Laskar Pelangi

‘Poster filem Laskar Pelangi…antara filem terlaris di Indonesia.’

Jika anda punya kisah menarik sewaktu di bangku sekolah, nah…anda mungkin bisa membikin sebuah buku cerita dan siapa tahu, ia bisa menjadi bahan sebuah filem paling berjaya dan laris di Malaysia!

Sebenarnya, saya mahu bercerita tentang sebuah filem, iaitu Laskar Pelangi. Saat saya mahu ke toko buku di Jakarta, Pak Syarif langsung menyebut bahawa beliau sendiri kepingin mahu membeli sebuah filem bernama Laskar Pelangi. Katanya, filem ini laris di Indonesia, justeru isinya menarik sekali. Saya jadi teruja dan kala ke Toko Buku Gramedia di Plaza Indonesia, Jakarta, saya tidak melepaskan diri mendapatkan DVD asli filem ini.

Nah! Apa yang ada pada sebuah filem Indonesia ini? Jujurnya saya katakan, tatkala saya dan isteri menontonnya kali pertama dalam perjalanan pulang ke Ipoh, hati kami selalu terkunci dengan kepelbagaian cerita yang dipaparkan. Namun mulut kami tak henti-henti memuji betapa bagusnya hasil karya tersebut. Saya belajar banyak perkara, kendatipun saya juga adalah anak kampungan yang bergelandang dengan selut dan bendang; namun Laskar Pelangi memberikan saya suatu input baharu.

Laskar Pelangi adalah kisah kemiskinan anak-anak marhaen di Pulau Belitung, sebuah pulau terkaya di Indonesia. Ia mengisahkan getir dan peritnya sebuah perjuangan dua sosok guru, Pak Harfan dan Bu Mus melestarikan kewujudan SD Muhammadiyah yang nyaris-nyaris gagal meneruskan sesi persekolahannya, kerana kekurangan murid.

Laskar Pelangi adalah nama yang diberikan oleh Bu Mus kepada 10 orang anak muridnya yang tegar. Sepanjang lima tahun, SD Muhammadiyah malap dan sepi. Namun, keceriaan sentiasa membugar dengan keletah anak-anak Laskar Pelangi. Mereka ialah Ikal, Lintang, Sahara, Kucai, Harun (seorang anak OKU), Mahar, A Kiong dan beberapa orang lagi. Keterbatasan sebuah filem memaksa beberapa watak lain tidak ditonjolkan melainkan hanya memainkan watak tempelan.

Anda mungkin terfikir, apalah ertinya sebuah sekolah yang begitu daif, kerusi yang patah, atap yang berlubang-lubang, kekadang menjadi kandang kambing dengan 10 anak murid dan dua guru yang tegar? Namun, bagi anak kampung seperti saya, sedikit tidak banyak saya bisa menanggapi makna sebuah perjuangan sebuah warisan agama dan bangsa. Ya…bak kata Pak Harfan, di SD Muhammadiyah, kejayaan tidak sahaja diukur dengan angka-angka dan pencapaian materi; tetapi juga pada hati yang melahirkan budi-pekerti. Itulah satu-satunya bagi Pak Harfan, sebuah legasi yang cuba dipertahankan hingga ke nafas terakhirnya.

Filem ini menjentik naluri kita, bahawa untuk berjaya tidak semestinya kita punya harta melimpah. Apa yang perlu ialah kehendak. Bukankah bidalan menyatakan, jika hendak 1000 daya; jika tidak 1000 dalihnya. Kehendak inilah yang berjaya ditonjolkan oleh Bu Mus. Biar saat orang lain hampir putus asa, dia tegar mempertahankannya. Kehendak ini jugalah inspirasi Lintang, anak cerdas yang pertama sekali hadir ke sekolah, anak pesisir miskin yang kematian ibu namun cerdas di sekolah.

Saya juga bisa memberikan kredit kepada aspek sinematografi filem ini yang begitu memukau. Lanskap bumi Belitong mungkin memberikan nyawa kepada panorama filem yang menambahkan lagi kemilau pukaunya. Juga aspek skor muziknya, yang sering kali meragut emosi untuk turut diajak lari bersama. Paling mengesankan ialah saat hadirnya Harun pada hari pertama persekolahan bermula.

Mungkin juga anda ingin tahu asal-usul lagu Seroja, yang bagi saya inilah filem yang berjaya mengertikan sebuah lagu dan lirik yang selama ini hanya sering dinyanyikan tanpa faham makna sebenarnya. Anda ingin tahu? Maka, luang-luangkanlah masa menontonnya.

Akhirnya, saya bisa menyatakan bahawa filem ini adalah citra sebenar nurani anak miskin di Pulau Belitung, yang kata Ikal lewat naratifnya: “Menempatkan anak-anak miskin di sebuah pulau terkaya di Indonesia.” Bahkan tidak keterlaluan, ia adalah wakil hati nurani anak-anak miskin di mana sahaja. Bahawa, kita mesti belajar untuk berubah walau berasal dari sebuah sekolah serendah SD Muhammadiyah yang naif segalanya. Kerana, dari situlah kita membina takah pertama untuk kejayaan hari muka. Kerana, bak pesan Pak Harfan, dari situlah hati-budi kita dilentur. Kelak, kita membesar sebagai jiwa yang terbentur dengan akhlak al-karimah. Lalu, kita akan bisa menjadi manusia, yang suka memberi dengan sebanyak-banyaknya; bukan manusia yang suka menerima sebanyak-banyaknya. Laskar Pelangi, memberikan kita cipratan warna hakikat semua ini.

Wallahua’lam.

3 Replies to “Laskar Pelangi”

Umi Marul 16 June 2009 at 8:49 am

best bangat.. bagus ditonton oleh seisi keluarga.

andito 5 February 2010 at 4:12 pm

sekuel Laskar Pelangi pon best, tajuknye Sang Pemimpi.

Ust Mizul 7 February 2010 at 8:34 pm

Andito, Saya memang sedang menunggu-nunggu, bila agaknya DVD Sang Pemimpi dapat dibeli. Baru-baru ni saya kirim kepada seorang kenalan, sayangnya masih belum dijual di Indonesia, kena tunggu dalam tiga bulan lagi kot…Ya, membaca novelnya sahaja pun sudah mengujakan…teringat kisah Jimbron dengan kuda-kudanya…

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.