BERDAKWAH KEPADA NON-MUSLIM

Teringat saya kala belajar dahulu, saya berkenalan dengan seorang gadis Cina beragama Kristian. Namanya jika tidak salah saya Jenny. Kami kebetulan melakukan kajian yang sama di UKM. Dalam sela-sela waktu, kerap juga kami berdiskusi tentang agama dan kepercayaan. Dia nampaknya bangga dengan ajaran Kristian; namun pada masa yang sama mahu belajar juga tentang Islam.

Saya cuba menyodorkan kesedaran mengenai Islam. Antara yang saya jelaskan ialah, aspek perhubungan dalam kehidupan. Dia bertanya pelbagai perkara, saya menjawab seadanya. Namun, bukanlah mudah memberikan jawapan, kerana ada kalanya soalan beliau membuatkan saya perlu mencari lebih masa menyediakan jawapan.

Paling susah, apabila orang-orang seperti Jenny ini suka membandingkan dengan apa yang saya ucapkan dan realiti yang berlaku dalam dunia sebenar. Apakah saya sekadar berfalsafah menceritakan Islam yang indah; kerana realitinya dia melihat Islam dari jendela yang jelas berbeda dan bermasalah.

Antaranya, Jenny mempertikaikan perihal aspek poligami dalam Islam. Tidak perlu saya paparkan jawapan, tetapi apa yang perlu saya nyatakan di sini, biar sebaik mana pernikahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW, ia tetapi menjadi sejarah. Orang-orang seperti Jenny, menilai apa yang di depan mata tersaji, kisah perceraian umat Islam walau hanya seorang isteri. Apatah lagi isu poligami sering disorot di kaca TV dari perspektif…yang minta ampun, seringnya tidak Islami!

Teman-teman, inilah susahnya bila Islam hanya cantik dalam buku, tetapi di luarnya kelabu. Umat Islam boleh berbangga dengan nostalgia lama, kononnya Islam pernah memerintah 2/3 dunia, tapi ke mana sudahnya? Umat Islam juga gah dengan tokoh hebat seperti Salahuddin al-Ayubi yang pernah membebaskan Palestin buat kedua kali; namun apa lagi yang tinggal hari ini? Palestin dijajah Yahudi!

Semua ini, ada dalam buku. Buku syariah, buku akhlak, buku sejarah dan apa sahaja nama bukunya. Jika di sekolah, ia dijadikan silibus. Belajarlah anak-anak kecil kita tentang fikah, misalnya kepentingan taharah atau bersuci. Tidak sah solat tanpa bersuci. Namun, sejauh manakah ia menjadi realiti?

Mari lihat, taharah itu jauh lebih tinggi martabatnya daripada kebersihan. Sepatutnya, umat Islam menjadi umat paling suci dan automatis menjadi paling pembersih dalam kehidupan. Sayangnya, dunia umat Islam selalunya kotor dan bersepah. Tidak usah lihat jauh-jauh, lihat sahaja di sekolah agama anak-anak kita. Perhatikan tempat yang sepatutnya paling kemas, bersih dan suci, iaitu musolla atau surau. Boleh anda berikan markah, berapa yang sesuai untuk musolla sekolah anak-anak kita?

Saya pernah ke sebuah masjid di sebuah pesantren, menggeleng kepala kala saya melihat betapa tidak kemasnya susunan al-Quran di dalamnya. Bayangkan, pengguna masjid itu pasti manusia yang mengerti akan agama, mereka belajar tentang akidah, akhlak dan fikah; sayangnya pengajian itu tiada dalam perbuatan mereka. Buktinya, al-Quran bersepah dan buku-buku sebagai lubuk ilmu tidak dijaga dengan penuh maruah.

Maka, bayangkan pula jika musolla itu cantik, kemas dan rapi. Ia digunakan setiap hari; tetapi tetap kemas dan bersih, kerana semua penggunanya menjaga dan menatanya dengan rapi sekali. Sejadah dilipat kembali tidak dibiarkan berselerak, tisu yang diguna dibuang ke dalam bekasnya agar tidak berteraburan bahkan kasut atau selipar disusun cantik di tangga, tanda kekemasan. Bilik airnya tidak berlumut dan hancing, yang bisa membuatkan kepala menjadi pening.

Bayangkan orang lain yang melihatnya, pasti mudah jatuh hati. Tidak perlu bersusah-payah memberitahu mereka tentang kebersihan, tentang kesucian dan tentang keindahan. Semuanya terpamer dalam kehidupan. Inilah kenyataan yang selari dengan pendidikan.

Hari ini juga, umat Islam berkelahi di mana-mana, di dalam dan di luar negara. Atas apa sebabnya saya tidak kisah; tetapi ramai orang lain juga melihat dan mereka ambil kisah. Apatah lagi yang melihat itu orang yang sedang ‘membandingkan’ agama-agama. Apa yang penting bagi orang ini, khususnya bagi mereka yang non-muslim, kenapa orang Islam suka bergaduh?

Kita boleh sahaja memberikan alasan, orang beragama lain pun suka bergaduh juga. Buktinya, orang Hindu bergaduh, orang Kristian pun bergaduh. Tetapi, jika kita menggunakan alasan itu, apakah bezanya penganut Hindu, Budha, Kristian dan Islam? Lagi susah nak jawab!

Sebab itulah, hari ini menerangkan Islam menjadi makin sukar. Benar, kita boleh berbangga dengan jumlah masjid yang banyak; tetapi kebanggaan itu hanyalah aspek luaran sahaja. Masjid banyak, besar dan indah; tetapi kosong dan hambar pengisiannya. Masjid jadi lesu, meriah hanya kerana menyambut sembelihan korban atau kerana adanya majlis berkhatan!

Terlalu banyak yang umat Islam perlu lakukan hari ini. Namun, semuanya mesti bermula dari diri sendiri. Mulakan dari perkara paling kecil dan mudah, jangan yang besar dan susah. Misalnya, jika sering solat lewat waktu, apa kata mulakan dengan diawal waktu. Istiqamah dahulu, sekurang-kurangnya 40 hari 40 malam, dan selepas itu lihat hasilnya yang berlaku.

Selepas daripada itu, insya-Allah…baharu kita boleh berbicara soal yang lebih besar…

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.