MENATA PENGURUSAN KEWANGAN

Salah satu ilmu yang amat penting bagi setiap orang, ialah ilmu mengurus kewangan. Sebagai umat Islam, mengurus kewangan bukan sekadar menentukan apakah yang perlu dibeli esok atau sekarang; malah melampaui hingga ke alam barzakh juga menjangkau hingga ke jannah. Pendek kata, merancang kewangan untuk sejahtera dunia dan akhirat.

Dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW ada menukilkan: “Allah memberikan rahmat kepada seseorang yang berusaha mencari harta dengan jalan yang halal dan membelanjakannya dengan cara sederhana dan berhemat serta menabung kelebihannya untuk hari susah dan hajatnya. ” (Riwayat al-Ibn an-Najjar)

Hadis di atas ini mempunyai beberapa pengajaran penting buat kita. Antaranya, Islam meletakkan pra-syarat memperolehi harta mestilah melalui sumber yang halal. Keduanya, ia juga mesti dibelanjakan secara bijak dan berguna (tidak boros dan tidak juga kedekut). Ketiga, kita juga diminta menyediakan tabungan ke atasnya sebagai bekalan sewaktu adanya keperluan yang di luar jangkaan.

Dalam hal ini, teringat penulis akan sebuah wawancara di antara sebuah media bersama Hajah Rohani Datuk Hj. Mohd. Shahir, pakar pengurusan kewangan Islam di negara kita. Kala beliau diajukan persoalan, apakah yang telah mendorong beliau untuk memberikan fokus kepada dunia kewangan, khususnya pengurusan kewangan Islam? Beliau menyatakan, segala-galanya bermula sewaktu beliau berada di Bahrain.

Sewaktu di dalam perjalanan menaiki sebuah teksi menuju ke sebuah seminar pengurusan kewangan Islam di sana, beliau telah berbual dengan seorang wanita bukan Islam. Terkedu beliau, apabila mengetahui bahawa wanita itulah kelak yang akan menjadi tokoh membentangkan pengurusan kewangan Islam kepada orang-orang Islam; sedangkan wanita itu sendiri bukanlah muslim. Hal ini telah mencabar beliau agar melakukan sesuatu, khususnya demi umat Islam di tanah air.

Pelik ya, umat Islam perlu diceramahi oleh non-muslim dalam mengurus dan menata kewangannya. Kenapa ini boleh terjadi? Penulis tidak berhajat mengatakan bahawa hanya umat Islam sahaja wajar diceramahi, kerana isu ini global sifatnya. Non-muslim sahaja bisa melakukan pembaziran lebih besar. Namun, selaku orang Islam yang sudah dibekalkan al-Quran dan as-sunnah, pastilah kita sepatutnya lebih wajar berhati-hati dalam menguruskan kewangan. Hadis di atas sudah menyediakan jawapan.

Seperkara lagi, selaku manusia juga kita sering kali gagal mengawal kehendak dan ‘mimpi’. Seperti mana teori ekonomi menyatakan, kehendak manusia tiada batasan. Daripada kehendak itulah datangnya penawaran. Apabila sudah adanya elemen ‘Kehendak dan Penawaran’ inilah, akhirnya ia menatijahkan sesebuah sistem ekonomi. Masalah timbul apabila kehendak dan mimpi sudah bersebati, ia boleh menjadikan manusia lupa diri.

Ini kisah benar, ada orang yang amat obses tentang filem-filem seorang pelakon misalnya, maka semua filem yang dilakonkan oleh seniman itu akan dibeli, biarpun seniman itu hanya menjadi pelakon pembantu atau ‘pak pacak’ sahaja. Alasannya, sebagai peminat tegar, maka memang sudah menjadi impiannya untuk mempunyai koleksi lengkap filem-filem lakonan seniman berkenaan. Soalannya, perlukah dia memenuhi ‘mimpi dan kehendak’ yang salah ini?

Inilah yang parahnya apabila manusia sering tewas kala berhadapan dengan pelbagai penawaran yang kadang kala bukanlah merupakan keperluan. Nafsu yang menunggang mahu, akhirnya tanpa sedar dia merelakan pembelian yang dilakukan semata-mata demi memuaskan kehendak yang tiada batasan itu, walaupun sedar akhirnya ia akan menjadi satu pembaziran.

Sebagai contoh lain, berapa banyakkah wang yang telah kita hamburkan untuk membeli pakaian sehingga almari di rumah kita yang ‘gede banget’ (amat besar – meminjam istilah Indonesia) itu, sudah tidak mampu lagi menampung segala macam jenis dan corak pakaian. Semuanya kita beli, kononnya atas faktor jualan murah, sedangkan sudah banyak yang tersangkut di dalam almari (atau lebih tepat tersadai); tanpa diusik berhari-hari atau berbulan-bulan lamanya.

Hal ini berlaku, justeru kita tidak menyediakan perancangan yang baik untuk perbelanjaan pakaian. Misalnya, dalam setahun berapa sut baharu yang perlu ditempah, berapa kemeja baru yang perlu dibeli, berapa seluar panjang yang harus dibeli, berapa pasang kasut yang perlu, berapa helai kain pelekat yang wajar dibeli dan sebagainya. Pernahkah kita terfikir akan hal ini atau kita ‘pakai beli’ sahaja asal ternampak jualan murah?

Akhirnya, sebagai indikator ke atas keseriusan kita dalam menanggapi isu pengurusan kewangan ini ialah, mari kita semak perkara berikut:

1. Ada atau tidak buku-buku mengenai tips mengurus kewangan di rumah kita?
2. Pernahkah kita mengikuti mana-mana seminar atau mendengar ceramah tentang pengurusan kewangan?
3. Adakah kita sentiasa membuat bajet kewangan keluarga (bulanan atau tahunan)?
4. Adakah kita selalu mencatat perbelanjaan bulanan yang dibuat?
5. Adakah kita memperuntukkan sebahagian kecil kewangan untuk tujuan simpanan dan pelaburan?

Perkara-perkara yang digariskan di atas, rasanya adalah perkara paling asas untuk mengetahui kedudukan kita dalam isu-isu pengurusan kewangan. Seandainya kita mempunyai tiga daripada lima Kriteria tersebut, Alhamdulillah, kita mungkin boleh dianggap orang yang serius memantau dan menata pengurusan kewangannya.

Namun begitu, andai kata dalam dunia pengurusan kewangan kita hari ini, satu pun tidak kita lakukan, maka percayalah kita mesti berubah dari sekarang untuk memperbetulkannya. Andai dibiarkan, bimbanglah takut-takut kita mungkin termasuk sebagai orang yang terus gagal menata perbelanjaannya hingga ke hujung usia. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.