu adalah symbol duit kami yang amat sukar dicari, lalu atok amat sayang untuk membaling bateri itu masuk ke dalam paya di tepi rumah begitu sahaja.

Maka, sebagai alternative paling praktikal ialah kami membawa pelita minyak tanah atau kami panggil pelita ayam. Pelita ayam itu pula mendapat namanya, mungkin kerana kami menggunakannya untuk dipasang di reban ayam. Ada yang berkaki tinggi da nada yang tidak berkaki. Untuk membawanya agar tidak padam, kami bubuh di dalam tin biskut agar terhindar daripada tiupan angina yang ganas. Di rumah, khususnya kegunaan di bilik tidur, kami gunakan lampu minyak tanah yang bercemini (berkaca) yang kami panggil lampu cemini, agar lebih selesa dan selamat rumah-rumah kami yang masih beratap rumbia itu daripada ancaman kebakaran.

Ada satu lagi lampu yang selalunya orang tua-tua kami akan pasangkan di ruangan yang lebih besar, sama ada untuk majlis kenduri aruah, di beranda atau di anjung rumah, iaitu lampu geselin (gasoline) yang menggunakan sejenis sumbu yang boleh terbakar. Geselin juga menggunakan minyak tanah dan ia juga bercermin. Ada dua punat di sisinya, satu untuk dibuka dan diisikan minyak tanah dan satu lagi digunakan untuk mengepam udara agar minyak dapat naik ke sumbu dan membolehkan lampu terus menyala dengan terang. Susah juga menjaga dan mengelola geselin, kerana kacanya perlu selalu dibersihkan dari jelaga kehitam-hitaman. Sumbunya juga mudah relai jika tersentuh semasa mengeluarkan cerminnya. Selalu juga atok menukar sumbu geselin kami yang kerap terbakar itu. Kiranya, sumbu itu ibarat mentol lampu elektrik pada hari inilah.

Berbalik kepada mengaji. Apa yang saya ingat, Pak Long Hussin adalah guru mengaji saya yang sangat lembut. Walaupun ada ramai anak-anak yang mengaji dengannya, dia tetap sabar dan amat jarang saya melihat rotan seni di tangannya digunakan. Ia lebih kepada ‘lambang’ ketegasan seorang guru sahaja. Ada tidak pun, hanya sekali beliau memukul kaki saya di rumahnya, itu pun kerana saya melunjurkan kaki di sebelah seorang kawan semasa majlis pengajian sedang berlangsung.

Ada beberapa kisah yang menarik sepanjang musim pengajian berkenaan. Ia tidak lain pastilah kisah anak-anak dara yang sudah masuk usia belasan tahun yang masih mengaji dengan Pak Long Hussin yang disakat oleh anak-anak teruna kami yang nakal itu. Anak-anak lelaki yang sudah pandai menyakat itu, akan bersembunyi di sebalik perdu pohon pisang dalam keadaan kegelapan malam, dan apabila anak-anak perempuan yang tengah naik itu lalu sahaja, apa lagi mereka pun melompat keluar sambil menyergah. Apa lagi, menjerit sakanlah anak-anak gadis kampung kami, diusik anak-anak jantan yang mungkin sudah teringin berbini itu.

zp8497586rq