MUQADDIMAH & PENGENALAN USRAH

Usrah: Nadi jamaah, harakah dan ummah.

1. Apakah itu usrah?

– Usrah pada bahasa bermakna keluarga, firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara,” (al-Hujurat: 10)

– Usrah pada kehendak sebenar, ialah sebuah kumpulan orang-orang mukmin (yang diikat dengan satu akidah sebagai sebuah keluarga) yang berusaha memahami Islam sebagai suatu cara hidup, dari peringkat individu (fardiyyah), keluarga (bait al-muslim), masyarakat (ummah) sehinggalah ke peringkat sebuah negara (daulah).

– Natijah akhirnya, adalah melahirkan kesatuan pemikiran (fikrah) agar cita-cita Islam dapat dicapai.

2. Sejarah usrah

– Usrah yang pertama telah diadakan oleh Rasulullah SAW di rumah salah seorang sahabatnya yang bernama al-Arqam bin Abi al-Arqam kepada sahabat-sahabatnya yang baharu memeluk Islam.

– Ketika itu,ia tidaklah disebut atau dinamakan sebagai usrah; namun daripada aspek pengisian dan matlamatnya, ia adalah sebuah usrah.

– Usrah dipopularkan namanya oleh gerakan Islam di Mesir yang diasaskan oleh as-Syahid Imam Hassan al-Banna pada tahun 1928 yang menubuhkan Ikhwan al-Muslimun (Persaudaraan Islam) yang dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat demi melihat Islam kembali diamalkan secara sempurna atau syumul. Ini kerana, keadaan umat Islam kala itu sudah terlalu berpecah dengan pelbagai kefahaman.

– Model usrah Ikhwan al-Muslimun ini menjadi contoh dan ikutan gerakan Islam di seluruh dunia dan disesuaikan dengan keperluan di negara berkenaan. Contohnya, di Malaysia usrah di kalangan pelajar di sekolah menengah Kolej Islam Kelang (hari ini Kolej Islam Sultan Alam Shah atau KISAS) adalah untuk menjadikan mereka orang yang komited dengan Islam dan terbukti, KISAS mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dunia dan akhirat.

– Kini, usrah sudah menjadi perkara lumrah di IPT, komuniti, masjid, sekolah, syarikat konglomerat dan sebagainya (kadang kala namanya mungkin disebut sebagai kumpulan dinamik dan sebagainya) namun mempunyai matlamat yang sama, iaitu membina kesatuan untuk mencapai tujuan bersama.

3. Kepentingan usrah

– Usrah di LZS berusaha menjadikan semua individu dapat memahami Islam dalam kehendak sebenar yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW, sehingga mampu membentuk kesatuan dalam pemikiran (wehdah al-fikr) dan kesatuan dalam tindakan (wehdah al-amal). Inilah yang disebut, ‘satu pasukan dan satu wawasan’.

4. Apa itu naqib/ nuqaba?

– Naqib bererti orang yang diamanahkan untuk mengetuai sesebuah kumpulan usrah dan berperanan sebagai pemudah cara, agar anak-anak usrah di dalam kumpulannya mampu memahami Islam dan beramal dengannya.

– Naqib juga adalah individu yang boleh dijadikan contoh tauladan kepada anak-anak usrah dalam kehidupan seharian. Naqib juga dianggap murabbi yakni guru yang sentiasa membimbing anak-anak usrahnya.

– Nuqaba pula ialah kata jamak bagi naqib (ramai naqib) yang selalunya mereka diamanahkan untuk membimbing para anak usrah. Selalunya, ditubuhkan juga Majlis Nuqaba agar kesatuan fikrah dan amal mereka selari dengan kehendak organisasi dan Islam yang hendak dicapai.

5. Rukun usrah

– At-ta’aruf, yang bermakna saling kenal-mengenali atau berkenalan antara anak-anak usrah demi memantapkan ukhuwwah Islamiyah. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari kalangan lelaki dan perempuan dan menjadikan mereka berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya mereka dapat saling berkenal-kenalan (di antara satu sama lain), sesungguhnya mereka yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling tinggi takwanya,” (al-Hujurat: 13)

– At-tafahum, yang bermakna membentuk saling faham-memahami di antara anak-anak usrah, sehingga mereka boleh saling bertolak ansur. Allah SWT berfirman: “Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana,” (at-Taubah: 71)

– At-takaful, yang maknanya keseimbangan atau maksud lebih luas, usrah dapat melahirkan sebuah kumpulan manusia yang saling tolong-menolong dan berkorban demi kebaikan orang lain. Firman Allah SWT: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam perkara kebaikan dan takwa; dan janganlah kamu tolong-menolong dalam perkara dosa dan kejahatan,” (al-Maidah: 2)

6. Kesimpulan

– Usrah merupakan satu mekanisme pembentukan diri, kumpulan dan penyatuan umat Islam yang sangat penting demi mewujudkan kesatuan dalam pemikiran dan tindakan. Kekuatan umat Islam zaman Nabi Muhammad SAW dibentuk terlebih dahulu melalui usrah, iaitu dijana hati mereka dengan kekuatan iman dan takwa.

– Apabila individu muslim sudah kuat akidah dan kefahamannya, maka mereka akan menjadi umat Islam yang cemerlang dan unggul seperti yang digambarkan di dalam al-Quran: “Dan generasi yang terdahulu dan pertama (masuk Islam) dari kalangan kaum muhajirin dan ansar serta orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah telah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah, dan Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yag mengalir sungai-sungai di dalamnya, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agung.” (at-Taubah: 100)

– Dalam konteks LZS, slogan ‘Satu pasukan; satu wawasan’ akan menjadi realiti dan bukan sekadar retorik atau slogan kosong apabila seluruh warganya menjiwai usrah ini.

– Apa yang lebih penting, lahirlah golongan amilin yang mempunyai kekuatan peribadi muslim, berakhlak mulia dan menepati ciri-ciri amil sebenar yang dikehendaki oleh Rasulullah SAW dapat dilahirkan, insya-Allah.

– Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang (berjihad) di jalan Allah dalam keadaan sebuah saff yang tersusun rapi seperti sebuah bangunan,” (as-Shaff: 4)

Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.