TUGAS KITA MEMPERMUDAHKAN

Dalam Islam, setiap urusan hendaklah dipermudahkan. Bukan dari ajaran Islam jika ia menyusahkan orang lain. Allah SWT menukilkan di dalam firman-Nya: “Allah menghendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak menghendaki kesukaran bagi kamu,” (al-Baqarah: 185)


Manakala dalam sebuah hadis, nabi mempertegaskan lagi akan hal mempermudahkan urusan sesama manusia ini dengan sabdanya: “Senangkanlah (permudahkanlah) dan jangan mempersusahkan dan berilah khabar gembira dan jangan berikan khabar buruk (yang membuatkan orang lari daripadamu).” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Maka, dalam kehidupan ini, pasti kita menjawat pelbagai jawatan yang perlu berurusan dengan orang ramai. Misalnya saya yang berjawatan amil, tidak kiralah di mana sekali pun posisi saya, di atas, di pertengahan mahu pun di bawah, maka hendaklah saya menjadi individu yang sentiasa mempermudahkan segala urusan orang lain.

Adalah ditegah jika kita dengan sengaja menyusahkan, misalnya sengaja melambat-lambatkan kerja, melewatkan proses permohonan, sengaja menokok-tambah syarat-syarat yang tidak relevan atau sengaja melengah-lengahkan siasatan dan kelulusan. Ingatlah, kesengajaan kita melambat-lambatkan sesuatu urusan, akan mencipta kedukaan kepada orang yang berharap dan memohon. Pastilah hal ini tidak sepatutnya berlaku.

Cuba bayangkan, betapa ‘sakitnya hati’ kita andai urusan untuk mendapatkan pinjaman di sebuah bank, dilambat-lambatkan oleh pihak mereka. Hantar borang, sepatutnya diproses 24 jam; tetapi selepas seminggu baru siap diproses.

Kemudiannya, kelulusan yang sepatutnya hanya mengambil masa sehari selepas siasatan; tertangguh lagi hingga seminggu gara-gara pegawai itu memberi alasan kesibukan. Bayangkan, betapa terbakarnya hati dan perasaan kita. Maka, demikian jugalah hati dan perasaan orang-orang yang berurusan dengan kita, andai kita melakukan perkara yang sama dan memberikan alasan yang sama.

Post Your Comment Here

Your email address will not be published.