KPI SEORANG MUKMIN

(Kredit foto: hasizu.blogspot.com)

Dunia hari ini, di mana-mana orang bicara isu kompetensi, intergriti, piawaian dan kualiti antarabangsa dan sebagainya lagi. Bahasa mudahnya, ia mengenai kecekapan dalam menyelesaikan kerja. Natijah semua ini, adalah demi mencapai sasaran, tidak kiralah sama ada sasaran organisasi mahu pun pun individu. Demi mencapai sasaran ini, maka ditetapkan apakah unjuran komitmen yang perlu diberikan.

Komitmen ini digariskan secara jelas, misalnya jika seorang penulis, berapa banyakkah penulisan yang perlu dihasilkan dan berapa media perlu ditembusi setahun. Jika seorang pensyarah, berapa banyak penyelidikan dan penulisan dalam jurnal perlu diterbitkan dan berapa jam kredit mengajar perlu dilaksanakan. Jika seorang pegawai pemasaran, berapakah jumlah temu janji dan RM yang berjaya dikumpulkan. Begitulah seterusnya, sehingga akhirnya mencapai segala sasaran.

Maka, komitmen yang digariskan inilah yang dinamakan sebagai KPI, atau dalam bahasa Inggeris ialah, Key Performance Index atau dalam Bahasa Melayu, Indeks Kunci Prestasi. KPI penting, kerana dengannya dapat diukur dengan jelas sejauh manakah komitmen yang telah diberikan. Cukup makan atau ekstra.

Kelak, jika KPI yang digariskan ini berjaya dicapai, maknanya individu atau organisasi itu mampu mencapai apa yang telah digariskan. Maka tercapailah objektif dan sasaran organisasi. Beriringan dengan itu juga, maka mudahlah jika mahu diberikan imbuhan dan ganjaran kepada kakitangan; sekaligus mampu mengelakkan budaya ‘menumpang’ dalam kalangan warga organisasi.
Nah! Secara umumnya, KPI sudah kita fahami. Bagaimana pula dengan KPI kita terhadap agama Islam? Inilah yang menjentik naluri saya, kala usai mendengar sebuah kuliah subuh baru-baru ini. Ustaz berkenaan dengan santai mempersoalkan para audiens, sejauh manakah umat Islam hari ini mengetahui KPI mereka yang telah Allah SWT sediakan dan sejauh manakah pula umat Islam memahami dan memberikan komitmen demi memenuhi KPI itu?

Mungkin kita sendiri, yang biarpun kala ini menjawat jawatan Pengerusi Eksekutif di konglomerat terkemuka, tidak terlintas pun betapa Islam telah menyediakan KPI bagi semua umatnya. Kita merasakan Islam hanya menitik beratkan aspek ibadah semata-mata, solat, puasa, zakat dan haji. Alangkah dangkalnya idea tersebut.

Percayalah, Islam yang Nabi Muhammad SAW bentangkan di hadapan kita, adalah penyelesai masalah seluruh manusia. Jika Islam hanya menyangkut soal solat, puasa, zakat dan haji semata, masakan Perlembagaan Madinah digubal nabi demi mengelola kehidupan manusia di Madinah dan diiktiraf perlembagaan pertama di dunia.

Maka, dalam hal KPI seorang mukmin ini, ia menyangkut paut kelangsungan hidup manusia – sama ada secara individual mahu pun sesama manusia lain. KPI berkenaan, digariskan oleh Allah SWT secara terang menerusi deklarasi-Nya di dalam al-Quran. Perhatikan deklarasi Allah:

Sesungguhnya hanya golongan beriman yang mempunyai cirri-ciri inilah yang bakal beroleh kejayaan, di dunia dan akhirat, iaitu:

1) Orang-orang yang beroleh kusyuk di dalam solatnya
2) Orang-orang yang tidak lalai dalam kehidupannya
3) Orang-orang yang menunaikan zakatnya
4) Orang-orang yang menjaga kemaluannya (kehormatannya)
5) Orang-orang yang menjaga amanah
6) Orang-orang yang memelihara janji
7) Orang-orang yang sentiasa memelihara solatnya

(surah al-Mukminun, ayat 1-9)

KPI yang Allah SWT gariskan ini sudah lama disuratkan di dalam kitab suci-Nya. Sama ada kita perasan atau tidak, ia tergantung kepada sejauh manakah usaha kita untuk mencarinya. Di hari akhirat kelak, kesemua KPI ini akan dibentangkan kembali di mahkamah Allah rabbul jalil, lalu kala itu akan dinilai sejauh manakah kita sudah berusaha memenuhi sasarannya – sama ada di bawah sasaran, melebihi jangkauan atau cukup-cukup makan!

Atas kepentingan itulah, Allah SWT menggesa kita agar tidak menjadikan kehidupan di atas dunia hanyalah sebagai suka-suka dan penuh dengan permainan semata-mata. Hidup mengejar mata benda tidak akan pernah puas, seperti mana dikalamkan di dalam sebuah hadis: “Seandainya manusia memiliki sebuah lembah berisi harta, tentu mereka masih menginginkan harta yang banyak seperti pula. Mata manusia (itu) hanya akan penuh, jika diisi dengan tanah (terhenti keinginannya sehinggalah dia mati – penulis),” (hadis riwayat Bukhari)

Inilah dia tips yang mampu menyelamatkan seluruh umat manusia. Mereka bukan sekadar wajib menjadi seorang muslim, tetapi mesti berusaha menjadi seorang mukmin. Namun, status mukmin belum dipastikan selamat, sehinggalah si mukmin itu menepati piawaian ‘Deklarasi al-Mukminun’ seperti mana yang telah digazetkan di dalam al-Quran.

Justeru itu, marilah kita berusaha memenuhi keperluan KPI Allah SWT ini. Andai kita berusaha, pasti ada jalannya. Seperti mana peribahasa Melayu mengungkapkan: “Lulus angan dilakukan, lulus kaki dilangkahkan, biar bersimbah peluh di muka, jangan tersingkap kain basahan.” Maknanya, jangan sekadar berangan-angan; tapi lakukan penuh kesungguhan. Bila sudah melakukan, jangan pula sekerat jalan. Wallahua’lam.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.