PAU GEBU-GEBU HAILMI

Hailmi menjadi bukti, anak muda juga mampu 'menjadi' dalam berniaga.

“Satu malam setelah penat menguli berkilo-kilo tepung, saat menunggu pau masak di dalam periuk kukus, saya terlelap. Hanya sebentar, itu pun dalam keadaan duduk dan menyandar. Sedar-sedar, anak saya menjerit ketakutan. Api sudah marak membakar dapur dan kuih pau saya hangus. Semuanya, berlaku dalam sekelip mata dan saya kerugian lebih RM1,000.”

Demikianlah secebis cerita yang bakal dipaparkan lewat perkongsian Jejak Asnaf bersama Hailmi Ayub, 35 pada kali ini. Anak muda ini mempunyai pengalaman pahit manis bergelar usahawan sebelum akhirnya disapa angin perubahan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Dahulu juga, saya pernah dimarahi kerana meninggalkan kerja makan gaji. Padahal, saya bukanlah dengan sengaja memilih untuk menjadi usahawan sepenuh masa. Cerita sebenarnya, saya terpaksa berhenti kerja setelah dinasihati oleh pihak majikan. Mana ada majikan yang suka, pekerjanya asyik bercuti sepanjang masa.”

Kisahnya, Hailmi pernah mengalami kemalangan jalan raya sekitar tahun 2009. Motorsikalnya ditabrak kereta dan dia menghadapi masalah di bahagian kaki. Pekerjaannya pula memerlukan pergerakan yang agak kasar. Dek kerana tidak betah dengan pekerjaan berkenaan, dia akhirnya memutuskan berhenti sebelum diberhentikan.

“Mujurlah saya mempunyai perniagaan sampingan semenjak masih di alam pekerjaan lagi, iaitu membuat pau. Jadi, apabila berhenti kerja saya sudah ada sesuatu yang dapat saya fokuskan. Maklumlah, usia masih muda, isteri pula suri rumah sepenuh masa dan anak-anak pun kian bertambah. Semuanya tergalas di bahu saya menanggungnya.”

Hailmi mendirikan rumahtangga dengan Hazalina Ismail, 32 dan kini hidup mereka meriah dengan kurniaan lima orang anak.

“Kala itu, saya hanya menggunakan kudrat tangan menguli berkilo-kilo tepung. Tidak seperti sekarang, sudah ada mesin penguli yang LZS beri. Sudah penat menguli, perlu dikukus dan selepas itu, saya hantarkan ke merata tempat mengikut tempahan. Makin banyak tempahan, makin letihlah saya. Itulah yang akhirnya saya terlelap dan ditimpa musibah kebakaran.”

Namun, itulah kata orang, di sebalik ujian ada kesenangan. Dalam kedukaan itulah, Hailmi mencekalkan dirinya mengunjungi pejabat LZS di Banting, untuk mengadu masalah dirinya.

“Bayangkan, keadaan saya selepas berhenti kerja dan ditokok lagi kemalangan kebakaran itu, ia bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Pendapatan saya kian menyusut secara drastik. Buktinya, kereta saya mahu ditarik pihak bank, sewa rumah sudah tidak terjelaskan dan hutang peribadi saya tertunggak menakah berbulan-bulan.”

Demikianlah, kehilangan punca pendapatan sememangnya menjadi suis mencipta pelbagai liabiliti dalam kehidupan.

“Apabila ke LZS di Banting, saya disambut dengan baik dan pihak pegawai zakat di sana memberikan jawapan, LZS akan berusaha untuk memberikan bantuan. Lalu saya dibanci dan akhirnya didapati layak menjadi asnaf. Alhamdulillah, rupa-rupanya itulah permulaan yang baik buat saya sekeluarga.”

Realitinya, LZS melihat kepada kondisi Hailmi dan ternyata, dia bukanlah asnaf yang tidak produktif. Apa yang perlu, adalah membekalkan peralatan yang wajar dan juga sedikit modal pusingan yang tidak begitu besar, dan LZS yakin dia mampu menjana kembali kehidupan secara normal.

“Awalnya, saya memang menerima bantuan persekolahan dan persiapan raya. Namun, LZS juga memberikan saya modal RM2,000 pada tahun 2011 untuk saya memulakan sedikit demi sedikit perusahaan pau di rumah. Kemudian, pada tahun 2012, LZS sekali lagi memberikan saya modal dan kali ini, ia benar-benar menepati keperluan usahawan seperti saya. Saya amat menghargainya.”

Benar, tahun 2012 LZS telah memberikan modal sebesar RM20,000 dalam bentuk barangan, seperti mesin penguli tepung, periuk kukus baharu, peti ais, peti sejuk beku dan sebagainya lagi kepada Hailami. LZS turut memberikan modal pusingan tambahan berjumlah RM5,000 lagi, agar dia dapat menyediakan bahan mentah dengan lebih banyak. Hailmi juga bertuah, kerana pihak Jabatan Pertanian telah membiayai pembinaan bengkel masakannya.

“Subhanallah, jika ditanya, kehidupan saya kini sebenarnya amat jauh berbeza dengan dahulu. Saya sendiri tidak terfikir mampu pergi sejauh ini. Dengan membuat pau, saya kini sudah menjadi seorang usahawan, malah sudah mampu menggajikan seorang pekerja dan sudah boleh berbangga dengan produk sendiri.”

Nyata dan jelas, pau yang dinamakan ‘Pau Gebu-gebu’ milik Hailmi memang enak sekali dimakan, apatah lagi sewaktu masih panas. Malah, kini pau yang bervariasi inti kacang merah, kaya, kelapa, durian, sardin dan kari ayam itu kian mendapat sambutan hangat daripada para peminat.

“Saya amat merasa bersyukur kepada Allah SWT atas semua nikmat ini. Saya juga mahu mengalungkan ucapan terima kasih kepada LZS, kerana telah membantu usahawan kecil seperti saya. Kepada semua pembayar zakat, mudah-mudahan Allah SWT akan memberkahi kehidupan mereka. Bagi semua asnaf pula, manfaatkanlah wang zakat dengan sebaik-baiknya demi kemajuan diri kita.” Tuntas Hailmi menamatkan bicara.

Nota: Hailmi boleh dihubungi di Perusahaan Pau Gebu-gebu, Lot 229, Jalan Berjaya, Kg. Sg. Buaya Tengah, 42700 Banting, Selangor atau di talian 019-2171190.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.