Panggung wayang pada persepsi kita

‘Ketika Cinta Bertasbih…kini menyerang panggung wayang di Indonesia’

Jika dikatakan orang yang tidak tengok wayang itu baik…maka, mungkin saya ini boleh dikategorikan budak baik. Sebabnya, sejak kecil hingga dewasa saya tidak pernah masuk panggung wayang…Cuma baru-baru ini sahajalah saya tengok wayang, itu pun bukan seorang, saya bawa semua ahli keluarga menonton sama.

Wayang ni baik ke tidak? Hmm…mana ada dalil mengatakan wayang itu haram.  Dalam kitab al-Halal wal-Haram susunan Syeikh Yusuf Qardhawi, beliau ada menyatakan bahawa, setiap sesuatu itu asal hukumnya adalah HARUS. Ia hanya berubah menjadi wajib, haram, makruh dan sunat – apabila didatangkan sesuatu dalil daripada Allah dan rasul. Maka, menyentuh hukum menonton wayang, apakah hukumnya?

Di samping itu, fenomena menonton wayang di panggung wayang  sudah ketinggalan. Ini kerana, pada saya, panggung wayang bukan lagi wajar difahami sebagai entiti yang konservatif…mahu menonton maka harus ke panggung. Opps…maaf, wayang sudah ada di mana-mana hari ini. Ia termasuklah di rumah, di pejabat, di kedai kopi, di restoran, di dalam bas, kapal terbang, kereta hatta di dalam masjid!

Waduh-waduh…apakah maksudnya? Maksud saya, jika kita cuba memahami maksud wayang dalam erti kata sebuah layar yang memaparkan gambar bergerak yang bisa berbicara dan mengeluarkan suara, maka panggung wayang hanyalah salah satu daripada tempatnya. Benda yang dikatakan ‘wayang’ itu hakikatnya sudah ada di mana-mana. Bukankah hari ini di lobi hotel, lobi hospital, lobi stesen keretapi dan di kedai mamak juga terpampang ‘wayang’ juga?

Sebenarnya, wayang bukanlah sesuatu yang salah. Itulah pandangan saya apabila makin lama saya menghalusi perkara ini. Samalah seperti muzik, tiada yang salah pada muzik. Yang menjadikan wayang salah dan muzik salah ialah manusia. Kedua-duanya, wayang dan muzik adalah dua cabang daripada kesenian. Kesenian jika dirujuk kepada Islam, adalah manifestasi keindahan ciptaan Tuhan. Natijah akhir kepada keindahan ini ialah, manusia sedar bahawa Allah SWt-lah yang menjadikannya. Maka, itulah kebenaran hakiki yang wajib dicari, di sebalik keindahan yang diterjemahkan lewat pelbagai cabang kesenian itu.

Oppsss…apa hal saya rajin menulis isu wayang dan kesenian ini pula? Entahlah…mungkin kerana semalam, semasa saya sedang ralit mengemas buku-buku lama di rumah (al-maklumlah…rak buku baharu ‘kan baru siap…he…he…); saya terjumpa dua buah ‘assignment’ mengenai kesenian yang saya siapkan semasa belajar di UKM dahulu. Semasa itu, Dr Syafiee Abu Bakar adalah pensyarah saya. Saya buka dan baca, saya menulis mengenai kesenian dan hubung kaitnya dengan Islam. Maka, itu yang saya teringin menulisnya di sini pula.

Dalam Islam, kita tidak dilarang menghayati keindahan makhluk dan alam yang Allah SWT ciptakan. Sebab itu jugalah, kita tidak dilarang menzahirkannya melalui apa-apa sahaja wadah kesenian. Itulah yang dinamakan sebagai apresiasi seni. Seorang yang menikmati alam maka dilahirkan lukisan yang cantik. Seorang yang menghayati suara merdu, maka mereka akan menyanyi. Seseorang yang menghayati alam juga akan berkasidah dan berpuisi. Orang yang menghayati pergerakan alam mungkin akan menari. Maka, natijahnya apa…iaitu untuk akhirnya mendekatkan diri dengan Ilahi – Tuhan yang empunya segala keindahan.

Sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyatakan: “Allah itu indah dan Allah sukakan keindahan,” (Riwayat Muslim). Maka, bermula daripada hujah inilah, tidak salah bagi manusia menikmati dan menghargai keindahan, sesuai dengan kehendak Allah SWT yang menyintai keindahan.

Walau bagaimanapun, ada sebab tertentu yang menyebabkan seni termasuklah yang berhubung kait dengannya dipandang sinis hari ini. Bukan setakat panggung wayang yang bagi sesetengah orang dianggap ‘rumah iblis’; bahkan TV, radio, taman bunga dan persembahan pentas seperti konsert juga dianggap tempat yang tidak elok dikunjungi. Hinggalah satu waktu dahulu, apabila lagu-lagu nasyid mulai tumbuh dengan subur menghiasi pentas konsert, maka konsert sudah mulai diterima baik. Hinggalah lagu-lagu pop rock nyanyian artis seperti Awie, Amy dan Jay-Jay boleh diterima dengan baik juga apabila mereka bergandingan dengan kumpulan nasyid.

Kita di Malaysia, masih agak perlahan dalam memudarkan warna kelam bagi panggung wayang. Ini kerana, para pembikin filem di Malaysia, sama ada sang sutradara mahu pun penerbitnya, masih gagal menyajikan filem yang membina jiwa penonton selepas menikmatinya. Jika dibandingkan dengan Iran, kita jauh ke belakang. Bahkan Indonesia yang kita anggap mundur itu pun, dari satu aspek lebih terkehadapan dalam bidang perfileman ini dalam maksud membangunkan jiwa penontonnya.

ketika-cinta-bertasbih

‘Poster filem Ketika Cinta Bertasbih di Kompleks Tanah Abang’

Di Indonesia, mereka sudah mula membikin filem-filem pembangun iman lewat Ayat-ayat Cinta (arahan Hanung Bramantyo, tahun 2007) , Laskar Pelangi (sutradara Riri Riza, tahun 2006)  mahu pun Perempuan Berkalong Sorban (juga oleh Hanung Bramantyo, tahun 2008). Menariknya juga, kebanyakan filem ini asalnya adalah sebuah novel. Kang Abik (Habiburrahman el-Shirazy) misalnya, seorang novelis berbakat, tidak sekadar mampu berdakwah menerusi penulisan bahkan juga di panggung wayang. Semasa saya berlepas pulang dari Indonesia 9 Jun dahulu, Indonesia seluruhnya sedang semarak menantikan tayangan perdana Ketika Cinta Bertasbih (arahan sutradara senior Chaerul Umam, tahun 2009), filem kedua terhasil daripada novel Kang Abik. Sayang, saya tidak sempat menontonnya di bioskop sana!

Oleh itu, inilah cabarannya kepada kita semua. Malaysia bukanlah ketandusan penggiat filem. Kita punya ramai tokoh hebat. Sayangnya, minda mereka kosong dengan idea mendidik penonton mengikut landasan yang Islam acukan. Maka, berlakulah niatnya baik, mahu mendidik, tapi caranya jelik. Seperti sebuah filem B****A atau filem R******T atau filem IMPAK M******A, atau filem AKHI****T dan banyak lagi. Ia kononnya filem berwawasan, mahu mendidik penonton; namun kesudahannya berbaur antara mendidik dan terangsang. Mendidik mungkin kerana ada juga elemen pendidikan yang disajikan; tetapi terangsang justeru jalan ceritanya yang memang songsang dan menggiurkan!

Sebab itulah, andai kita melihat ke panggung-panggung wayang di negara kita, mana ada ustaz dan pak haji yang mahu mendekatinya. Ngeri…dan perasaan itu jugalah yang melanda saya saat beratur membeli tiket. Ngeri rasanya, jika ditakdirkan terserempak dengan seseorang yang mengenali saya sebagai ‘ustaz’ di lembaga zakat; tetapi datang menonton wayang. Walhal, saya datang menonton filem apa? Dengan siapa pula? Ini kerana, stigma negatif yang telah diberikan oleh masyarakat kepada panggung wayang; persepsi yang terhasil akibat corak perfileman kita sendiri selama ini.

Soalannya:

Satu: Salahkah saya menonton wayang?

Dua: Sampai bila semua ini akan terus terjadi?

Tiga: Siapa sanggup tampil mengubah semua ini?

Jawapan inilah yang wajib digalas secara bersama oleh kita. Sesungguhnya, al-Quran sendiri adalah sebuah kitab yang penuh dengan cerita. Maka dengan cerita itulah, Allah SWT mendidik kita menjadi hamba-Nya yang takut melanggar larangan-Nya. Dengan cerita itu jugalah, kita dididik Allah untuk menyintai-Nya.

“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka), kisah Musa di dalam al-Kitab (al-Quran) ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang dipilih dan seorang rasul dan nabi,” (Maryam: 51)

“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka) kisah Ismail (yang tersebut) di dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar janjinya, dan dia adalah seorang rasul dan nabi,” (Maryam: 54)

“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka, kisah) Idris (yang tersebut) di dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi,” (Maryam: 56)

Wallahua’lam!

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.