‘DEADLINE’ SEDEKAH

Oleh: Ustaz Hamizul Abdul Hamid
Eksekutif Komunikasi Korporat
Lembaga Zakat Selangor (MAIS)

Jika anda menjadi seorang penulis tamu, sama ada di akhbar mahu pun di majalah, maka seringkali mimpi indah anda akan dihantui dengan sebuah SMS atau mel elektronik (e-mail). Bunyinya ringkas sahaja: ‘Sila hantar bahan segera, deadline anda ialah…’

Bekerja dengan ‘deadline’ atau transliterasi mudahnya ‘garis-mati’ memang mencemaskan sekali. Seringkali seorang penulis terpaksa bergegas mencari bahan, memerah otak anugerah Allah dan mencari relung-relung ketenangan demi mendapatkan sebuah kekuatan menghasilkan sebuah penulisan. Ini kerana, sebuah penulisan bisa jadi kaku jika ditulis dengan paksa tanpa mahu; namun ia juga bisa mengalir bagai air jika ditulis penuh ketajaman mata fikir.

Maka, apakah kaitan kalimah ‘deadline’ ini dengan sedekah? Hakikatnya, apabila saya sering diterkam kalimah ‘deadline’ oleh para editor, ia membuatkan saya terfikir betapa dalam hidup ini, serba-serbi ada ‘deadline’nya. Jangankan menghantar karya, hidup kita ini pun ada ‘deadline’nya juga. Misalnya, apabila telah sampai waktu yang dinamakan sebagai ‘ajal’, maka manusia akan meninggal. Meninggal dunia itulah ‘deadline’ kehidupan. Maka, sebelum tibanya ‘deadline’ itulah, manusia perlu menyiapkan bekalan.

Allah SWT menukaskan di dalam al-Quran: “Dan belanjakanlah (infaq, sama ada dalam bentuk zakat, sedekah dan sebagainya) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu, sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (jika tidak) maka dia (pada saat itu) akan merayu (kepada Tuhannya) dengan berkata: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya jika Engkau melambatkan ajal kematianku ini ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya (dengan itu) aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang-orang yang soleh.” (al-Munafiqun: 11)

Ironisnya, inilah tabiat negatif manusia yang mampu melanda sesiapa sahaja. Suka bertangguh-tangguh dalam pekerjaan, bukan sahaja pekerjaan dunia yang menjanjikan laba dunia; bahkan pekerjaan dunia yang menjadi modal mengutip laba di akhirat pun sama. Hatta, lantaran menangguh-nangguhkan amal perbuatan yang baik, maka ramai manusia menyesal kala malaikat maut sudah memberi salam kepadanya. Dia menyesal, kerana baharu teringat, betapa banyak amal kebaikan yang belum dilangsaikan sebelum ‘deadline’ menjelma.

Maka itulah, Allah SWT dan Rasul-Nya, Nabi Muhamamad SAW sering menggesa setiap manusia seluruhnya, apatah lagi yang berikrar beriman kepada Allah SWT, agar memelihara masa sehabis daya, agar mereka tidak melampaui ‘deadline’ yang telah Allah SWT sedia. Bersedekah misalnya, perlu selalu dilakukan sebelum kematian. Ini kerana, banyak ‘deadline’ yang datang lebih awal demi memberi ingatan sebelum tibanya ‘deadline’ terakhir yang bernama kematian itu.

Antara ‘deadline’ awal sedekah ialah, kedatangan hari Jumaat pada setiap minggu. Pada hari itulah, yang disebutkan nabi sebagai ‘penghulu segala hari,’ maka kita sewajarnya menyerikannya dengan memperbanyakkan sedekah. Bahkan dalam setiap tahun, Allah SWT mendatangkan kepada kita satu bulan yang bernama Ramadan, yang mana Nabi SAW sendiri menjadikan bulan ini sebagai ‘bulan sedekah’ di sisi baginda.

Malahan, bagi umat Islam yang kaya-raya, hakikatnya di sisi mereka pasti ada satu ‘deadline’ yang sentiasa menggamit hartanya. Itulah yang diistilahkan sebagai ‘haul’ zakat, yakni tarikh menandakan sudah genap setahun harta kekayaan itu dimilikinya dan sudah wajiblah dikeluarkan sejumlah kecil dalam kadar 1/40 atau 2.5 peratus sebagai zakat harta.

Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita lagi, bahawa janganlah sesekali kita cuai dalam menepati segala macam jenis ‘deadline’ ini. Misalnya nabi menukilkan: “Hendaklah engkau jadikan dunia ini seolah-olah berdagang di negeri orang atau sebagai orang yang melintasi jalan.” Ibnu Umar r.a. kemudiannya berkata: “Jika kamu berada pada waktu petang janganlah kamu bertangguh sehingga ke waktu pagi; dan jika kamu berada pada waktu pagi, janganlah kamu bertangguh ke waktu petang. Rebutlah kesempatan sewaktu kamu berada di dalam keadaan sihat, sebagai persediaan pada waktu engkau sakit dan ketika engkau masih hidup, sebagai bekalan ketika engkau mati.” (Hadis riwayat Bukhari)

Nah! Inilah antara ‘deadline’ yang sering mengintai kehidupan setiap jiwa. Tanpa mengira siapakah kita, di manakah kita, kondisi apakah kita, status apakah kita, kaya atau miskin, menteri atau rakyat marhaen, kita semua tertakluk kepada segala ‘deadline’ yang telah Allah SWT gariskan, waktu demi waktu, hari demi hari, tanpa culas, tanpa ragu walau sekali. Hanya yang tinggal, bagaimanakah kita meladeni kehidupan ini, adakah dengan memenuhi segala ‘deadline’ dengan banyaknya amal jariah, atau menghabiskannya dengan sekadar memenuhi tuntutan nafsu yang serakah.

Lantas Allah mengingatkan: “Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan sedemikian itulah orang-orang yang merugi,” (al-Munafiqun: 10). Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.