Resensi Buku: Gulat di Jakarta

‘Pramoedya Ananta Toer (6 Februari 1925 – 30 April 2006)’

Tajuk buku: Gulat di Jakarta
Pengarang: Pramoedya Ananta Toer (Pram)
Penerbit: Wira Karya
Tahun: 1995
ISBN: 983-99605-3-9
Harga: RM6.00

Ini karya Pramoedya Ananta Toer (6 Februari 1925 – 30 April 2006), seorang karyawan juga sasterawan ulung lagi kontroversi di Indonesia. Jujurnya saya baharu sahaja berkenalan dengan Pram, sSungguh pun novel Keluarga Gerilya memang popular di kalangan penuntut aliran sastera di negara kita. Apa yang saya tahu, Pram selalu menulis mengenai kisah penderitaan – mungkin realiti pengalamannya sendiri yang pernah menanggulangi era buruh paksa Jepang dan periode revolusi di Indonesia – yang langsung dominan melatari watak dan jalan cerita karyanya.

Gulat di Jakarta (GdJ), adalah sebuah novel tipis dengan 82 halaman. Novel ini dihasilkan Pram pada 1953. Jujurnya saya sudah lama membeli novel ini, iaitu semasa berlangsungnya Kongres Nasional Parti KeAdilan Rakyat di Stadium Melawati Shah Alam, tanggal 29 November 2008. Namun, baharu semalam saya menuntasi hingga ke halaman terakhirnya.

GdJ memaparkan kisah perjuangan demi kehidupan. Sulaiman, anak muda miskin yang mewarisi kejerihan orang tuanya, hanya dibekalkan dengan ilmu tulis dan baca. Juga pesanan orang tua bahawa hidupnya perlu berubah, demi masa hadapan anak-anak. Pendeknya, hiduplah demi anak-anak. Jangan diulang kesilapan sang ayah, yang gagal menyempurnakan kehidupan diri dan keluarganya. Pesan sang ayah:

“Perbuatlah sebaik-baiknya menurut pertimbangan akalmu, bagaimana engkau dapat menyelamatkan hidupmu, agar tidak mengalami kegagalan seperti aku ini.”

Dengan lelehan air mata, pada takah usia 17 tahun, Sulaiman memulakan perjalanan demi kehidupan. Pergulatan pun berlaku. Dia tegar demi sebuah masa hadapan yang lebih baik. Ke sebuah desa pedalaman dia terdampar. Nasibnya baik, dia rajin usaha. Akhirnya dia bisa memiliki beberapa hektar sawah. Juga mampu menikah dan dikurniakan anak-anak. Namun, semangatnya tidak pernah pudar untuk jadi lebih baik. Hinggalah kecelakaan menimpa. Kampung mereka ditabrak sang pengganas. Dua anaknya mati, dada mereka ditembusi peluru. Lalu, dengan Mina sang isteri yang setia dan Mira, anak kecil yang tidak mengerti apa-apa, mereka memulakan perjalanan baru ke kota.

Di Kota Jakarta, Sulaiman memulakan sebuah cerita baharu. Berkat kerajinannya, dia akhirnya mampu membina kembali sebuah kehidupan yang semakin membaik. Namun, galangan tetap muncul di mana-mana. Ibarat rumput berkemuncup yang sering mengganggu perjalanan, begitulah kehidupan marhaen Sulaiman.

Novel ini biar tipis, namun memberikan kita erti menanggulangi sebuah kehidupan. Bahawa, untuk hidup perlu ada impian. Untuk berjaya, perlu ada kerajinan. Untuk lebih maju, perlu ada cabaran.

GdJ juga memaparkan erti persahabatan sebenar. Bahawa manusia, apabila hatinya sudah terbalut dengan kasih-sayang, maka nyawa dan diri sanggup dijadikan taruhan. Juga nilai kasih seorang isteri yang setia lagi penyabar.

Saya menamatkan bacaan naskhah ini hanya dalam julat masa kira-kira dua jam. Jika anda bertanya, apakah kelebihan Pram? Maka jawapan saya, ialah pada kekuatan ceritanya – watak-watak, konflik dan kesudahan yang dramatik. Semuanya mengajak kita berfikir, bahawa itulah kehidupan – ia tidak semudah menghafal bait lagu Seroja atau mengulang kali-kali 1 hingga 12. Kerana, kehidupan selalunya ada rencah, pahit, manis juga maungnya.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.