Jakarta: Toko Buku & Menyelami budaya Melayu-Indonesia

Hari ke-3: 4 Jun 2009

Hari ini saya bercadang mahu mengikut Marul ke UI. Sayangnya, mobil khas dari UI penuh. Akhirnya saya dan Iwan bergerak ke Plaza Indonesia. Hanim pula dibawa Marul ke UI…he…he…leganya… 🙂 Jaraknya agak jauh dari hotel. Kami mengelewar di toko buku Gramedia…sebuah toko buku yang sangat luas. Jika di KL, saya fikir MPH Books Store di Midvalley mungkin seangkatan dengannya.

Bangunan yang menempatkan toko buku Gramedia ini pun cantik sekali. Menurut Iwan, ia bangunan baharu. Hiasan dalamannya, maksud saya dekorasi kekal di dinding, siling dan lantainya memberikan imej kemewahan yang unggul. Anda tidak akan menyangka di luar sana masih ramai orang miskin jika tidak melemparkan pandangan anda menerusi tingkap kaca, dan hanya duduk di dalam bangunan ini sahaja. Namun, inilah citra dunia moden. Di Malaysia pun apa kurangnya, berhias sakan di dalam bangunan serba mewah, namun rakyat miskin di luar ada yang berteduh di bawah cebisan asbestos dan kanvas lama!

Mata saya teruja menyaksikan segalanya. Namun hati tambah teruja apabila melihat toko buku indah dan gedang terbentang di hadapan mata. Kami masuk dan mula mencari apa yang diingini. Prof Salman berpesan agar saya mencari buku Pram bertajuk Bumi Manusia, kawannya yang memesan. Saya sendiri berhajat mencari pelbagai buku.

Kami ke ruangan agama, sastera, sejarah, novel dan multimedia. Saya teringat kata Pak Syarif, filem Laskar Pelangi enak sekali ditontoni. Saya mencarinya. Saya turut membeli dua buah filem lain yang kata petugas di situ, adalah kisah menarik seperti Laskar Pelangi. Kemudian, saya mencari buku Pram. Wah…banyak sekali koleksi Pram di toko buku ini. Saya bernasib baik kerana Bumi Manusia sendiri tinggal lagi hanya dua naskhah, itu pun terletak di rak pameran luar…bukannya di rak buku jualan! Saya turut membeli beberapa naskhah novel moden Indonesia. Untuk Marul, saya belikan buku mengenai resepi masakan Indonesia dan untuk anak-anak saya belikan buku agama yang menarik. Semua sekali saya harus melunaskannya dengan nilai kira-kira satu juta tiga ratus rupiah…kad kredit lagilah!

Isteri menelefon agar kami bergegas ke rumah Kakak Pak Syarif di …(alamak saya lupa namanya). Jauh jaraknya, kira-kira dua jam dari Semanggi. Kami mengambil isteri dan anak-anak Prof Salman lebih dahulu. Perjalanan macat macam biasa. Setibanya kami di sana. kami disambut dengan sebuah perasaan yang sukar diterjemah…ya, sebuah rumah besar, ada tukang gaji membukakan pintu pagarnya, oh ya…pintu pagar dan pagar itu enggak bisa telus dari luar penglihatan kita, kemudian kami menancap sebuah rumah yang indah ukirannya, cantik lansdkapnya dan anda tidak perlu menanggalkan sepatu saat memasukinya!

rumah1

‘Perhiasan di dalam rumah ini’

Janggal juga pada mulanya. Kemudian kami disapa oleh kakak Pak Syarif dan dipelawa membasahkan tekak dengan hidangan pembuka selera. Anda tahu…rumah ini bagi saya adalah menepati citra sebuah rumah Melayu-Indonesia tulen. Hiasannya sarat dengan ukiran, patung-patung, perabot berukiran mahal dan landskapnya juga bercirikan Melayu-Indonesia. Cuma, saya harap anda tidak terkejut justeru rumah ini turut didiami dua ekor anjing. Seekor anjing besar pengawal di luar dan seekor lagi anjing yang sangat cute…yang melata bebas di rumah ini.

rumah5

‘Sebahagian menu yang disajikan.’

Kami dihidangkan dengan menu masakan Minang campur Sumatera…entahlah, saya makan sahaja. Memang enak, namun hidang pembuka selera telah memenuhi perut saya. Saya gagahkan juga makan demi menunjukkan rasa hormat, sedap tapi tak larat. Layanan tuan rumah pula memang lumayan, mereka mesra sekali. Suami kepada kakak Pak Syarif juga bukanlah calangan orang, beliau adalah Profesor di Institut Pertanian Bogor. Saya sempat berbual lama dengannya dan kami sekurang-kurangnya berkongsi minat dalam bidang lanskap…

rumah41

‘Antara patung yang ada…di pinggir kolam mandi.’

Kami pulang ke hotel dengan perut kekenyangan. Terima kasih pak…ibu…kapan kita berjumpa lagi…assalamua’laikum!

 

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.