Opah

Opah, adalah insan yang mengajarku erti kehidupan dan tahu berusaha menjadi manusia yang budiman.

Semalam, Atih Mat suami ibu saudara saya menelefon…

“Ju, ada Atih Juriah telefon?”

“Tiada.” Balas saya.

“Opah di kampung sakit, tadi Atih Juriah call, dia nangis…”

Saya terkesiap! Teruk ke sakit opah? Baharu saya sedar, agak lama juga saya tidak berkomunikasi dengan opah.

Lalu saya bergegas menghubungi Acik Nab di kampong, opah tinggal bersama dengannya di rumah pusaka atuk.

“Opah ada dalam bilik, terbaring. Dah dua hari opah tak makan. Angin sudah masuk, opah asyik rasa nak termuntah. Bila muntah, tak ada apa-apa yang keluar, sebab perut opah kosong. Tapi, opah mengadu sakit seluruh badan.”

Demikianlah Acik Nab bercerita serba ringkas. Saya mendengar dengan cermat. Terasa mahu segera melayang pulang. Andai saya punya kapal terbang…

Opah saya sudah uzur, sudah menginjak 84 tahun usianya. Opah memang mengidap penyakit tua dan yang paling ketara, opah memang mudah mengah.

Saya berdoa kepada Allah SWT, semoga dilimpahkan kesihatan yang lebih baik buat opah, kerana saya masih belum puas berbakti kepadanya…kabulkan ya Allah sebuah permohonan ku ini, amin.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.