‘Dikandung’ lebih 36 bulan

Eksklusif Zakat yang ‘dikandung’ lebih 36 bulan

Sebenarnya dalam menulis buku zakat, buku pertama yang saya sentuh ialah Eksklusif Zakat yang terbit pada Mac 2012 di bawah Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB). Kisahnya, buku ini telah saya mulai penulisannya pada tahun 2008 lagi. Pihak GISB, khususnya Encik Wan Azmin (yang selepas ini saya sebutkan sebagai Abang Wan sahaja), berminat untuk menghasilkan siri buku mengenai fardu ain dalam Islam, termasuklah menenai solat, zakat, puasa dan haji.

“Ustaz, buat buku mengenai zakat boleh? Kiranya sebuah buku yang serba lengkap. Mungkin kita boleh namakannya Serba-serbi Zakat.” Demikianlah suatu hari Abang Wan mengajukan idea kepada saya.

“Lagi satu, GISB akan bawa buku ustaz nanti untuk dinilai oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan jika didapati sesuai, maka ia akan dibiayai oleh DBP di bawah Skim Galakan Buku Malaysia. Maknanya, buku ustaz nanti akan dibeli oleh DBP dalam jumlah yang agak besar.” Abang Wan meneruskan penerangannya dan saya mendengar dengan agak teruja.

“Habis tu, apa yang ana perlu buat?” Saya bertanya segera. Iyalah, peluang sudah dibuka maka rugilah andai dibiarkan berlalu percuma.

“Begini, nanti ustaz buatkan isi kandungan buku berkenaan dan ustaz masukkan beberapa contoh penulisan sebenar untuk bab yang tertentu. Kiranya, ia macam proposal buku. Contoh penulisan itu penting sebab akan dibaca oleh penilai DBP. Jika boleh, ustaz cuba hasilkan buku zakat yang berbeza dengan lain-lain buku zakat di pasaran, baru ada keistimewaan.” Abang Wan tambah bersemangat menjelaskan.

Sepulangnya dari pertemuan singkat dengan pihak GISB, saya pun mulai sibuk memikirkan bentuk proposal buku berkenaan. Tajuk atau gambaran yang Abang Wan berikan, tersemat dalam minda saya. “Serba serbi mengenai zakat dan seakan-akan sebuah ensaiklopedia zakat; tetapi ringan tidak berat.” Demikianlah antara kata kunci yang Abang Wan gambarkan.

Maknanya, buku saya mesti lengkap dan menyeluruh; tetapi tidak boleh berat seperti sebuah karya akademik. Saya pun mulai menulis. Demikianlah saya, selalunya apabila ada idea maka saya akan duduk di hadapan computer dan mulai mengetuk papan kekunci computer. Kemudiannya, ideapun akan dating dan mengalir deras begitu sahaja. Cumanya, untuk lebih memudahkan, maka saya mesti bersedia dengan pelbagai bahan, sama ada buku-buku di sekeliling dan juga suasana yang tidak bising dan panas.

Saya mulai dengan merangka bahagian isi kandungan buku. Untuk menjadikannya lebih menarik, saya membandingkannya dengan beberapa buah buku zakat yang lain. Buku saya buku zakat, tidak mungkin berbeza terlalu jauh, makanya bab-bab asas seperti pengenalan apa itu zakat, pembahagian jenis zakat, harta-harta zakat dan pengiraan zakat adalah wajib. Habis itu, apa yang berbeza?

Maka, saya memikirkan ada dua tiga perkara yang perlu saya tekankan. Antaranya, aspek pensejarahan zakat, yakni bermula tahun bilakah zakat disyariatkan dan proses perkembangan dalam pemerkasaan zakat sehinggalah ke hari ini. Bab ini setakat penelitian saya, amat jarang disinggung oleh penulis-penulis buku zakat sebelum ini dan saya sedar, ia pasti menjadi bab yang sukar.

Namun, antara yang paling mengujakan dalam bab ini ialah, pembaca selalu disebutkan bahawa zaman Saiyidina Umar bin Abdul Aziz itulah yang dianggap zaman kegemilangan zakat, maka apakah scenario sebenarnya yang berlaku saat itu? Apakah fatwa-fatwa zakat yang dikeluarkan? Apakah inovasi pentadbiran zakat yang dilakukan dan sebagainya. Semua ini menjadi rahsia dalam bidang zakat yang perlu saya terokai kemudian nanti.

Keduanya, saya perlu menyentuh secara mendalam mengenai aspek agihan zakat. Sekali lagi, inilah keistimewaan buku saya kerana saya menulis dengan teori dan amali. Saya perlu menuangkan pandangan dan pengalaman yang berpijak di bumi nyata mengenai agihan zakat, misalnya dalam isu agihan, kenapakah masih wujud budaya mengagih sendiri, kenapa masih ramai orang miskin, kesalah fahaman dalam mendefinisikan asnaf zakat dan pelbagai isu-isu agihan zakat yang terkini. Semua ini perlu saya senaraikan dan saya cuba bahaskan secara nyata, tepat dan bersifat realiti. Bagi saya, inilah keistimewaan kedua buku ini.

Ketiga, isu zakat juga sering menggamit pelbagai persoalan dalam kalangan masyarakat khususnya di Malaysia. Pengalaman saya sebagai amil di LZS, perlu saya garap kembali dalam sebuah buku. Isu-isu seperti ketidak seragaman perundangan zakat di Malaysia, yakni di antara negeri-negeri; isu penswastaan dan pengkorporatan institusi zakat; isu mewajibkan zakat pendapatan, isu agihan zakat tidak telus dan pelbagai isu lagi, menjadi perbincangan berpanjangan dalam masyarakat. Saya perlu menghujahkannya dengan terang dan mudah-mudahan ia menjadi pencerahan kepada umat.

Maka, rasa saya cukuplah tiga sendi kekuatan ini saya tampilkan dalam bab isi kandungan berkenaan. Kemudian, saya lampirkan beberapa contoh penulisan mengenai zakat yang sebelum ini telah pun tersiar di majalah Anis di bawah tajuk Memahami Zakat. Artikel-artikel itu saya tulis secara santai, tidak terlalu berat dan sarat dengan istilah fiqh yang pelbagai namun mengutamakan kejelasan maksud dan pemahaman kepada pembaca awam. Harapan saya, biarlah semuanya okay.

Setelah menyiapkan seberkas proposal buku zakat, saya pun mengemailkannya kepada Abang Wan. Berlalu beberapa waktu, saya terus menunggu. Sehinggalah tiba satu hari, Abang Wan memaklumkan khabar gembira buat saya.

“Ustaz, Alhamdulillah, buku ustaz diterima oleh DBP, Cuma kena buat sedikit penambah baikan sahaja.” Demikianlah menurut Abang Wan. Bahkan, apa yang lebih menerujakan saya, sebenarnya pihak GISB telah menghantar tiga proposal bagi tiga buah buku berlainan tajuk untuk didanai penerbitannya di bawah Skim Galakan Buku Malaysia; namun yang diterima oleh DBP hanya buku saya sahaja.

“Pihak DBP kata, mereka suka buku ustaz sebab ada ditekankan dari aspek pensejarahan zakat. Yang mana, ia agak kurang ditulis oleh penulis lain dalam menghasilkan buku mengenai zakat.” Demikianlah menurut Abang Wan dan nampaknya, tidak sesialah saya memasukkan elemen sejarah zakat, kerana ia telah menjadi umpan yang Berjaya menangkap minat pihak penilai DBP akhirnya.

Setelah itu, bermulalah episod panjang saya ‘mengandungkan’ buku Eksklusif Zakat. Hakikatnya, saya memberikan banyak tenaga, masa dan dana bagi projek buku ini. Bayangkan, dari tahun 2008 sehinggalah 2012, baru ia diterbitkan. Hampir tidak jadi sahaja rasanya. Namun, saya hanya berserah kepada Allah SWT, jadi atau tidak itu kehendak Allah SWT. Jika ikut kehendak saya, memang saya hendak, dan saya sudah pun berusaha dan saya sandarkan semuanya kepada Allah SWT.

Bayangkan, hampir semua kedai buku di Jalan TAR Kuala Lumpur dan juga di Masjid India telah saya masuki bagi mencari buku yang sesuai, jika ke Indonesia, maka pantang ke toko buku saya akan mencari bahan mengenai zakat, saya juga mengunjungi pelbagai perpustakaan termasuklah Perpustakaan Ibfim di Jalan Kg. Attap, menelaah buku-buku versi online di internet dan sebagainya lagi. Saya kelek ke mana sahaja komputer riba yang terisi di dalamnya manuskrip yang belum sempurna, kala balik kampong, makan angin ke Cameron Highlands dan kemana-mana sahaja. Demikianlah secebis gambaran betapa sukarnya menuntasi sebuah penulisan. Setelah siap, saya pun menitipkannya kepada Abang Wan, iaitu sekitar penghujung tahun 2009.

“Ustaz, untuk draf pertama buku ustaz itu, saya dah serahkan kepada editor kami di GISB. Nanti lepas dia baca dan buat pembetulan, ustaz baca semula ya.” Abang Wan memaklumkan saya sekitar pertengahan tahun 2010.

Tidak lama kemudian, saya diserahkan sebeban manuskrip buku yang sudah diedit oleh editor GISB, Wan Zurinah Hassan. Menurut ulasan beliau, banyak penulisan saya yang berulang. Beliau juga banyak menimbulkan pertanyaan demi pertanyaan, yang memerlukan saya mencari jawapan lanjut. Kadang-kala saya rasa ada bagusnya, kerana beliau bertanya atas kapasiti seorang pembaca awam, maka pastilah pertanyaan beliau mewakili khalayak pembaca di luar.

Saya pernah berbalas email dengan Wan Zurinah.

‘Ustaz, emas yang disimpan dalam bentuk dinar atau perak dalam bentuk dirham, seperti pelaburan dinar emas hari ini, bagaimana kiraan zakatnya?’ Tanya beliau, dan saya yakin, soalan itu timbul semasa beliau mengedit buku saya dalam bab zakat emas.

Jawapan saya: ‘Sebahagian pendapat menyatakan, sandarkan ia kepada emas yang disimpan dan hendaklah ditaksir zakatnya, sama seperti penaksiran zakat emas simpanan, iaitu jika beratnya mencapai 85 gram dan ke atas maka dikeluarkan zakatnya 2.5 peratus. Manakala, sebahagian pendapat menyarankan ia mengguna pakai kaedah zakat wang emas atau dinar emas sama seperti mana semasa zaman Rasulullah SAW. Namun, saya cenderung menggunakan pendapat yang pertama, justeru hari ini wang dinar sudah tiada; ia hanya disimpan sahaja sebagai bentuk simpanan untuk pelaburan. Maka, campurkan emas dinar itu dengan emas simpanan yang lain dan keluarkan zakatnya jika sudah mencukupi semua syaratnya.’

Banyak lagi persoalan yang beliau kemukakan. Semuanya saya jawab dengan hati-hati. Maklumlah, apabila sudah terhasil buku ini kelak, ia bakal menjadi dokumen bertulis yang akan disimpan dan dirujuk oleh ramai orang. Besar kesannya jika salah memberikan jawapan.

Setelah saya memperolehi manuskrip yang siap diedit, saya mulai membacanya lagi. Memang pun kata Abang Wan, manuskrip yang baik itu, dibaca dan diedit dan dibaca dan diedit beberapa kali, yakni melalui proses ‘pemeraman’ yang agak lama. Hasilnya selalunya lebih baik. Cuma, saya khuatir jika buku saya ini terlebih tempoh peramnya, takut jadi telur tembelang pula.

Pada asalnya juga, sewaktu mula-mula menitipkan manuskrip buku berkenaan, ketebalannya menjangkau lebih 400 halaman. Itu tidak termasuk matan ayat al-Quran dan al-hadis, kerana semuanya dimasukkan dalam bentuk mafhum ayat sahaja. Saya fikir jika dimasukkan matan ayat, mungkin mencecah 500 halaman. Namun, setelah diedit, ia telah berkurangan menjadi kira-kira 300 muka sahaja.

Wan Zurinah juga mengolah bab yang saya kemukakan sebelum ini. Sebuah bab telah dihilangkan dan dimasukkan ke dalam bab yang lain. Banyak lagi perkara lain yang disentuh oleh beliau. Saya merasa sedikit geram, maklumlah, ini buku saya dan nampaknya beliau pula ‘pandai-pandai’ mengubah itu dan ini. Namun, saya yakin ia dibuat atas kapasiti seorang editor dan saya harap ia berbaloi.

Namun, buku itu tetap lambat keluar. Sehinggakan semasa GISB memberitahu bahawa mereka mahu ia dilancarkan semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012 (PBAKL 2012), sudah banyak perubahan yang kena saya lakukan kembali agar ia lebih relevan isinya dengan perubahan fatwa semasa. Antaranya, fatwa zakat saham sudah berubah, fatwa zakat pendapatan juga sudah berubah, khususnya di Selangor. Malahan, bahagian pengiraan zakat perniagaan juga sudah berubah; namun saya sudah tidak larat untuk mengeditnya lagi, kerana perubahan itu hanya pada sudut pengiraan sahaja dan tidak melibatkan aspek fatwa, maka saya biarkan sahaja.

Akhirnya, buku berkenaan pun siap. Namun, namanya sudah bertukar. Jika pada masa mula-mula dicadangkan, namanya Serba-serbi Zakat, kemudian menjadi A-Z Zakat dan akhirnya menjadi Eksklusif Zakat. Saya sendiri sebenarnya bercadang menamakannya ‘Indahnya Zakat’ dan saya bayangkan wajah kulitnya berbunga-bunga subur dan hijau dengan merah melatari warnanya, namun ternyata idea saya tidak menjadi realiti.

Eksklusif Zakat, buku pertama yang menjadi buku kedua saya selamat dirasmikan dan dilancarkan oleh Ketua Pengarah DBP sempena PBAKL 2012, bersama-sama buku Dr Zaharuddin Abdul Rahman, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dan lain-lain lagi di PWTC. Di celah-celah ramainya pengunjung dan dicelah-celah megahnya penulis tersohor yang lain, saya merasa kerdil sekali kerana inilah sebuah buku saya, yang merupakan anak sulung yang saya kandung sekian lama: 4 tahun lamanya!

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.