BERANI DEMI MASA DEPAN

Suzieana tekad menceburi bidang perniagaan ini dengan bantuan LZS.

Oleh: Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Dia murah memberikan senyuman dan dalam kesibukan melayan pelbagai karenah pelanggan, dia masih sempat menguntukkan waktu berbual santai bersama penulis, demi berkongsi kisah suka duka kehidupannya. Dia adalah Norsuziana bt Abdullah, 40 atau lebih mesra disapa Zie, yang pada kali ini tampil menghiasi ruangan Jejak Asnaf ini.

“Dahulu, saya bermula dengan hanya menjual kain dan baju dari rumah ke rumah sahaja. Kemudian, saya mendapat peluang melebarkan perniagaan di pasar malam dan pasar tani. Hingga akhirnya saya berjaya mendapatkan ruangan di gedung ini, maka semuanya ada cerita pahit dan manis yang pernah saya tempuhi.”

Norsuziana mula disantuni oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) sejak tahun 2011. Sebelum itu, kehidupannya sekeluarga berjalan amat sederhana, lantaran pendapatan suaminya Mat Sari bin Hasanudin, 47 sebagai pemandu lori tidaklah seberapa. Apatah lagi perbelanjaan mengurus sebuah keluarga di kota besar dengan tanggungan tujuh orang anak, bukanlah perkara kecil.

“Ujian demi ujian mendatangi kami. Suami saya pernah ditimpa kemalangan jalan raya pada tahun 2003, sehingga memaksa dia berhenti kerja. Bayangkan, kala itu juga saya baharu sahaja melahirkan anak ke lima, masih dalam tempoh berpantang 12 hari yang pertama. Musibah ke atas suami, bermakna kami tiada pendapatan sama sekali.”

Musibah lain yang pernah menimpa suaminya lagi, pernah pada waktu yang lain, kilang membuat tangki air tempat suaminya mencari rezeki telah ditutup di Selangor dan berpindah ke Kedah. Oleh kerana suaminya tidak mahu berpindah ke sana, dia tiada pilihan lain kecuali harus berhenti kerja.

Keadaan yang terus menekan menjadikan Suziana berani menyahut cabaran. Dalam serba keterbatasan itulah, dia memulakan langkah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan berdekatan rumahnya.

“Saya mula membuka gerai, menjual makanan ringan, burger, kuih-muih, makanan gorengan, jajan dan air tebu. Semua itu berjalan dari tempoh 2003 hingga 2005, semasa kami tinggal di Meru.”

Kemudiannya, pada tahun 2005 mereka berpindah ke Kota Damansara dan suaminya mengambil kesempatan, cuba berniaga di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

“Saya memang berhasrat sangat membantu perniagaan suami, tetapi saya mesti menjaga anak yang keenam yang baharu lahir. Kemudian, apabila anak saya sudah besar sedikit, saya gagahkan diri membuat jualan makanan ringan dan minuman di kaki lima pangsapuri kami di Kota Damansara. Dapatlah juga menampung sedikit keperluan walaupun tidak seberapa.”

Mengenang kembali saat-saat kegetiran yang berlangsung lebih dari lima tahun pasca kemalangan jalan raya yang menimpa suaminya, ia amat menjerakan sekali. Rumah mereka pernah dipotong bekalan elektrik dan bekalan air paip juga pernah dihentikan pembekal. Semuanya gara-gara mereka tidak punya wang bagi melunaskan bayaran.

Muncul tahun 2006, sekali lagi mereka berpindah dan kali ini ke Subang. Kali ini juga, suaminya berkesempatan bekerja di sebuah syarikat dan berkat dengan pertolongan seseorang, mereka berjaya membeli satu unit rumah kos rendah yang mahu dijual oleh syarikat suaminya dengan harga lelong, RM 50 ribu.

“Mujurlah saya pernah bekerja makan gaji satu waktu dahulu, maka saya keluarkan wang dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dicampurkan dengan wang KWSP milik suami, dapat jugalah kami jadikan sebagai bayaran muka untuk rumah berkenaan. Alhamdulillah, mulai dari tahun itu hingga kini kami sudah pun menetap di Shah Alam.”

Kesungguhan Suzieana disokong oleh LZS demi melihat lebih ramai asnaf bebas daripada kemiskinan.

Dalam keadaan suaminya gembira bekerja sebagai pemandu lori di Subang itulah, tiba-tiba syarikat yang menggajikannya mahu berpindah pula Ke Rawang. Hasil perbincangan, Norsuziana enggan berpindah lagi kerana sudah letih sekian lama berpindah-randah. Akhirnya, suami Norsuziana rela melepaskan jawatan. Malangnya, syarikat tempat dia bekerja langsung tidak memberikan apa-apa saguhati sebagai imbalan.

Menyedari kehidupan perlu diteruskan, akhirnya mereka nekad menjalankan perniagaan selagi ada kemampuan. Lalu Norsuziana tidak bisa melupakan, dengan bungkusan yang besar di atas motorsikal, dia dan suaminya ke hulu ke hilir menjual pakaian dari rumah ke rumah. Rasa malu dan segan, mereka campakkan ke tepian.

“Keadaan saya dan suami masa itu, bagaikan sudah seperti orang Pakistan yang menjual pakaian. Jika orang minta hutang, kami beri. Sama macam Benggali atau Pakistan yang jual kain dan permaidani. Syukur, dapat jugalah dalam lingkungan RM800 sebulan.”

Menjelang tahun 2011, seorang wakil rakyat telah mengetahui kesukaran dirinya sekeluarga, lalu mereka diminta mengunjungi pejabat wakil rakyat berkenaan untuk mendapatkan borang bantuan zakat.

“Syukur kepada Allah, sejak tahun itulah kami mulai merasa nikmat hidup setelah dibantu zakat. Kami diberikan bantuan persekolahan anak-anak, malah kala menjelang Ramadan kami diberikan bantuan persiapan hari raya. Terkini, LZS beri kepercayaan apabila meluluskan bantuan modal sebanyak RM 17 ribu, agar saya mampu menjalankan perniagaan jualan pakaian ini dengan lebih sempurna. Terima kasih LZS dan semua pembayar zakat, insya-Allah Tuhan pasti akan membalasnya.”

Nota: Untuk mendapatkan baju baru sempena lebaran ini dengan harga borong, para pembaca boleh mengunjungi kedai pakaian Norsuziana di Zie Sporting, GM Klang, A – 2 – 106, Ting. 2, Blok A, Pusat Pemborong GM Klang, tel: 019-692 1631.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.