ZAMRI BANGKIT SELEPAS JATUH

Zamri kini berganding bahu bersama isterinya membina kembali kehidupan mereka sekeluarga berkat bantuan zakat yang diterima.

“Dahulu, kira-kira tahun 2007, selepas berhenti kerja daripada sebuah kilang, saya mendapat wang pampasan yang boleh tahan juga banyaknya. Dengan wang itu, saya buka perniagaan sebagai stokis kepada suatu produk jualan langsung. Mula-mula memanglah kencang; kemudian apabila pelanggan mula berubah arah, perniagaan saya pun jatuh.”

Mungkin inilah pengalaman yang pernah dilalui oleh segelintir orang; khususnya bagi mereka yang pernah menceburi dunia perniagaan jualan langsung. Ada yang sanggup berhutang dengan pihak bank demi mencari modal, kemudian jatuh terduduk apabila produk tidak terjual. Insiden inilah yang turut dilalui oleh Zamri bin Kassim, 50 dan pasangannya, Asmah binti Salleh, 45 yang sudi diwawancara untuk ruangan Jejak Asnaf pada kali ini.

“Bukan sedikit yang kami laburkan untuk perniagaan itu, kira-kira RM100 ribu jumlahnya. Sebelum rugi, memanglah kami mampu meraih pendapatan lebih RM2 ribu sebulan. Namun, bila sudah berlaku; maka apa lagi yang hendak dikata. Kira-kira dua tahun jugalah kami mampu bertahan sebelum menemui kegagalan.” Tokok Zamri lagi.

Kemudian, pada tahun 2009 sehingga 2010, demi menampung keperluan keluarga yang kini mulai terumbang ambing dek kegagalan berniaga, menyaksikan Asmah mulai membuat dan menjual nasi lemak di tepi jalan. Kala itu, mereka sekeluarga tinggal di kawasan perumahan Seksyen 24, Shah Alam.

“Bagaimana saya tidak menjual nasi lemak, jika jualan sebagai stokis sudah menurun hanya tinggal RM500 sebulan. Sedangkan, sewa premis sahaja sudah melebihi daripada itu. Saya memang menyesal, kerana semua wang pampasan persaraan sudah dilaburkan ke situ. Maka, mahu atau tidak, saya sanggup mencari jalan bagi menampung pendapatan.” Celah Asmah pula yang sudah pun mulai berhenti daripada alam pekerjaan dan menjaga anak-anak sejak tahun 2003 lagi.

Menurut mereka lagi, berniaga nasi lemak memanglah zahirnya boleh memberikan keuntungan; namun amat kecil marginnya. Dalam situasi seperti itu pun, diam tak diam setahun jugalah lamanya mereka menjual nasi lemak. Kemudian, mereka mulai berjinak-jinak membuka gerai kecil menjual jambu batu dan air dalam balang di tepi jalan.

“Kewangan semasa itu kami kian menyusut, simpanan pun kami keluarkan. Akhirnya, apa yang kami takutkan pun terjadi, apabila rumah dan kenderaan kami akhirnya ditarik oleh pihak bank. Malah, apa yang saya tidak akan dapat lupakan, ialah apabila di hadapan gerai tempat kami berniaga, kereta saya ditarik, tanpa kami dapat berbuat apa-apa.”

Zamri mengimbas kembali kenangan silam yang amat mengguris hatinya yang berlaku pada tahun 2010 itu.

“Sejak itu, saya hanya menggunakan motorsikal sahaja untuk membawa segala kelengkapan dan bahan jualan ke gerai. Jika air atau jambu batu, saya masukkan ke dalam plastik dan saya bawa ke gerai. Memanglah susah; tapi itu sahajalah caranya.” Ujar Zamri lagi.

Kesusahan yang mereka alami akhirnya mendorong Zamri untuk mengunjungi pejabat Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Shah Alam.

“Semua itu berlaku pada tahun 2011. Saya ke pejabat zakat di Bangunan Sultan Idris Shah, berhadapan Masjid Negeri Shah Alam. Semasa itu, malunya saya tidak terkata. Namun, saya gagahkan diri kerana niat saya hanya satu, saya mahu mendapatkan bantuan modal perniagaan. Jika ada, saya memang mahu memperolehinya.”

“Di pejabat zakat berkenaan, pegawai itu memaklumkan kepada saya bahawa untuk mendapatkan bantuan zakat bagi perniagaan, maka saya mesti didaftarkan terlebih dahulu sebagai asnaf. Alhamdulillah, hasil bancian dan siasatan pihak LZS, ternyata saya layak disenaraikan sebagai asnaf dan ia juga membolehkan saya menapat bantuan modal.”

Kemudian, ternyata peluang untuk Zamri dan Asmah menjana potensi diri kian terbentang luas, apabila LZS meluluskan permohonan mereka untuk mendapatkan modal perniagaan.

“Tahun 2012, LZS memberikan kami modal berupa sebiji lori berharga RM38 ribu yang telah dibayar sebahagian harganya oleh LZS. Kami hanya perlu menjelaskan baki bulanan sebanyak RM300 selama tiga tahun sahaja lagi. LZS juga memberikan modal tunai dan peralatan kira-kira RM4,500.00. “

“Bukan sekadar itu, malah keperluan lain untuk persekolahan anak-anak juga LZS bantu. Berkat semua bantuan ini, kami dapat rasai perubahan dalam hidup kami. Malah, dengan berdikit-dikit jugalah, hari ini saya sudah pun mampu memiliki sebuah kereta terpakai.”

“Alhamdulillah, berkat rekomendasi daripada LZS jugalah, maka pihak Majlis Bandaraya Shah Alam telah sudi meluluskan lesen peniaga bagi kami. Kini, di sini kami meniaga saban hari. Datanglah, kami ada menyediakan menu enak seperti mee jawa, mee kari, cakoi, pau goreng, buah jambu dan air buah-buahan. Harganya, jangan bimbang kerana kami jamin, ia berbaloi dengan keenakannya.”

Tenyata, Zamri dan Asmah menjadikan bantuan zakat yang dihulurkan kepada mereka sebagai alat yang mampu melonjak kehidupan mereka untuk menjadi lebih baik. Kini, dengan kelengkapan serba baru, sebuah lori yang lebih sempurna, telah membantu mereka menjana kehidupan dengan lebih berjaya. Malah, mereka sudah berkira-kira bilakah masanya untuk mereka pula menjelaskan zakat perniagaan.

“Kami ingin mendoakan kesejahteraan buat semua pihak, yang sudi membantu orang-orang yang memerlukan dan peniaga kecil seperti kami. Semoga Allah SWT sahajalah yang akan membalasnya, amin.” Jelas Zamri menamatkan perbualan.

Nota: Zamri dan Asmah menjalankan perniagaan setiap hari di Seksyen 7, Shah Alam (berhadapan sebuah pasar raya besar) dan jika mahu memesan makanan, mereka boleh dihubungi di talian 013-332 7358.

Oleh: Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.