Kisah seorang teman di Indonesia

Nota: Naratif fiksi yang berinspirasi realiti, kukarang pada tahun 2010 yang lalu

Saat ini bumi Bogor hujan. Tanah hitam jadi lecak. Aku berlindung di asrama yang disewakan kepada anak-anak mahasiswa dengan kadar bulanan yang lumayan juga, Rp500 ribu! Bertatih di Negara Bung Karno-Hatta ini, menjadikan aku anak yang tahan diuji. Bukan mudah meneruskan pengajian di sini. Benar, kos pengajiannya mungkin lebih murah berbanding di Malaysia; namun aku harus siap menjadi seorang mahasiswa yang tangguh dalam usahanya. Di sini, para dosen universitasnya amat tegas meladeni ulah para mahasiswanya. Kesusahan, mendidik mereka gigih berusaha. Jujurnya, aku melihat cahaya yang terang sedang menanti Indonesia ‘baharu’.

“Maaf mas, mas tinggal di mana di Bogor?” Seseorang ramah menyapaku. Saat itu, kami sama-sama menanti kedatangan komuter di Stesen Keretapi Cikini. Akhirnya baharu aku tahu, dia dari ‘UI’ , iaitu nama popular bagi Universitas Indonesia. UI begitu gah di sini, sama seperti gahnya Universiti Malaya atau UM di Malaysia. UI terletak di Depok dan untuk tiba ke Stesen Keretapi Depok, harus menempuh 11 buah perhentian dengan harga tiket atau disebut karcis di sini, sebanyak Rp9,000 bagi koch ekonomi berhawa dingin.

“Saya menginap di Kelurahan Tegallega, berdekatan Gedung Botanical Square di Bogor.” Ya, memang aku menyewa asrama sudah hampir setahun di situ. Dahulu, aku mendiami asrama mahasiswa di Institut Pertanian Bogor atau IPB; tetapi hanya untuk tahun pertama. Masuk tahun kedua, aku harus mencari rumah atau penginapan sendiri. Jarak dari Kelurahan Tegallega ke IPB agak jauh; tetapi dengan sepeda atau motor aku tidak kisah kerana mampu tiba ke sana tepat waktu kuliahnya.

“Maaf mas, siapa namanya ya?” Lelaki yang baharu aku kenali itu begitu ghairah berkenalan denganku. Novel Bumi Cinta adikarya Habiburrahman el-Shirazy yang sedang aku uliti, terpaksa aku tangguhkan dahulu pembacaannya. Tidak salah rasanya aku melayani kehendak rakan baharu ini.

“Maaf, enggak mengenalkan diri saya dari awal. Nama saya Zulkifli, bisa sahaja dipanggil Zul. Namanya bapak?” Giliran aku pula bertanya, asyik dia sahaja menyoal aku itu dan ini sedari tadi. Aku memanggilnya bapak kerana usianya agak lebih tua daripada aku. Sekali imbas, aku mengagak dia dalam lingkungan hujung 30-an.

“Saya Iswandi mas, mahasiswa S2 (sarjana) di UI dalam jurusan Kesehatan Masyarakat. Asal saya dari Sulawesi mas. Saya menyewa dekat-dekat situ juga. Apa mas pernah ke UI?” Dia memberikan penerangan yang agak panjang. Lelaki bertubuh renceng dan berkulit putih serta berambut agak ikal ini aku perhatikan sekilas lalu. Kaca matanya agak tebal menjadikan raut wajahnya lebih akademik. Juga ransel (beg sandang) berwarna hitam yang tersangkut di pundaknya. Sah, dia adalah pelajar pasca ijazah di UI. Pemandangan biasa, mereka amat merendah diri walhal mereka adalah bakal sarjana di bidang masing-masing.

Lalu sebagai menandakan tertautnya ikatan persahabatan antara dua negara satu bangsa juga satu agama, aku menghulurkan tangan. Salam perkenalan kami petang itu di bumi Jakarta Selatan terus berlarutan dengan perbualan yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan. Ternyata, aku mendapat banyak informasi menarik mengenai Negara Indonesia ini daripada Pak Iswandi yang layak aku bahasakan sebagai ‘abang’ sahaja.

“Mas Zul, nyatanya bumi ini amat subur. Mas bisa lihat sendirikan, pepohonannya hijau menghiasi bumi ciptaan Ilahi ini. Nah, mas juga tinggal di Bogor. Makanya mas harus sadar, bahawasanya bumi Bogor adalah bumi yang amat subur. Makanya juga IPB diwujudkan di Bogor. Ia bumi yang paling basah di dunia ini, juga tanahnya hitam berhumus semulajadi. Semuanya menjadikan pepohonan bisa tumbuh dengan subur dan menghasilkan buah-buahan yang enak dan berzat.” Iswandi yang lebih selesa kemudiannya aku sapa sebagai Mas Wandi sibuk mengisahkan kelebihan negaranya. Aku tidak nafikan, memang Indonesia khususnya Bogor adalah kabupaten yang amat menjadi tanamannya. Pertama kali menjejakkan kaki ke IPB, aku terkesima dengan kehijauan kampusnya.

“Sayangnya Mas Zul, kelebihan yang dijadikan dan diberikan Allah SWT kepada penduduk Indonesia ini, gagal dimanfaati sebaiknya. Harusnya Indonesia ini menjadi negara yang paling produktif dalam produksi makanannya, bisa mengeksport padi, buah-buahan dan hasil apa sahaja berasaskan pertanian ke luar negara.

“Malangnya mas, banyak tanah yang subur di bumi Indonesia ini dibasmi kesuburannya lewat terbinanya pelbagai gedung di sini sana. Apa mas tidak tahu, Gedung Botanical Square itu sendiri asal-muasalnya adalah tanah milik IPB yang kini dibangunkan gedung mewah. Apa hasilnya mas? Pokok-pokok enggak bisa tumbuh di atas gedung itu. Ia hanya tempat untuk liburan sambil menghabiskan uang sahaja!”

Aku membiarkan Iswandi berkongsi ceritanya. Dia kelihatannya amat bersungguh menyampaikan pandangannya. Aku sebagai ‘orang luar’ lebih baik mendengar sahaja. Secara nalarnya, aku juga berkongsi pandangan yang sama dengan Iswandi. Sebaiknya Indonesia bergerak lebih pro-aktif dalam industri berasaskan pertanian. Bahkan sudah jelas, saat kemelut ekonomi melanda dunia lewat tahun 1990-an dahulu; sektor pertanian di Indonesia mampu bertahan bahkan menjadi nadi untuk terus menghidupkan kehidupan jutaan rakyatnya.

Aku membelek karcis milikku yang tersimpan di saku kemeja Untuk ke Bogor, aku harus menempuh perjalanan yang lebih jauh lagi. Harga karcisnya sahaja sudah Rp11,000 dengan komuter ekspres. Aku lebih suka mengambil ekspres kerana perjalanannya lebih selesa dan tidak berhenti-henti di setiap perhentian. Ia bukan sahaja melambatkan; tetapi lebih meletihkan kerana akan diisi dengan pelbagai jenis manusia kelak. Itu belum mengambil kira peniaga asongan (membawa raga barangan) yang akan memasuki gerabak dan menawarkan jualannya. Itulah rencah hidup di bumi Jawa ini. Kehidupan adalah amat mahal harganya untuk diteruskan.

Aku berkira-kira, nanti tiba di Stesen Keretapi Bogor, aku akan mengambil teksi sahaja dan turun di Botanical Square. Dari situ, aku boleh mengambil ojeg iaitu motorsikal pengangkut orang untuk membawa aku pulang ke asrama. Peluh sudah membasahi kemeja dan komuter masih belum tiba. Hawa yang panas di Stesen Keretapi Cikini memanggang kami dan para penunggu keretapi yang lain. Aku terkenangkan dua tahun lalu semasa masih belajar di Kuala Lumpur, beremba-remba dengan manusia lain menuruni Koach LRT dari Stesen PWTC dan kemudiannya berlari-lari laju ke Stesen Komuter Putra untuk pulang ke Rawang. Di situ, ada Kedutaan Besar Indonesia, dan di situlah aku telah berkenalan dengan Eliana Putri Alam, anak Pak Duta Besar (Dubes). Elianalah insan yang bertanggung jawab mencadangkan aku agar melanjutkan pelajaran di Indonesia, khususnya dalam bidang pertanian di IPB. (BERSAMBUNG…)

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.