ILMU DAN KEPIMPINAN

Apa perasaan anda jika seorang tukang masak, ya…seorang chef terkenal, diminta menjadi tukang membangunkan sebuah rumah? Pendek kata, seorang tukang masak perlu menjadi tukang rumah. Ada dua kemungkinan, pertama tukang masak menolak tugas tersebut, kerana dia bukanlah ahli dalam tukang rumah. Kedua, dia menerima dan dia wajib belajar bagaimana membina sebuah rumah.

Seorang tukang masak memang mahir dalam bab memasak. Dia tahu, apa ramuan terbaik untuk sesuatu masakan, suhu yang baik mengikut jenis makanan, masakan apa yang sesuai untuk sesuatu keperluan, berapa hidangan untuk sekali makan sesuai dengan bilangan dan sebagainya lagi yang berkaitan dengan masakan.

Tukang rumah, adalah asing baginya. Jika dia memandai-mandai menjadi tukang juga, maka dia akan pasti melakukan kesilapan demi kesilapan. Dia tidak tahu, apakah jenis kayu yang perlu dan sesuai, simen berapa kampit perlu dipakai, pasir kasar dan pasir halus berapa ela, atap genting atau asbestos dan sebagainya lagi perlu dikira. Dia tidak boleh pakai ‘bantai’ sahaja.

Maka, demikianlah dalam sesebuah pekerjaan. Masing-masing ada kepakarannya. Seorang doktor pun, ada kepakarannya. Seorang ulama besar pun, ada kepakarannya. Seorang guru sekolah pun, ada kepakarannya. Seorang apa sekali pun, masing-masing mempunyai kepakarannya. Jika dia doktor telinga; jangan diminta membedah mata!

Jika sudah tidak ahli, maka janganlah diberanikan diri, kelak merosakkan lagi. Bayangkan, jika tukang masak memandai-mandai diri menjadi jurutera pembinaan, maka dia mungkin terfikir untuk menjimatkan kos pembinaan. Maka, simen dikurangkan, kayu besar dikecilkan, atap tebal dinipiskan dan sebagainya dijimatkan.

Akhirnya, rumah siap tetapi kualitinya tiada. Sepatutnya bertahan 100 tahun, tiga bulan sudah retak di mana-mana. Baharu ditimpa hujan, air meresap sampai ke dalam. Atapnya roboh kerana kayunya tipis. Lantai tercabut, tingkap terkopak, siling runtuh dan serba mak nenek pun terjadi.

Sebab itulah, dalam ajaran agama kita, Allah SWT menegaskan: “Katakanlah (wahai Muhammad) adakah sama di antara orang-orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tidak berilmu pengetahuan?” (surah az-Zumar: 9)

Maka, orang yang tidak tahu kenalah belajar daripada orang-orang yang tahu. Jangan berpura-pura tahu atau berlagak sudah tahu atau paling teruk, berlagak pandai dan semua tahu! Kelak, kemusnahan akan berlaku.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila amanah dipersia-siakan, tunggulah saat kehancuran!” (Seorang) Badwi (bertanya): “Bagaimanakah amanah itu dipersia-siakan?” Jawab baginda: “Apabila diserahkan urusan kepimpinan kepada orang yang bukan ahlinya (tidak layak), maka tunggulah saat kehancuran.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Maka, menjadi kewajipan bagi seseorang yang tidak tahu itu untuk belajar. Salah satu cara belajar ialah, bertanya kepada orang-orang yang tahu. Seorang tukang masak pun asalnya tidak tahu memasak, sehinggalah dia belajar memasak baharulah dia tahu dan akhirnya jadi pakar memasak.

Sebab itulah, dalam kehidupan ini, seseorang itu dilarang sama sekali berlagak dalam sesuatu pekerjaan. Seandainya mereka memang tidak tahu, maka nyatakan dengan jujur agar mereka dibantu. Amat malang jika berpura-pura tahu dan selepas itu, mengarahkan itu dan ini dalam hal keadaan dirinya jahil dan tidak tahu.

Lebih bahaya jika posisi orang yang tidak tahu itu adalah pemimpin, ketua atau peneraju kepada sesuatu bidang pekerjaan. Arahannya yang salah, menjadikan tindakan seterunya salah dan pastilah kesannya akan merosakkan keadaan.

Imam al-Bukhari dalam hal ini pernah menukilkan sebuah pesanan Saiyidina Umar al-Khattab: “Hendaklah kamu belajar menjadi faqih (orang yang faham dan punya ilmu mendalam) sebelum kamu dilantik menjadi pemimpin”. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.