KHUTBAH JUMAAT: Qarun Moden Vs Jutawan Akhirat

KHUTBAH JUMAAT: Qarun Moden Vs Jutawan Akhirat

خطبـة جمعـة

الحمد لله القائل، إِنَّ الَّذِينَ آمَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ وَأَقَامُواْ الصَّلاَةَ وَآتَوُاْ الزَّكَاةَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ وَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُونَ. اَشْهَدُ اَنْ لاَ الهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبـَارِكْ عَلىَ سَيِّدَنـَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ الِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ اِلىَ يَوْمِ الدِّيْنِ. اَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ الله اِتَّقُوْ اللهَ فَاِنَّ اللهَ مَعَ الْمُتَّقِيْنَ.

Sidang Jamaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya kehidupan ini adalah sementara. Kematian pasti akan tiba. Lambat atau cepat, kita akan dipanggil Allah SWT. Oleh itu, marilah sama-sama kita meningkatkan darjah ketakwaan kita kepada Allah SWT. Mematuhi segala suruhan-Nya dan meninggalkan Segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita termasuk ke dalam golongan orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Di dalam sebuah hadis sebagaimana yang direkodkan oleh Abu Zar r.a., beliau berkata:

“Aku menghampiri Nabi saw yang sedang duduk di bawah bayang-bayang Ka’abah. Ketika beliau melihatku, nabi pun bersabda: Demi Tuhan Ka’abah! Mereka benar-benar merugi! Kemudian aku duduk, tetapi tidak tenang, maka aku segera bertanya: Wahai Rasulullah, demi ayah dan ibuku sebagai tebusanmu, siapakah mereka?

Rasulullah saw. menjawab: Mereka adalah orang-orang yang paling banyak harta, kecuali yang berkata begini, begini dan begini (beliau memberi isyarat ke depan, ke belakang, ke kanan dan ke kiri). Mereka yang mau berbuat demikian sangat sedikit. Setiap pemilik unta atau sapi atau kambing yang tidak mau membayar zakatnya, pasti nanti pada hari kiamat, haiwan-haiwan itu akan datang dalam keadaan lebih besar dan lebih gemuk dari sebelumnya, menanduki pemiliknya dengan tanduk-tanduknya dan menginjak-injak dengan tapak-tapak kakinya. Setiap kali yang lain telah selesai, datang lagi yang pertama sampai diputuskan di hadapan seluruh manusia.” (Sahih Muslim [Bahasa Arab saja]: 1652)

Oleh itu, khutbah Jumaat pada hari ini akan memfokuskan kepada isu zakat dengan membawa tajuk Qarun Moden VS Jutawan Akhirat. Mudah-mudahan ia memberikan kesedaran kepada kita demi menilai kedudukan kita pada hari ini. Bak kata pepatah, menyesal dahulu pendapatan; menyesal kemudian tiada gunanya.

Tuan-tuan sidang Jumaat yang berbahagia,

Qarun adalah ikon negatif bagi manusia kaya. Dia digambarkan manusia kedekut yang sombong dengan harta. Qarun akhirnya mati ditelan bumi bersama-sama gedung hartanya. Allah SWT memaparkan kisah Qarun di dalam Al-Quran. Maka Qarun kekal sebagai ikon negatif sepanjang zaman sehingga kiamat menjelma. Firman Allah SWT:

إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَى فَبَغَى عَلَيْهِمْ وَآتَيْنَاهُ مِنَ الْكُنُوزِ مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لَا تَفْرَحْ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفَرِحِينَ

“Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum Musa maka ia berlaku aniaya terhadap mereka dan Kami telah menganugerahkan kepadanya perbendaharaan harta yang kuncinya sungguh berat dipikul oleh sejumlah orang yang kuat-kuat. (Ingatlah ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah kamu terlalu bangga sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang terlalu membanggakan diri),” (Al-Qasas: 76)

Allah SWT menceritakan bagaimana Qarun mendabik dada dengan sombong dan berkata:

قَالَ إِنَّمَا أُوتِيتُهُ عَلَى عِلْمٍ عِندِي
“Sesungguhnya aku diberi harta itu karena ilmu yang ada padaku,” (Al-Qasas: 78)

Lalu Allah SWT menegaskan:

أَوَلَمْ يَعْلَمْ أَنَّ اللَّهَ قَدْ أَهْلَكَ مِن قَبْلِهِ مِنَ القُرُونِ مَنْ هُوَ أَشَدُّ مِنْهُ قُوَّةً وَأَكْثَرُ جَمْعاًَ

“Dan apakah ia (Qarun) tidak mengetahui bahwa Allah sesungguhnya telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta?” (Al-Qasas: 78)

Rupa-rupanya, kisah Qarun ini adalah pengajaran sepanjang zaman. Biar masa silih berganti; namun masih ada orang yang bersifat seperti Qarun. Kekayaan dibolot; harta berlimpah tetapi hati tandus kasih-sayang. Derma dan sedekah dipandang hina. Terasa diri berkuasa sepenuhnya ke atas harta. Golongan inilah yang dimurkai Allah lantas diselar sebagai Qarun Moden.

Namun begitu, bukan tiada manusia kaya yang dipuji melangit. Malah Allah SWT membariskan nama mereka sebagai penghuni syurga. Manusia di bumi pula menempatkan mereka sebagai orang yang mulia yang dihormati.

Ramai daripada kita pernah terdengar, kisah kekayaan nabi-nabi Allah seperti Nabi Sulaiman a.s, Nabi Yusuf a.s dan Nabi Ayob a.s. Mereka diberikan kekuasaan di atas muka bumi; namun hati mereka lunak mentaati Allah. Mereka kaya dan berkuasa; tetapi mereka tunduk kepada Allah SWT. Bahkan Nabi Muhammad SAW sendiri bukanlah manusia sebarangan. Isterinya Saiyidatina Khadijah r.ha adalah seorang usahawan dan hartawan. Bahkan keturunan nabi sendiri daripada Bani Hasyim juga adalah golongan bangsawan.

Nabi Muhammad SAW sendiri boleh memilih kekayaan, emas setinggi jabal Uhud pernah ditawarkan Allah. Namun nabi memilih kesederhanaan. Pakaian kesederhanaan itulah pilihan nabi, kerana dengan itu kelak umat nabi tidak menjadikan hujah, nabi kaya maka sebab itulah nabi mudah melaksanakan perintah Allah.

Di kalangan sahabat nabi pula, disebut-sebut di dalam sejarah ramai yang kaya dan ternama. Sekadar membariskan beberapa ikon, misalnya Abu Bakar As-Siddiq, Usman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Anas bin Malik dan ramai lagi. Begitu juga di kalangan ulamak, termasuklah imam mazhab seperti Imam Maliki, Hanafi dan Hambali merupakan manusia yang kaya. Imam Hanafi misalnya, anak seorang saudagar yang kaya-raya. Lalu kekayaan yang diwarisi itu dijadikan modal untuk beliau mencari ilmu dan meningkatkan takwa.

Tuan-tuan sidang Jumaat sekalian,

Umat akhir zaman hari ini terdorong untuk mencari kekayaan dalam kehidupan. Gambaran hidup mewah dengan kereta besar, rumah besar dan pakaian yang bergemerlapan yang sering dipaparkan menerusi media massa, banyak mempengaruhi minda umat Islam. Maka masing-masing berlumba untuk hidup senang dan mewah. Siapakah yang tidak teruja jika rumahnya bagaikan istana. Makanan lazat terhidang di atas meja dan dilayan bak putera raja.

Inilah momokan halus yang terkadang menghanyutkan. Sebab itu kita biasa terjumpa golongan kaya yang lupa daratan. Mereka mendabik dada kononnya kekayaan itu adalah hasil usaha mereka sendiri. Maka diberikanlah pelbagai hujah dan pepatah, misalnya yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek; jika tidak bersusah-susah dahulu masakan boleh bersenang-senang kemudian; ruyung jika tidak dipecahkan masakan sagu dapat dimakan!

Realitinya, Islam tidak membataskan kekayaan umat selagi mana mereka bersifat taat. Apa yang membezakan bagi si kaya yang taat dan si kaya yang ingkar, ialah jolokan yang akan diberikan kepada mereka. Si kaya yang taat pasti membawa berkat, hidupnya di dunia lagi sudah diangkat darjatnya. Manakala bagi si kaya yang ingkar pasti membawa mudarat, dikeji walaupun berpangkat. Maka, tidak keterlaluanlah, si kaya yang taat itulah Jutawan Akhirat sedang si kaya yang ingkar itulah jelmaan Qarun Moden yang dilaknat.

Tuan-tuan sidang Jumaat yang berbahagia,

Atas kesedaran inilah, maka Lembaga Zakat Selangor (LZS) tampil menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh umat Islam. Kita semuanya bernasib baik, kerana diizinkan Allah SWT tinggal di sebuah negeri yang amat bersungguh-sungguh memartabatkan zakat. Bukan sedakar mengutip, bahkan turut mengagihkannya secara adil dan saksama. Sesuai dengan tatacara yang telah diputuskan oleh syarak dan sesuai juga dengan perkembangan zaman.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1994, pelbagai inovasi telah diterokai oleh LZS. Ia semuanya bermatlamat untuk menjadi institusi zakat yang terbaik dalam menguruskan zakat. Bukan sekadar di negara ini bahkan di dunia amnya.

Bertitik tolak dengan slogan ‘Peneraju Keseimbangan Sosioekonomi Ummah’, maka LZS berusaha menjadi nadi ummah. Ia bersifat serampang dua mata, pertama menjadikan si kaya mendapat keberkatan daripada hartanya dan kedua, menjadikan si miskin atau yang memerlukan mendapat pembelaan sewajarnya.

Demi hasrat murni itu, LZS kini mempunyai 22 buah kaunter di seluruh negeri Selangor. Kakitangannya juga melebihi 200 orang yang sentiasa berkhidmat demi kesejahteraan umat. Bahkan LZS kini diamanahkan untuk menguruskan dana melebihi RM200 juta. Ia bukanlah satu tugas yang mudah, melainkan satu kepercayaan yang perlu ditangani sebaik-baiknya.

Tuan-tuan yang dirahmati Allah SWT,

Mungkin perlu ditekankan di sini, di samping membayar zakat secara manual di kaunter, LZS turut menyediakan pelbagai kaedah lagi. Misalnya, bagi mereka yang makan gaji maka mereka boleh membuat bayaran zakat menerusi Skim Berkat, iaitu pemotongan gaji bulanan. Bagi yang sibuk, maka kaedah phone banking dan internet banking turut disediakan. Terdapat lebih 11 buah bank yang menyediakan pembayaran zakat menerusi internet ini.

Bahkan LZS turut melantik lapan buah bank utama sebagai ejen kutipan zakat termasuklah semua rangkaian pejabat pos di seluruh negeri. Bagi yang suka dengan corak kehidupan moden yang ringkas, mereka boleh menggunakan kad kredit dan kad debit untuk berzakat. Bahkan LZS turut melancarkan khidmat pembayaran zakat menerusi SMS dan FPX Bank Islam juga menerusi mesin-mesin ATM di seluruh negeri.

Alhamdulillah, berkat kesungguhan LZS melancarkan pelbagai produk pembayaran zakat dan tidak jemu-jemu memberikan dakwah kepada umat Islam, setiap tahun kutipan zakat terus meningkat. Seandainya pada tahun 1995 kutipan zakat hanya berjumlah RM19 juta, pada tahun 2007 yang lalu ia telah pun mencecah RM202 juta.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

LZS bukan sekadar berbangga memaparkan angka kutipan sahaja. Ini kerana, LZS hanyalah sebuah institusi yang menjalankan amanah umat Islam. Setiap sen yang dizakatkan, akan dihitung di akhirat kelak. Maka, LZS berusaha sebaik mungkin untuk memastikan wang zakat sampai kepada matlamatnya.

Untuk itu, LZS telah menyediakan lima program teras bagi melicinkan aspek agihan zakat. Lima program tersebut ialah:

1. Program Pembangunan Sosial
2. Program Pembangunan Ekonomi
3. Program Pembangunan Pendidikan
4. Program Pembangunan Institusi Agama
5. Program Pembangunan Insan

Saban tahun, jutaan ringgit telah dibelanjakan menerusi program-program di atas bagi meraikan lapan asnaf zakat. Sebagai pertunjuk, pada tahun 2005 sebanyak RM114 juta telah dibelanjakan, ia meningkat kepada RM146 juta pada tahun 2006 dan meningkat lagi kepada RM174 juta pada tahun 2007.

Tuan-tuan sidang jamaah sekalian,

LZS turut memberikan fokus kepada golongan fakir dan miskin sebagai kumpulan sasar utama pembangunan asnaf. Bahkan LZS telah menubuhkan Jabatan Pembangunan Asnaf yang bertanggung jawab membangunkan potensi asnaf zakat. Maka, berkat kesungguhan itu lahirlah beberapa golongan usahawan yang asalnya merupakan asnaf zakat. Misalnya, kini kita semua boleh berbangga dengan kewujudan perniagaan D’ Asnaf Craft, D’ Asnaf Edar, Dobi Point, D’ Norm Delight Katering, Mobile Entreprenure dan Pasar Rakyat Asnaf yang 100 peratus dimiliki dan diusahakan oleh golongan asnaf.

LZS juga turut menjuarai agenda menyantuni ummah dengan menyediakan pelbagai kemudahan kepada mereka yang memerlukan. Di bawah Jabatan Pembangunan Ummah, pelbagai institusi diwujudkan. Misalnya rumah kebajikan warga emas Darul Salamah, asrama anak-anak asnaf Baitul Hasanah, penempatan berkelompok Desa Kasih, Desa Ehsan dan Desa Iman bagi muallaf, rumah transit Pangsapuri Barakah, rumah asnaf Baitul Barakah, Pusat Latihan Asnaf Zakat (PULAZ), Pusat Dialisis LZS, pusat pemulihan akhlak Baitul Ehsan dan pemulihan akidah Baitul Iman.

Sidang hadirin yang dirahmati Allah,

Mudah-mudahan mimbar Jumaat pada hari ini telah berjaya memberikan gambaran sepintas lalu namun jelas mengenai operasi kutipan dan agihan zakat di negeri Selangor. Ia adalah lambang komitmen LZS di dalam melaksanakan tanggungjawab hakiki menguruskan dana zakat.

Sesungguhnya, LZS hari ini telah menerokai pelbagai kaedah moden bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat. Ia adalah suatu langkah permulaan, agar umat Islam tidak terjebak dengan fitnah harta dan akhirnya terjerumus ke dalam kancah Qarun Moden.

Maka, tinggal hanya kepada diri kita sendirilah sama ada mahu menyambut baik segala inisiatif ini. Bak kata pepatah, dayung sudah di tangan, perahu sudah di haluan. Maka, tebuk dada dan tanyalah iman. Tunaikanlah zakat segera yang mungkin. Moga-moga kita menjadi Jutawan Akhirat, aman hidupnya dan beroleh selamat.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
وَأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ وَآتُواْ الزَّكَاةَ وَمَا تُقَدِّمُواْ لأَنفُسِكُم مِّنْ خَيْرٍ تَجِدُوهُ عِندَ اللّهِ إِنَّ اللّهَ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Dan dirikanlah shalat dan tunaikanlah zakat. Dan kebaikan apa saja yang kamu usahakan bagi dirimu, tentu kamu akan mendapat pahala nya pada sisi Allah. Sesungguhnya Alah Maha Melihat apa-apa yang kamu kerjakan (Al-Baqarah: 110).

بَارَكَ اللهُ لِىْ وَلَكُمْ بِالْقُرْآءنِ الْعَظِيْمِ, وَنفَعَنِىْ وَاِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ, وَتَقَبَّلَ مِنِّى وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ اِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ, أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ ِليْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ فَيَا فَوْزَالْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَياَ نَجَاةَ التَّاءِبِيْنَ.

_________________
Disediakan oleh:
Al-Faqir Ilallah Hamizul Abdul Hamid
Pegawai Dakwah Zakat (Pena)
hamizul@e-zakat.com.my
19 Nov 2008/ 21 Zulhijjah 1429 Hijrah

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.