Kisah seorang teman di Indonesia (Bahagian Akhir)

“Mas termanggu ya? Apa mas teringatkan seseorang?” Iswandi kembali menarik perhatianku. Aku tersenyum cuma tanpa kata-kata.
Malam itu di asrama kediamanku, usai solat Maghrib yang masuknya pada jam 5.45 waktu Indonesia Barat, maka aku menyantaikan diri menonton TV. Di Indonesia ini, siarannya TV banyak sekali. Semuanya gratis atau percuma, tidak berbayar seperti sesetengah siaran di Malaysia. Aku membuka Trans TV. Beritanya mengenai keganasan dan bagaimana pihak berkuasa khususnya Polis Republik Indonesia (Polri) berjaya menumpaskan suatu penempatan ‘pengganas’ di Jawa Timur.

Perutku mula menyanyikan lagu keroncong. Aku teringat, sejak tiba di asrama petang tadi aku masih belum menjamah apa-apa makanan. Aku bangun dan menuju ke balkoni. Asrama tempat aku diami itu dua tingkat, dan aku bisa sahaja melaung dari tingkat atas jika mahu memesan apa-apa makanan. Di bawah, ada gerai menjual pelbagai makanan. Paling kena dengan selera aku ialah nasi goreng kambing dengan caberawet. Untuk minumannya, aku paling suka teh botol. Entah kenapa, teh berperisa bunga Jasmin itu amat serasi dengan tekak aku ini. Sebulan pulang ke Kuala Lumpur kerana bercuti semester pertengahan Mei lalu, aku begitu rindu dengan teh botol. Mujur Eliana mengirimkan aku sebungkus teh jasmin sosro yang sama rasanya. Hilanglah rinduku kepada teh botol.

Sambil menanti pesananku siap, aku kembali menempati sofa dan menonton TV. Masih membicarakan isu pengganas yang tumpas. Aku mencapai alat kawalan jauh, lalu menukar siaran. Tiada yang menarik, lalu aku teringat hari ini aku belum membaca al-Quran dan terjemahannya. Aku beristighfar panjang, padanlah aku merasakan hati ini tidak keruan, rupa-rupanya ada sesuatu yang masih belum aku tuntaskan, iaitu membaca al-Quran.

Aku bangun dan mencapai senaskhah al-Quran dengan tafsir perkata oleh Dr Ahmad Hatta. Al-Quran ini amat istimewa, ia dilengkapi dengan asbabun nuzul dan terjemahan sekaligus. Terjemahannya pula adalah berdasarkan kata demi kata. Misalnya, jika membaca kalimah Bismillahirrahmanirrahim, maka ia dimulai dengan kalimah ‘Bismi’ bagi makna ‘Dengan nama’; ‘Allah’ bagi makna ‘Allah’; ‘ar-Rahman’ bagi makna ‘Yang Maha Pengasih’ dan ‘ar-rahim’ bagi makna ‘Yang Maha Penyayang.’

Al-Quran ini adalah hadiah Eliana kepadaku saat aku menyambut ulang tahunku yang ke-21 tahun ini. Eliana menitipkannya lewat pamannya yang juga menjadi profesor dan dosenku di IPB. Eliana sendiri masih belum tuntas kuliahnya di Mesir. Hatiku berbunga dan mengembang saat terkenangkan senyuman Eliana. Astaghfirullah…aku cepat-cepat mengembalikan perhatian kepada al-Quran yang terbuka di depan mata.

Kira-kira separuh muka membacanya, makananku sampai. Aku berhenti seketika, membayar harga Rp13,000 dan menyudahkan kembali pembacaan yang terganggu. Perut makin berkeroncong diacah bau nasi goreng yang membumbu di deria hidung ini. Aku gagal menawan nafsu makan. Aku tutup al-Quran dan menghadapkan diri dengan sepinggan nasi goreng kambing dan segelas teh botol.

Azan Isyak berkumandang dari masjid berdekatan yang berjiran dengan Kantor Kelurahan Tagallela. Tanpa membuang masa, aku bergegas turun untuk ke sana. Tidak sampai lima minit, aku sudah menjadi sebahagian daripada tetamu Allah di Masjid al-Karimah. Iqamah dialunkan dan aku berdiri dalam saff yang agak panjang mengadap Tuhan.

Malam itu, mindaku kembali terkenangkan Mas Iswandi. Kami berpisah saat komuter ekspress untuk ke Bogor tiba. Tapi, ada sesuatu yang benar-benar menjadikan aku kaget dengan Iswandi.

“Mas, kami anak-anak muda adalah generasi baharu Indonesia. Kami tidak tega negara kami terus dijajah sang penguasa luar. Kami juga tidak tega korupsi terus merajalela. Kami mahu menjadi bangsa dan negara yang bermaruah di mata dunia.

“Hari ini, kami akan semaikan benih keimanan ke dalam jiwa anak-anak kecil kami. Lebih 30 tahun dahulu, pemimpin menghanyutkan kami dalam arus liberalisasi dan pluralisasi. Agama tidak lagi menjadi acuan buat kami dalam kehidupan. Bahkan kami bebas dalam menentukan agama pilihan.

“Yakinlah mas, jika Allah SWT mengizinkan, kami umat Islam Indonesia akan bangkit menjadi umat yang terkuat di rantau ini. Kami kuat bersama kuatnya asas-asas yang Islami sifatnya. Bukan lagi satu retorika. Tapi satu realitas yang akan mas saksikan dengan mata.”

Dentingan jam di ruang tamu asrama mengejutkan aku. Jam sudah menakah ke angka sembilan. Suasana makin sunyi di Kelurahan Tegallega ini. Novel Bumi Cinta yang masih separuh berbaki aku capai. Setengah jam kemudian aku terlena dan dalam tidurku, aku mimpikan Indonesia menjadi benua baharu yang menyebarkan Islam dan syiarnya.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.