MUSYKIL DENGAN AGIHAN ZAKAT

Yakinilah para amil yang amanah.

Soalan: Saya musykil mengenai agihan zakat. Pertama, bolehkah satu orang penerima menerima lebih daripada satu bantuan bahagian asnaf, misalnya seorang miskin, kemudian dia mendapat pula bantuan pendidikan di bawah asnaf fisabilillah, adakah dibenarkan? Kedua, bolehkah agihan zakat diberikan hanya kepada satu atau dua asnaf sahaja atau mesti lapan asnaf juga? Ketiga, bolehkah zakat diagihkan tanpa sama rata di antara asnaf-asnaf zakat, seperti melebihkan asnaf miskin berbanding asnaf riqab? Mohon pencerahan.

Jawapan: Terima kasih kerana mengajukan persoalan yang kelihatannya tidaklah begitu berat; namun saya percaya ramai juga yang ingin mengetahui jawapannya. Mudah-mudahan Allah SWT membantu saya memperolehi jawapan yang paling tepat.

Baiklah, dalam menentukan kedudukan seseorang asnaf zakat itu, sama ada dia fakir, miskin, muallaf ataupun sebagainya lagi, hakikatnya ia dapat ditentukan dengan melihat sendiri kepada keadaannya ketika dia memohon bantuan zakat. Jika dia miskin, maka dia layak atas kemiskinannya, jika dia seorang muallaf maka dia layak atas sifat muallafnya dan begitulah seterusnya, kelayakan adalah ditentukan dengan kondisi yang ada pada dirinya pada saat tersebut.

Maka, daripada kenyataan ini amat senang bagi kita mengkategorikan bantuan yang perlu diagihkan, yakni jika dia miskin maka berilah bantuan atas asnaf miskin. Cumanya, seperti mana yang telah ditanyakan, jika dia miskin dan dalam masa yang sama, dia seorang muallaf, maka apakah boleh diberikan dua bahagian zakat ke atasnya, iaitu atas asnaf miskin dan asnaf muallaf?

Dalam menjelaskan bab ini, tidak ada di dalam kitab-kitab fiqh (setakat pemerhatian penulis) yang menghalang pihak pengurusan zakat untuk menyalurkan dua jenis bantuan daripada dua bahagian asnaf yang berbeza kepadanya dalam satu masa yang sama. Jika dia memang muallaf, maka dia layak dibantu kerana sifat muallafnya dan jika pada masa sama dia seorang miskin, maka dia juga boleh disantuni atas sifat kemiskinannya.

Ini kerana, tidak kira siapa dirinya, kedudukannya (jika ditakdirkan 2 dalam 1 itu) sebenarnya telahpun dijamin oleh Allah SWT di dalam al-Quran, seperti mana di penghujung ayat al-Quran pada surah at-Taubah ayat 60: “Sebagai satu ketetapan daripada Allah.” Maka, dia masih berhak ke atas agihan zakat, walaupun statusnya 2 dalam 1.

Malah, demi menjelaskan perihal agihan zakat ini, ia sebenarnya tidaklah begitu rigid sebagaimana yang difahami oleh segelinitir orang, malah ia boleh menjadi fleksibel dengan melihat kepada kondisi penerima zakat dan keperluan mereka pada sesuatu masa.

Di dalam kitab Fiqh al-Manhaji as-Syafie Jilid 1 (hal. 466) misalnya, ada disebutkan bahawa pihak pengurusan zakat boleh melakukan penyesuaian dalam pengagihan zakat demi memastikan agihannya lebih berkesan dan turut meraikan keperluan asnaf zakat. Ada tiga keadaan yang berbeza yang menyebabkan agihan zakat boleh berubah, iaitu:

1. Jika semua asnaf zakat itu ada (lapan asnaf), maka wajiblah diserahkan kepada semua tanpa ada sebarang pengecualian.
2. Jika satu golongan atau asnaf itu tidak ada, maka bahagian yang tidak ada itu hendaklah diagihkan kepada asnaf yang lain.
3. Jika bahagian kepada satu asnaf itu sudah berlebih daripada keperluan, maka lebihan itu boleh diagihkan kepada asnaf yang lain.

Maknanya, fuqaha sendiri telah menyerahkan kepada kebijaksanaan para badan pengurus zakat untuk benar-benar prihatin dalam memerhatikan keperluan asnaf, iaitu adakah semua asnaf zakat itu memerlukan pembahagian yang sama rata ataupun tidak, ataupun dalam istilah lain, perlu disama ratakan agihannya apabila dilakukan atau tidak.

Dalam konteks semasa pada hari ini misalnya, sudah pasti pembahagian berasaskan sama rata dalam kalangan semua asnaf itu sudah tidak lagi sesuai dilaksanakan. Ini kerana, tidak semua asnaf itu mempunyai keperluan yang sama bahkan ada yang hampir ‘tiada’ lagi di dunia. Asnaf hamba (riqab) misalnya, tidak lagi menjadi keutamaan di Malaysia berbanding asnaf miskin, yang menjadi prioriti untuk ditangani.

Di dalam kitab Bidayatul Mujtahid (hal. 568) pula misalnya, Ibn Rusyd telah mencerakinkan lagi perbahasan agihan zakat dengan menerapkannya kepada tiga elemen utama, iaitu tentang bilangan orang yang menerima; tentang sifat-sifat orang yang mengharuskan penerimaan zakat dan ketiga, tentang kadar pembahagiannya.

Ringkasnya, para fuqaha khilaf pandangan dalam menjustifikasikan, sama ada boleh mengagihkan zakat hanya kepada satu kelompok asnaf sahaja ataupun mesti dibahagikan kepada semua asnaf. Imam Syafie menyatakan, zakat perlu diserahkan kepada lapan asnaf sebagaimana ketentuan Allah SWT; namun penulis sendiri lebih bersetuju dengan pandangan Imam Malik dan Abu Hanifah, bahawa pihak pengelola zakat wajar melihat kepada keperluan sesuatu asnaf dalam mengagihkan zakat (tidak mesti kepada lapan asnaf).

Dalam perbahasan lanjut, Imam Malik pernah berpendapat bahawa tiada lagi asnaf muallaf; walhal Imam Syafie dan Abu Hanifah pula berpandangan, jika imam atau pemerintah melihat masih adanya keperluan kepada asnaf muallaf, maka ia dilihat masih perlu diagihkan.

Dalam konteks mutakhir ini, dalam menyantuni asnaf riqab (hamba) misalnya, sungguh pun aspek perhambaan secara fizikal sudah tidak ada di negara kita; namun pemerintah melalui kajian badan fatwa telah melihat masih ada perhambaan lain yang perlu dipertimbangkan. Maka keperluan lebih luas di sebalik makna perhambaan secara harfiah (permukaan sahaja) perlu diperhalusi. Akhirnya, perhambaan dalam bentuk minda dan jiwa juga adalah satu bentuk riqab zaman moden dan ia masih perlu dibebaskan dengan dana zakat di bawah jenama riqab ini.

Kesimpulannya, sungguh pun pengagihan zakat memang sudah termaktub secara jelas di sisi syarak; namun keluwesan pihak pemerintah dan pihak berkuasa zakat dalam menilai keperluan sesuatu asnaf zakat dan seterusnya menyantuni mereka sesuai dengan keperluan zaman, adalah lebih menepati kehendak atau maksud sebenar zakat itu disyariatkan oleh Allah SWT. Inilah yang berlaku hari ini di Malaysia, wallahua’lam.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Komunikasi Korporat, Lembaga Zakat Selangor (MAIS) dan sebarang kemusykilan zakat sila emailkan kepada hamizul@e-zakat.com.my atau boleh layari www.e-zakat.com.my; blog.e-zakat.com.my atau www.facebook.com/LembagaZakatSelangor.MAIS untuk maklumat lanjut.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.